Tuesday, October 26, 2010

Biasa Lah

Murid tidak layak turut terima bantuan KWAPM


2010/10/26

LAPORAN Ketua Audit Negara 2009 mendedahkan berlaku penyelewengan mengagihkan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada murid tidak layak kerana maklumat pendapatan mereka meragukan.

Malah, ada penerima didapati memiliki kemudahan tidak sepadan dengan kedudukan kewangan diisytiharkan seperti saluran televisyen berbayar Astro, lebih sebuah kenderaan dan ada penghawa dingin di rumah.

Selain itu, lapan kes kehilangan dan penyelewengan berjumlah RM196,550 dilaporkan dari 2004 hingga 2008 di mana dua daripadanya akibat penyalahgunaan wang oleh guru besar, kehilangan wang oleh guru besar (tiga), kegagalan guru besar menyerahkan wang (dua) dan aduan penyelewengan kewangan oleh guru besar (satu).

Tiga daripada kes itu sudah disiasat Kementerian Pelajaran dan pihak yang terbabit sudah dikenakan tindakan, iaitu hukuman tatatertib berupa amaran dan turun pangkat (satu kes) serta guru besar dikenakan tindakan surcaj (dua kes).

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata semakan terhadap borang permohonan KWAPM bagi 1,350 murid yang diluluskan bantuan mendapati ia turut diberi kepada penerima tidak memenuhi kriteria.

“Ada bantuan diluluskan walaupun pendapatan dicatat dalam borang permohonan tidak melayakkan mereka menerimanya.

“Pihak sekolah mencatat angka pendapatan lebih rendah dan menambah bilangan tanggungan daripada yang ditunjukkan dalam borang permohonan murid bagi melayakkan mereka menerima bantuan.
“Selain itu, ada juga sekolah yang mengisi Borang Rumusan terlebih dulu untuk dihantar kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan kemudian mengarahkan murid melengkapkan borang permohonan,” katanya dalam laporan itu.

Sejak KWAPM ditubuhkan pada 2003, kerajaan memperuntukkan RM1.45 bilion untuk tabung itu, bagaimanapun sejumlah RM1.62 bilion sudah dibelanjakan untuk memberi bantuan kepada pelajar miskin, dengan sumbangan turut diterima daripada sektor awam dan swasta, orang ramai dan pulangan daripada simpanan tetap.

Hasil temu bual pihak audit dengan 404 penerima bantuan tahun lalu di 42 sekolah mendapati 75 orang atau 18.6 peratus keluarga ada kemudahan Astro di rumah, 72 keluarga (17.8 peratus) memiliki antara dua hingga enam kenderaan dan sembilan keluarga memiliki antara satu hingga dua unit pendingin hawa.

No comments:

Post a Comment