Wednesday, October 6, 2010

Nasib

Sikap penduduk kampung jerut leher sendiri

PULAU PINANG 5 Okt. - Sikap penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong di sini yang begitu mudah mempercayai janji kerajaan negeri untuk membela nasib mereka tanpa sebarang hitam putih amat dikesali.

Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM), Aminah Abdullah berkata, tindakan mereka umpama menjerut leher sendiri kerana perjanjian tanpa dokumen rasmi boleh berubah pada bila-bila masa.

Katanya, penduduk tersebut seolah-olah tidak serik dengan permainan mereka selama ini yang sering menabur janji-janji kosong kepada rakyat.

"Saya kesal dengan sikap penduduk yang mudah terpedaya dengan janji-janji kosong tanpa hitam putih.

"Zaman sekarang manusia sudah tidak kenal halal dan haram. Pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa mengambil kesempatan ke atas mereka yang lemah asalkan poket penuh," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Sesyen di sini Jumaat lalu menolak untuk melanjutkan tempoh penangguhan pelaksanaan arahan pengosongan dan merobohkan rumah penduduk Kampung Jalan Pokok Asam oleh pemaju.

Sepanjang prosiding itu, tiada seorang pun penduduk kampung berkenaan kelihatan termasuk peguam yang mewakili mereka, Nasrul Omar.

Difahamkan, ketiadaan penduduk dikatakan berikutan jaminan Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Jelutong bahawa kerajaan negeri telah berjanji untuk membela nasib mereka.

Pada 30 Jun lalu, kira-kira 200 penduduk Kampung Jalan Pokok Asam hampir diusir pemaju yang membawa bersama jentolak untuk merobohkan rumah di kawasan itu.

Bagaimanapun, selepas perbincangan bersama beberapa penduduk dengan pihak pemaju yang diwakili oleh seorang peguam, tempoh pengosongan kampung itu ditangguhkan.

Kampung berkenaan yang berusia kira-kira 100 tahun bakal dibangunkan dengan projek kediaman bertingkat berharga lebih RM800,000 sebuah oleh pemaju dari Kuala Lumpur.

Aminah yang juga bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang berharap jaminan kerajaan negeri itu bukan cakap kosong.

"Saya harap pihak-pihak yang mewakili kerajaan negeri tidak menipu penduduk kampung. Janganlah bila sudah pegang kuasa mereka lupa diri, lupa keluarga dan kawan-kawan sekampung," ujarnya.

No comments:

Post a Comment