Friday, October 15, 2010

Cara Melayan Rakyat Sendiri



16 bantah roboh kedai
Oleh Aniza Zainudin

2010/10/15

AMPANG: “Semalam hantar notis, hari ini (semalam) bawa jentera untuk robohkan gerai kami”. Antara luahan tidak berpuas hati 16 peniaga di Flat LC 700, Pandan Perdana mengenai tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merobohkan kedai mereka di sini, semalam.


ROBOH...kakitangan MPAJ merobohkan kedai terbabit, semalam.

KUMPUL...peniaga mengumpulkan barang masing-masing. Proses merobohkan kedai tanpa lesen di flat berkenaan oleh MPAJ yang disertai kira-kira 50 pegawai penguat kuasa itu bermula seawal jam 10.30 pagi selepas peniaga selesai mengeluarkan barangan jualan.

Peniaga kedai minum, Ali Hashim, 66, berkata dia hanya menerima surat penolakan mengenai cadangan peniaga untuk menyusun atur kedudukan kedai bertarikh 12 Oktober lalu daripada MPAJ, kelmarin, sebelum mengedarkan kepada peniaga lain.

“Kira-kira jam 9 pagi, ketika sibuk membancuh minuman untuk pelanggan, saya dikejutkan dengan kehadiran pegawai MPAJ serta jentera berkenaan dan saya tak menyangka mereka akan bertindak sedemikian.

“Tindakan MPAJ itu dianggap menindas peniaga yang juga penduduk flat ini kerana kami langsung tidak diberitahu proses meroboh akan dilakukan hari ini (semalam).

“Kami bukan golongan berada dan bergantung hidup dengan kedai yang tidak seberapa ini. Selepas ini, saya pun tak tahu di mana tempat patut kami berniaga,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Komuniti Penyelenggaraan flat berkenaan, Hamidah Zainol, 46, berkata dia pernah menghantar surat cadangan bagi menyusun atur kedai terbabit sebelum menerima notis perpindahan berkuatkuasa 1 Oktober lalu.

Menurutnya, notis perpindahan berkenaan ditangguhkan sementara waktu berikutan MPAJ menerima surat cadangan daripada mereka.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad, berkata notis perpindahan dikeluarkan sejak 25 Ogos lalu dan menyatakan tindakan meroboh akan dilakukan pada 1 Oktober lalu, namun ia ditangguhkan sehingga 7 Oktober lalu.

Katanya, pihak MPAJ sudah memaklumkan mengenai tindakan berkenaan dan peniaga seharusnya lebih bersiap sedia menghadapinya.

Mengulas mengenai dakwaan kadar sewa mahal, Norhayati berkata, peniaga perlu mengambil inisiatif dengan mengadakan rundingan bersama pemilik medan selera berkenaan.

No comments:

Post a Comment