Friday, April 5, 2013

aura muda

Najib bawa 'aura' semangat orang muda

PADA 3 April 2013 genaplah empat tahun era kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat memacu kemajuan pembangunan negara dengan amat cemerlang di persada dunia. Terdapat pelbagai pandangan akademik, umum dan berbentuk persepsi berkaitan kepimpinan beliau, namun penulis memperincikan kepimpinannya dari kaca mata penulis yang mewakili sebahagian pandangan umum orang muda.
Najib cukup mesra dengan orang muda. Ini kerana beliau sendiri berpengalaman memimpin organisasi politik ketika dalam kategori muda seawal umur 24 tahun. Ketika itu, beliau telah berpengalaman menjadi Ahli Parlimen dan juga Menteri Besar termuda yang dilihat membawa legasi Allahyarham ayahanda beliau Tun Razak yang cukup hebat.
Pencapaian beliau selama empat tahun boleh dilihat amat cemerlang pada pandangan seorang anak muda seperti penulis. Ia merangkumi aspek politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan teknologi.
Di samping itu, Najib bukan sahaja seorang yang sangat petah meluahkan kebijaksanaan dengan kata-kata pidato yang membakar semangat, yang paling penting beliau tidak beretorik kosong, beliau cakap, beliau buat, beliau janji dan beliau tepati.
Sebaik sahaja menjawat jawatan Perdana Menteri, pada 5 April 2013, Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' yang bersifat majmuk dan mesra rakyat yang menjadi teras kepada perpaduan dan keamanan negara. Ini adalah pembaharuan yang segar kerana di dalam dunia globalisasi tanpa sempadan ini hubungan antara kaum dan integrasi nasional sangat penting kerana jaminan keamanan dan perpaduan itu menjadi harapan masa depan untuk anak muda hidup dengan harmoni dan selamat.
Selain itu, anak muda sangat prihatin dengan isu peluang pekerjaan selepas tamat pengajian sama ada di sekolah mahupun di universiti. Najib telah melancarkan 1Azam (Akhiri Zaman Miskin) yang bertujuan memperluaskan bidang keusahawanan kepada golongan yang tidak mampu dan penganggur tegar dalam kalangan rakyat terutamanya mahasiswa.
Pelancaran 1Malaysia For Youth (1M4U) pula suatu usaha dari kerajaan untuk meningkatkan sifat sukarelawan seterusnya mendidik anak muda supaya menjadi pimpinan masa depan yang boleh berkhidmat kepada masyarakat. Banyak lagi mengenai keprihatinan Najib dalam dunia pendidikan seperti Skim Bantuan Pelajar sebanyak RM100 yang memanfaatkan 5.4 juta pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5 yang sangat membantu keluarga yang mempunyai tanggungan anak yang ramai.
Sementara itu, Baucar Buku 1Malaysia RM250 pula yang diberikan kepada 1.3 juta pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan prauniversiti juga menggalakkan lagi budaya intelektual dalam kalangan mahasiswa untuk mendapatkan buku yang berkualiti sebagai sumber rujukan ilmiah.
Kegusaran anak-anak muda yang baharu bekerja setelah tamat pengajian di IPT mengenai harga rumah yang melambung tinggi diselesaikan dengan pelaksanaan PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) yang dilancarkan pada 2011. Sebanyak 80,000 unit rumah mampu milik dilancarkan khas untuk anak-anak muda berpendapatan sederhana dan rendah dengan peruntukan sebanyak RM500 juta.
BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang diberikan sebanyak dua kali pada 2012 dan 2013 juga meringankan beban semua lapisan masyarakat yang memerlukan terutamanya untuk anak-anak muda yang sedang membina kekuatan simpanan kewangan peribadi setelah tamat belajar dan baru mula bekerja.
Najib juga sangat menjunjung agenda keterbukaan dan transformasi dan dapat dilihat beliau memahami jiwa anak-anak muda yang selalunya bersifat sangat agresif, proaktif untuk meluahkan ekspresi mereka berkaitan isu-isu pendidikan mahupun media yang bebas.
Najib telah bertindak dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, memansuhkan Ordinan Darurat dan juga dibuat semula kajian semula iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti. Sesungguhnya pendirian beliau yang sangat terbuka dan merupakan sebahagian dari transformasi kerajaan ini jelas menutup mulut pihak dari parti pembangkang yang sering menjadikan isu-isu ini untuk menempelak kerajaan secara membuta tuli.
Apabila menyentuh soal isu keselamatan terutamanya yang melibatkan isu tragedi di Lahad Datu, penulis sebagai anak muda melihat Najib merupakan pemimpin unggul yang bertindak pantas dan tegas. Tindakan proaktif beliau dengan mewujudkan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) meliputi 10 daerah sebagai memberi asas perundangan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menunjukkan beliau tidak berkompromi dengan isu keselamatan negara.
Penyelesaian kepada isu-isu keselamatan di Lahad Datu yang telah berlaku secara pantas dan jelas menunjukkan sikap tanggungjawab dan kredibiliti Najib yang sangat prihatin kepada rakyat apabila beliau sendiri turun padang, mendengar masalah penduduk di Sabah dan yang paling penting perwira-perwira yang terkorban dihargai sebagai pahlawan negara dan kebajikan ahli-ahli keluarga mereka diambil berat oleh beliau.
Selain itu, beliau juga menjadi contoh lambang keberanian kepada anak-anak muda di Malaysia apabila menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama yang menjejakkan kaki di bumi Palestin pada 22 Januari 2013 yang lepas. Beliau juga terlibat secara aktif dalam acara bersejarah pemeteraian perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Manila, Filipina yang sebelum itu telah berlarutan berpuluh tahun lamanya.
Dan yang paling penting pada 24 Mac 2010, di dunia tanpa sempadan ini, anak muda masa kini yang sangat aktif dengan media baharu seperti facebook, twitter, istagram, youtube, sangat teruja dan mengagumi usaha aktif beliau yang telah mengumumkan empat insentif dalam Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) untuk mentransformasi Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara maju.
Najib turut mendapat pengiktirafan oleh tokoh-tokoh ulama dunia. Tokoh ulama terkenal di Arab Saudi iaitu Sheikh Dr Abdullah Hamad Jalaly, Mufti Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Al Salumi dan Ketua Hakim Mahkamah Makkah Dr. Saleh Darwish dalam perjumpaan dengan beliau pada tahun lepas memuji kerajaan Malaysia kerana berjaya mengukuhkan kedaulatan Islamiah apabila meletakkan Islam sebagai agama persekutuan walaupun rakyatnya berbilang kaum dan agama.
Jelaslah di sini, program transformasi yang dirangka dan dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan Najib berjaya membuat perubahan yang cukup ketara kepada negara untuk kebaikan semua lapisan masyarakat.

No comments:

Post a Comment