Friday, October 29, 2010

Melayu PP

Balik Pulau jangan menyesal

MERUJUK kepada laporan oleh Nurulhuda Hassan bertarikh 18 Oktober 2010 dalam Utusan Malaysia ruangan Dalam Negeri (muka surat 14) bertajuk Penduduk Genting Balik Pulau Tekad Pertahan Kampung: Bantah Tanah Diambil Untuk IPT, saya terpanggil untuk memberi sedikit pandangan peribadi mengenai senario yang berlaku di Balik Pulau, Pulau Pinang untuk perhatian rakyat Malaysia dan pemerintah.

Umumnya Balik Pulau dikenali sebagai syurga durian kerana keadaan muka buminya yang subur untuk kegiatan pertanian terutamanya penanaman buah-buahan kayu seperti durian, rambutan, pala dan sebagainya. Dari segi taburan penduduk, kawasan Balik Pulau merupakan satu- satunya kawasan penempatan orang Melayu yang terbesar di Pulau Pinang (dengan tidak mengambil kira Seberang Perai).

Walaupun Balik Pulau dikategorikan sebagai kawasan luar bandar namun sistem pendidikan di Balik Pulau boleh dikatakan sebagai antara yang terbaik. Ini kerana di Balik Pulau, kami mempunyai berbelas sekolah rendah kebangsaan, beberapa sekolah rendah jenis kebangsaan (Cina), tiga buah sekolah menengah kebangsaan dan sebuah Sekolah Menengah (SJK) Cina. Selain itu, Balik Pulau juga mempunyai sebuah Giat Mara, MRSM, Sekolah Menengah Teknik, Maahad Pengajian Islam (sedang rancak dibina), Politeknik (projek terbengkalai sejak 2006), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan Universiti Teknologi MARA.

Walaupun Balik Pulau merupakan kawasan penempatan orang Melayu terbesar di Pulau Pinang, namun ia mula terjejas apabila kaum-kaum lain mula mendominasi penempatan di Balik Pulau sejak tahun 1997 ekoran lambakan pembinaan kawasan perumahan kos sederhana yang tidak mampu dimiliki oleh penduduk Melayu. Rata-rata warga Balik Pulau adalah petani dan nelayan dan rumah yang dibina bernilai lebih RM350,000 untuk rumah teres dua atau tiga tingkat.

Pembangunan seperti ini dapat dilihat di merata-rata tempat di Balik Pulau sebagai contoh di kawasan Air Puteh, kawasan Kongsi (berhadapan dengan Stesen Bas Balik Pulau), kawasan Pondok Upeh (bersebelahan dengan Taman Pondok Upeh), kawasan Bagan Air Itam (bersebelahan dengan Pondok Polis Air Putih) dan kawasan Paya Kongsi (berhadapan dengan Kuil Hindu). Rata-rata rumah yang dibangunkan tidak mampu dimiliki oleh penduduk Melayu di Balik Pulau.

Kesannya kawasan tanah milik orang Melayu di Balik Pulau makin menyusut peratusan pemilikan yang mana telah berpindah milik kepada kaum yang lain.

Baru-baru ini pula digemparkan dengan laporan bahawa kerajaan negeri telah mewartakan kawasan kampung Genting dan Pondok Upeh sebagai tapak untuk dijadikan kawasan pembinaan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT).

Untuk pengetahuan pembaca, kawasan Pondok Upeh dan Genting merupakan kawasan penempatan majoriti orang Melayu, kawasan dusun durian dan telah mempunyai sebuah MRSM, KKTM dan bakal mempunyai sebuah Maahad Pengajian Islam.

Persoalan yang timbul di sini, kenapa ini boleh berlaku? IPT apakah yang akan dibina? Apa rasionalnya dibina lagi IPT dan kenapa tanah kawasan Genting dan Pondok Upeh yang diambil sedangkan masih banyak lagi tanah kosong di kawasan Pantai Acheh dan Kuala Pulau Betong?

Untuk pengetahuan pembaca, Politeknik Balik Pulau yang sepatutnya siap pada 2009 telah terbengkalai sejak tahun 2006 (maaf sekiranya salah). Sepatutnya masalah pembangunan politeknik ini yang perlu diberi perhatian, bukannya membina satu lagi IPT.

