Friday, October 29, 2010

Ambik Ikhtibar La

Pegawai LHDN dipenjara 2 tahun

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Seorang Penolong Pegawai Eksekutif (Penaksiran) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dipenjara dua tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM6,000, lima tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Arifin membuat keputusan itu terhadap Miftahhudin Abdullah, 40, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyetuju terima suapan tersebut daripada seorang kontraktor, Maimunah Suhor, sebagai dorongan untuk mengeluarkan Surat Pengesahan Pendapatan bertarikh 4 Mac 2005 di Mentari Channel Food Court, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman di sini, pada pukul 5.05 petang, 4 Mac tahun yang sama.

Dia yang digantung tugas, didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Miftahhudin yang diwakili peguam bela Syahrul Syazwan Salehin memohon hukuman ringan kerana telah insaf selain ia merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadzillah Mohd. Ossman memohon hukuman yang berat dikenakan sebagai mesej kepada orang ramai bahawa rasuah adalah jenayah serius.

No comments:

Post a Comment