Tuesday, April 23, 2013

roboh 7 kuil

Mengapa tidak persoal pembangkang roboh tujuh kuil?

NAJIB Tun Razak bersalaman dengan sebahagian daripada penduduk ketika mengadakan lawatan di Pusat Daerah Mengundi Seksyen 18 Timur di Dewan Tabika Kemas Shah Alam, semalam. Turut hadir Zulkifli Noordin (kanan). - BERNAMA
SHAH ALAM 22 April - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak hairan mengapa masih ada pihak cuba memperbesar-besarkan isu membabitkan Datuk Zulkifli Noordin yang dikatakan mengguris hati masyarakat India 10 tahun lalu.
Beliau berkata, isu tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan lagi memandangkan calon BN bagi kerusi Parlimen Shah Alam itu sendiri telah mengemukakan permohonan maaf kepada seluruh kaum itu sebelum ini.
Malah, Zulkifli yang merupakan bekas ahli Pas itu ketika ini telah pun memainkan peranan untuk membantu komuniti India di Shah Alam termasuk menjuarai isu kepentingan kaum itu seperti pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan tempat ibadat penganut Hindu.
Sebaliknya, kata beliau, semua pihak sepatutnya melihat dan meneliti semula tindakan pakatan pembangkang ketika mentadbir kerajaan Selangor sebelum ini yang bertindak merobohkan tujuh buah kuil penganut Hindu di negeri ini.
"Mengapa perkara ini tidak dilihat sebagai satu yang serius. Tindakan (merobohkan kuil) itu jauh lebih serius dan memberi tamparan yang hebat kepada masyarakat India berbanding isu Zulkifli.
"Ini termasuklah tindakan kerajaan negeri merobohkan kuil persendirian di Sepang, kita ada bukti gambar mengenai tindakan itu. Tindakan sedemikian 1,000 kali lebih teruk jika dibandingkan apa yang dilakukan oleh Zulkifli.
"Dia (Zulkifli) telah meminta maaf dan saya mendapat maklum balas bahawa sebilangan besar kaum India menyokong beliau," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Najib, apa yang dilakukan oleh Zulkifli itu tidak sepatutnya disensasikan, apatah lagi untuk dijadikan modal oleh pihak pembangkang untuk kempen pilihan raya.
"Ini kerana kenyataan Zulkifli yang dikatakan menghina kaum India sebelum ini dibuat ketika beliau masih menjadi ahli Pas," katanya.
Dalam perkembangan lain, Najib turut menyangkal dakwaan bekas Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim bahawa kononnya BN tidak menawarkan beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di Perak.
"Tanyalah Menteri Besar Perak (Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Presiden UMNO) dan (Datuk Seri) Tengku Adnan Tengku Mansor (Setiausaha Agung UMNO). Kita memang tawarkan dia (Kamilia) kerusi (DUN) Bukit Chandan untuk bertanding," jelasnya.
Dalam pada itu, Najib yang juga Pengerusi BN Selangor ketika ditanya tindakan bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib menyertai Pas berkata, perkara itu telah pun dijangkakan.
"Itu bukan isu, kita dah jangka," kata beliau.

No comments:

Post a Comment