Sunday, April 14, 2013

pasang bendera kena tetak

Ditetak ketika pasang bendera

KUALA TERENGGANU 13 April - Seorang lelaki cedera selepas ditetak dalam satu pergaduhan melibatkan dua kumpulan penyokong parti politik, gara-gara perselisihan faham berhubung lokasi pemasangan bendera di Felda Neram, Kemaman malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Koh Ah Tiam berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam ketika mangsa sedang memasang bendera parti bersama beberapa rakannya sebelum diserang sekumpulan 10 lelaki dengan kayu dan parang.
"Mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an cedera di bahagian depan dan belakang badan sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan untuk rawatan lanjut.
"Bagaimanapun, kita masih belum menerima laporan perubatan daripada pihak hospital bagi mengesahkan tahap kecederaan yang dialami oleh mangsa," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Ah Tiam, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda dan sebatan atau mana-mana dua dari hukuman tersebut.
"Selain itu, kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat iaitu merosakkan bendera atau poster yang telah dipasang," ujar beliau.
Tambahnya, kes tersebut merupakan yang ketujuh dikesan berlaku di negeri ini setakat ini.
"Bagaimanapun, ini kes pertama yang melibatkan kecederaan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," kata beliau.

No comments:

Post a Comment