Tuesday, October 26, 2010

Tak Tau La Orang Kaya Mana Akan Dapat

23,000 keluarga miskin tegar layak sertai 1AZAM


2010/10/26

SHAH ALAM: Seramai 23,000 keluarga miskin tegar di seluruh negara dikenal pasti layak menyertai Program Teman 1AZAM (Akhiri Zaman Miskin) menerusi peruntukan RM66 juta yang diluluskan kerajaan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, mereka keluarga yang berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah kementeriannya selain memperoleh pendapatan isi rumah kurang daripada RM440 sebulan.

“Mereka akan diberi elaun bulanan mulai bulan ini sehingga Disember ini. Peserta akan terus menerima elaun bulanan berkenaan tahun depan dengan syarat mereka mesti menyertai satu program yang dikhususkan untuk mereka.

“Elaun bulanan yang diterima mereka juga berbeza, tertakluk kepada pendapatan isi rumah. Cuma jaminan kementerian ialah elaun itu tidak akan kurang RM100,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Elaun Bulanan 1AZAM di Pejabat Pos Besar di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar.

Shahrizat berkata, keluarga yang tergolong dalam kategori miskin tegar akan dibantu mengikut program 1AZAM daripada projek Azam Niaga, Azam Tani, Azam Kerja dan Azam Khidmat.

Katanya, semua peserta akan dibantu mengembangkan potensi diri untuk berjaya dan berdikari dalam hidup, berbeza daripada sebelum ini apabila mereka hanya mengharapkan bantuan berterusan daripada kerajaan.

“Elaun bulanan mereka akan diteruskan sehingga peserta itu sudah mampu keluar dari kemiskinan dengan memperoleh pendapatan bulanan sendiri yang tetap.
“Jika beliau minat bercucuk tanam, kita akan minta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membantu dan begitu juga dengan Kementerian Sumber Manusia akan membantu peserta mencari kerja bersesuaian jika mereka ingin bekerja,” katanya.

Selain itu, katanya, program berkenaan membuktikan Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan rakyat, termasuk di negeri yang diperintah pembangkang.

Peserta boleh mengambil elaun masing-masing di 703 Pejabat Pos di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment