Saturday, April 27, 2013

isu nfc dah selesai

ARKIB : 25/04/2013

Pembangkang tidak layak berkempen jual isu NFC

HANYA kira-kira tujuh bulan sejak 15 Oktober 2012, janji kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengambil beberapa langkah dalam mengkaji semula hala tuju projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) di samping mendapatkan kembali pinjaman yang diberikan kepada syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) akhir sudah tercapai.
Kemelut Pusat Fidlot Negara (NFC) menjadi perhatian ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan bahawa syarikat itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya, diikuti dakwaan pembangkang wujud penyelewengan pinjaman mudah kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC.
Kini tiba khabar baik dalam musim kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini apabila sebuah syarikat kerjasama antara Malaysia dan Jepun bersetuju untuk mengambil alih keseluruhan operasi syarikat yang mengendalikan NFC.
Pengambilalihan oleh Kirimitonas Agro Sdn. Bhd. (KASB) adalah usahasama antara syarikat tempatan, Otoshitos Sdn. Bhd. dan syarikat makanan terkenal dari Jepun, Hannan Food Group (HFG).
Pada 19 April lalu, persetujuan pengambilalihan itu diberikan berdasarkan kesanggupan syarikat usahasama itu mengambil alih semua aset dan liabiliti NFC. Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, KASB bersetuju membuat pembayaran permulaan sebanyak RM34 juta bagi tahun lepas dan tahun ini.
Bakinya iaitu RM216 juta termasuk faedah akan dibayar dalam perjanjian konsesi baharu yang akan dibincang dalam tempoh enam bulan akan datang.
Dalam pada itu, Mohd. Irwan berkata, pengambilalihan tersebut bukan tindakan menyelamat sebaliknya KASB perlu membayar balik segala aset dan liabiliti kepada kerajaan termasuk modal suntikan sebanyak RM20 juta.
Lembaga pengarah syarikat NFC terdahulu telah menyerahkan kepada kerajaan projek ini dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengambil alih dan memulihkannya. Soal hutang pula, sebelum ini modal diberikan kepada syarikat bukan kepada individu atau mana-mana pengarah dan yang lebih penting menerusi perjanjian baharu ini, kerajaan mendapat kembali wang termasuk faedah.
Terbukti bahawa projek NFC mempunyai potensi jika tidak bagaimana syarikat KASB sanggup mengambil alihnya. Syarikat HFG dari Jepun itu yakin konsep perniagaan NFC adalah berdaya maju kerana ia hampir menyamai perniagaan HFG yang dimulakan di Jepun selepas Perang Dunia Kedua lebih 65 tahun lalu susulan kebimbangan kerajaan negara itu mengenai isu jaminan makanan.
Sebelum ini NFC mempunyai aktiviti penternakan, pemprosesan daging, pengeluaran makanan ternakan dan pemasaran. Ia juga sudah siap membangunkan ladang model seluas 1,500 hektar.
Kini kemelut NFC boleh dianggap selesai. Usaha pihak pembangkang selama ini hanya untuk merosakkan imej Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Pembangkang takut dengan kekuatan jentera Wanita UMNO yang bersatu padu, rajin bekerja dan turun padang setiap kali PRU. Pembangkang jadi gementar dan cemburu dengan kerja keras Wanita UMNO maka mereka mencari jalan untuk menjatuhkan sayap UMNO itu. Tetapi pembangkang tersilap perkiraan, apabila pada 19 Januari 2012, Shahrizat memfailkan saman fitnah terhadap Pengarah Strategi PKR, Mohd. Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berhubung isu NFC.
Shahrizat mendakwa, Mohd. Rafizi dan Zuraida melancarkan satu kempen strategik untuk mencemarkan nama baiknya dengan mengaitkan diri beliau dengan NFC, sedangkan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu tidak memegang jawatan atau memiliki ekuiti dalam projek tersebut mahupun Agro-Science Industries Sdn. Bhd. (Agro-Science).
Apa pun dalam konteks mencari salah pemimpin UMNO dan kerajaan BN ini menunjukkan sikap dwistandard pembangkang. Pemimpin PKR, Pas dan DAP hanya menutup mata jika sesuatu skandal itu melibatkan mereka walaupun ia melibatkan wang rakyat. Contonya mengapa pembangkang cuba menutup skandal penternakan lembu Kedah Corporation Berhad (KCB) bernilai RM1 juta yang mempunyai persamaan dengan kes NFC.
Sedangkan sebelum ini pemimpin pembangkang begitu ghairah dan cukup bernafsu mendedahkan kontroversi projek NFC sehingga pelbagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap kerajaan.
Mengapa pembangkang senyap dan membisu walaupun projek bernilai RM1 juta itu mungkin nampak kecil tetapi sebenarnya ia 0.10 peratus daripada bajet Kerajaan Negeri Kedah yang berjumlah RM1 bilion. Peratusan itu sama dengan kes NFC yang juga 0.10 peratus berbanding bajet Kerajaan Pusat. Ini skandal besar bagi sebuah negeri yang memiliki ekonomi seperti Kedah.
Dengan keputusan kerajaan bersetuju KASB mengambil alih projek NFC pada 19 April lalu; dan keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bahawa tiada pembabitan salah guna kuasa oleh Shahrizat membabitkan pemberian pinjaman RM250 juta maka Peguam Negara membuat keputusan supaya kes itu ditutup dan diumumkan oleh badan bebas, Panel Penilaian Operasi pada 31 Mei 2012 - maknanya tiada asas untuk pembangkang mainkan isu NFC dalam kempen PRU-13 ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130425/re_02/Pembangkang-tidak-layak-berkempen-jual-isu-NFC#ixzz2RbvfgVpV
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment