Monday, April 22, 2013

akibat tidak bagi pasang bendera

Peniaga enggan benar pacak bendera cedera ditetak

KOTA BHARU 21 April - Akibat enggan membenarkan bendera parti politik dipasang di kedainya, seorang peniaga cedera di paha kirinya setelah dilibas parang oleh sekumpulan lelaki di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor kelmarin.
Berikutan kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun tersebut terpaksa dikejarkan ke hospital dan menerima 18 jahitan.
Bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan seorang suspek berusia 28 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 akta sama kerana melakukan ugutan jenayah.
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Supritendan Che Mahazan Che Aik berkata, dalam kejadian itu, mangsa yang sedang berbual di kedainya telah didatangi tiga lelaki yang dikenali dengan salah seorang daripada mereka melibas parang hingga mencederakan paha kirinya.
"Motif kejadian dipercayai kerana pengadu tidak bersetuju kawasan kedainya diletakkan dengan apa-apa lambang parti kerana bimbang boleh menjejaskan perniagaannya.
"Polis kini memburu dua lagi suspek yang sudah dikenal pasti serta dijangka membuat tangkapan segera," katanya semasa menyampaikan taklimat harian di Pusat Media IPK Kelantan di sini hari ini.
Che Mahazan seterusnya menasihatkan semua pihak terutama penyokong parti-parti bertanding supaya menjaga keamanan semasa berkempen dengan tidak melakukan sebarang provokasi atau perkara khianat bagi mengelak kejadian tidak diingini.

No comments:

Post a Comment