MCA, MIC henti pertikai hak keistimewaan Melayu...
SAYA setuju dengan teguran dalam ruangan 'Bisik-Bisik Mingguan' oleh Awang Selamat terhadap reaksi kurang wajar oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, berhubung Perlembagaan Negara seperti ditegaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung parti itu baru-baru ini.
Dalam komennya yang disiarkan oleh sebuah stesen TV tempatan, Soi Lek dipetik sebagai berkata: Ada orang nak jadi hero. Tapi soalnya kita nak menang pilihan raya.
Nada serupa juga disuarakan oleh Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu (menjelang persaraannya Januari depan) tentang kontrak sosial: Kalau kita nak bincang juga, kita bincang dalam bilik...
Komen yang dibuat oleh kedua- dua pemimpin Barisan Nasional (BN) ini dilihat masih tidak betul-betul ikhlas berhubung kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan kaum bumiputera, di samping menjamin hak- hak kaum lain seperti tercatat dan dipersetujui dalam Perlembagaan Negara.
Apakah dengan mengkritik hak istimewa Melayu/bumiputera dan mahu menghapuskan ekuiti 30 peratus penyertaan bumiputera dalam ekonomi boleh menjamin menang dalam pilihan raya seperti dakwaan Soi Lek itu?
Soi Lek sepatutnya tidak menjadi carbon copy DAP. Dia mesti berusaha memperkuatkan MCA dengan menggalakkan orang Cina mengundi BN, bukan dengan memilih cara mudah mempertikaikan hak bumiputera. Ia juga dilihat bertentangan dengan semangat 1Malaysia yang dipromosi oleh Perdana Menteri.
Biarpun MCA dan MIC menerima kekalahan teruk dalam pilihan raya umum 2008 lalu berbanding UMNO, tetapi UMNO yang menjadi tulang belakang BN tidak pun mengungkit hak-hak kaum lain yang diperuntukkan dan terjamin dalam perlembagaan.
Kesemua parti komponen BN terutama MCA, sepatutnya memberikan kerjasama penuh dan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada UMNO untuk memulihkan semula sokongan rakyat berbilang kaum bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dan mengembalikan semula majoriti 2/3 BN. Usahlah ikut cara pembangkang dengan mengungkit dan mengkritik UMNO.
Bagi masa terdekat ini, kerjasama dan sokongan itu perlu diterjemahkan dalam pilihan raya kecil Galas, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi, Sabah. Seterusnya, memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang.
MAT PIAH TEH DERIS
Serdang, Selangor
No comments:
Post a Comment