Jemaah kecewa ceramah politik di masjid
GUA MUSANG 3 April - Jemaah Masjid Chiku 7 di sini, kecewa selepas seorang guru agama didakwa menggunakan masjid itu sebagai ruang berpolitik dengan melemparkan tuduhan liar terhadap kerajaan.Menurut jemaah terbabit, guru agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (JHEAIK) itu diamanahkan menyampaikan kuliah agama di masjid berkenaan dua kali sebulan iaitu pada minggu pertama dan ketiga.
Walau bagaimanapun, jemaah, Rohani Razak, 45, memberitahu, guru agama itu sewaktu menyampaikan kuliah maghrib malam tadi menyentuh isu politik yang berunsur hasutan bagi menimbulkan persepsi buruk orang ramai terhadap kerajaan.
"Kami mengikuti kuliah di masjid untuk belajar agama. Tapi ustaz itu bercerita mengenai isu lembu dan kapal selam. Masjid bukan tempat untuk berceramah politik.
"Kami amat kecewa dengan sikap ustaz ini kerana tergamak menggunakan rumah suci Allah untuk menyebar dakyah politik pembangkang kepada masyarakat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini hari ini.
Sehubungan itu, dia mewakili jemaah masjid tersebut mendesak pihak berkenaan menjalankan siasatan supaya isu sama tidak berlaku di masjid-masjid lain terutama menjelang pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan, Mohamad Daud Mat Diah turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan guru agama terbabit yang disifatkan tidak bertanggungjawab.
Lebih mengecewakan, katanya, pihak pengurusan masjid berkenaan menyediakan sumbangan untuk guru agama itu menyampaikan kuliah agama termasuk yang disumbangkan jemaah menerusi tabung masjid.
"Saya juga berasa bimbang tindakan guru agama terbabit menyebabkan jemaah di masjid ini semakin berkurangan," katanya.
Tambah beliau, masyarakat di kariah itu selama ini hidup dalam keadaan muafakat tanpa mengira fahaman politik dan tindakan penceramah terbabit boleh mengganggu keharmonian tersebut.
No comments:
Post a Comment