Sunday, April 28, 2013

dana asing mencurah masuk

Dana asing mula disalur bantu pembangkang?

KUALA LUMPUR 27 April - Dana asing bertujuan membantu pakatan pembangkang menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei ini dikesan mula masuk sejak beberapa minggu lalu.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang berpangkalan di Jerman dipercayai sudah pun berbuat demikian kononnya untuk tujuan bukan politik.
Malah, sumber memberitahu, NGO itu yang mempunyai ibu pejabat bagi cawangan Asia Tenggara di Bangkok, Thailand dilihat begitu 'bermurah hati' memberi tambahan Euro10,000 (RM40,000) daripada jumlah yang dipohon oleh pihak pembangkang itu.
Tambahan dana itu dipercayai ada kaitan langsung dengan pilihan raya umum kerana berdasarkan peruntukan tahunan sejak 2011, FNF menyalurkan wang berdasarkan jumlah yang diminta oleh pakatan pembangkang sahaja.
Selain organisasi tersebut, beberapa NGO antarabangsa lagi juga dipercayai telah menyalurkan dana kepada parti pembangkang tertentu.
Dana-dana itu pula disalurkan melalui dua akaun bank tempatan dengan berselindung di sebalik sumbangan kepada program pembangunan dan memperkasa organisasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan Bank Negara, sedangkan ia sebenarnya untuk tujuan politik.
Dalam pada itu, sumber memberitahu Mingguan Malaysia, selain menyalurkan dana sejak beberapa minggu lalu, pegawai-pegawai tertinggi sebuah daripada NGO terbabit dipercayai telah 'turun padang' ke Kuala Lumpur.
Langkah itu dipercayai bagi membantu kempen pembangkang memenangi pilihan raya umum kali ini, termasuk merampas beberapa negeri khususnya Sabah daripada BN.
Sebelum ini pelbagai pihak menyatakan kebimbangan kemungkinan wujud campurtangan pihak luar dalam pilihan raya umum di negara ini menerusi penyaluran pelbagai bentuk bantuan khususnya dana.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada September tahun lepas antara lain dilaporkan berkata, penyaluran dana asing untuk aktiviti NGO propembangkang membuktikan wujud campur tangan pihak luar untuk menukar kerajaan sedia ada kepada kerajaan yang boleh mengikut telunjuk mereka.
Di Parlimen Disember lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan ia bersedia berbincang untuk mewujudkan undang-undang memantau penyaluran dana asing kepada NGO atau syarikat di negara ini.
Ia ekoran banyak pihak mencadangkan supaya satu undang-undang untuk memantau penyaluran dana asing dalam kalangan NGO serta syarikat diwujudkan.

No comments:

Post a Comment