Ladang Rakyat: Orang Asli rasa terhina digelar penceroboh
Mereka mendakwa menerima surat dari Kerajaan Pas Kelantan melalui Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (Ladang Rakyat) yang menganggap tindakan meneroka tanah itu sebagai satu pencerobohan meskipun kawasan terbabit merupakan tanah adat yang telah dihuni sejak ratusan tahun dahulu.
Wakil mereka, A. Agogenaseh, 31, mendakwa, mereka meneroka tanah di situ bagi kerja-kerja bercucuk tanam dan penempatan, namun sejak sebulan lalu, ada pihak yang telah 'membersihkan' kawasan tersebut untuk tujuan tertentu.
Katanya, apa yang dilakukan oleh pihak terbabit seolah-olah menghina mereka yang bergantung kehidupan terhadap hasil hutan selama ini.
"Belum pernah ada Orang Asli di dunia ini yang meneroka kawasan hutan seperti ini tetapi tiba-tiba sahaja digelar penceroboh, nenek moyang kami sudah tinggal di sini sejak beratus tahun lalu tetapi kenapa hari ini kami dihalau dan dikatakan menceroboh.
"Dengan rasa marah dan kecewa, saya bersumpah akan mempertahankan hak kami di sini kerana di sinilah tempat kami dilahirkan dan dibesarkan serta di sini jugalah nyawa kami akan berakhir," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ketua masyarakat Orang Asli itu, Basri Abdullah, 33, berkata, Kerajaan Pas Kelantan sepatutnya merasa malu kerana mendakwa mereka sebagai penceroboh sedangkan tanah tersebut telah dihuni oleh Orang Asli selama ratusan tahun.
"Saya hairan kenapa pemimpin mempercayai apa yang mereka dengar daripada Ladang Rakyat dan tidak datang ke sini untuk bertanya kepada kami apakah yang sebenarnya berlaku.
"Kami sudah berpindah di sini membina tempat tinggal dan bercucuk tanam yang memang kami bebas lakukannya sejak dulu tetapi tiba-tiba sahaja sekarang kami sudah digelar penceroboh walaupun orang asing yang datang sinilah yang sepatutnya digelar penceroboh kerana tiba-tiba sahaja sodok tanah kami," katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di kawasan hutan yang terletak kira-kira 70 kilometer dari bandar Gua Musang mendapati, terdapat sekurang-kurangnya enam buah rumah yang dibina menggunakan buluh dan khemah di situ.
Mereka terdiri daripada keluarga yang mempunyai anak dan sumber makanan utama adalah hasil cucuk tanam terutama pisang dan ubi kayu.
Dalam pertemuan itu, mereka telah menunjukkan surat yang menyatakan Orang Asli sebagai penceroboh dan dialamatkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Jeli.
Seorang ibu, Noriah Jelik, 42, berkata, dia yang mempunyai dua orang anak berumur lima dan tujuh tahun telah selesa tinggal di situ dan tidak akan meninggalkan tempat itu walaupun dipaksa.
"Tempat ini jauh ke dalam hutan dan kami sudah membina rumah, sumber air pun ada sebab itulah kami suka duduk di sini.
"Saya terkejut bila tahu kami dihalau sebab sejak kecil lagi saya juga ikut ibu bapa tinggal di hutan tetapi tiada sesiapa pun yang ambil peduli apa lagi mahu menggelar kami penceroboh," katanya.
No comments:
Post a Comment