Apakah rasionalnya membina satu lagi IPT jika pembangunan IPT yang sedia ada pun terbengkalai? Selain itu, kenapa kawasan penempatan yang memang telah jelas dan terang kawasan penempatan orang Melayu perlu diwartakan oleh kerajaan negeri untuk dibina IPT sedangkan pada pendapat saya masih banyak lagi tanah kosong di tempat lain yang boleh diwartakan.

Sekiranya tujuannya adalah untuk memajukan kawasan tersebut, saya merasakan tujuan itu kurang cerdik kerana dua kawasan ini (Pondok Upeh dan Genting) telah maju dalam acuan mereka sendiri. Di sini sudah ada MRSM dan KKTM dan juga terkenal dengan kawasan dusun buah- buahan kayu terutamanya durian. Sekiranya penempatan mereka diambil untuk tujuan pembinaan IPT, saya percaya sedikit sebanyak kawasan dusun durian ini juga akan terjejas.

Ini pasti akan menjejaskan salah satu sumber rezeki penduduk Kampung Genting dan Pondok Upeh. Pada pandangan saya sekiranya pihak kerajaan negeri benar-benar mahu memajukan daerah Balik Pulau, kawasan yang patut dimajukan oleh kerajaan negeri adalah kawasan Pantai Acheh. Kawasan ini jauh dari pekan dan agak terasing. Ini kerana masih banyak tanah kosong di sini yang boleh diwartakan oleh kerajaan negeri sebagai tapak pembinaan IPT. Sekiranya pihak kerajaan negeri mempunyai alasan yang kukuh untuk mewartakan kawasan Pondok Upeh dan Genting sebagai tapak pembinaan IPT, saya mohon diperjelaskan kepada rakyat untuk lebih kefahaman dan juga IPT jenis apakah yang bakal dibina?

Berbalik kepada persoalan penyusutan pemilikan tanah oleh kaum bumiputera di Balik Pulau khususnya orang Melayu, saya melihatkan fenomena ini berlaku adalah disebabkan oleh kesalahan dan kesilapan penduduk Melayu Balik Pulau itu sendiri.

Sikap tamak dan faktor ekonomi menyebabkan banyak tanah milik Melayu tergadai kepada kaum lain. Apabila ditawarkan dengan bayaran yang agak lumayan, rata-rata pemilik tanah Melayu di Balik Pulau tidak akan teragak-agak untuk menjualnya walaupun pampasan yang diberikan tidak setimpal.

Ini kerana rata-rata tanah yang dijual oleh kaum Melayu Balik Pulau merupakan tanah pusaka yang diperoleh daripada moyang mereka. Oleh kerana tidak mahu mengusahakan tanah tersebut ataupun kabur dengan tawaran yang diberikan, maka keputusan mudah diambil. "Jual saja. Boleh jadi orang kaya. Sampai bila nak hidup susah". Ini antara jawapan yang diberikan apabila ditanya. Natijahnya kepada masyarakat tidak diambil peduli.

Selain itu, faktor politik juga memainkan peranan penting terhadap lambakan pembinaan taman perumahan. Sekiranya perancangan dibuat oleh pihak pemerintah dengan mengambil kira status ekonomi di Balik Pulau, saya merasakan kawasan penempatan kos sederhana pasti dikurangkan dan akan dilebihkan pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah.

Ini kerana isu tanah dan pembinaannya adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Kerajaan negeri berhak memberi kebenaran dan menghalang pembinaan yang dirasakan tidak perlu. Apakah motif dibina lebih banyak kawasan perumahan kos sederhana bernilai lebih daripada suku juta ringgit yang pasti tidak mampu dimiliki oleh penduduk di Balik Pulau perlu difikirkan? Wakil rakyat Balik Pulau YB Yusmadi Yusof dan YB Mohd. Farid Saad mungkin ada jawapannya?

Selain perpindahan pemilikan tanah untuk tujuan pembinaan rumah, di Balik Pulau tanah dikorek dan dijual. Ini kerana pasir di kawasan tersebut (Permatang Pasir, Kampung Terang, Titi Teras, Sungai Burung dan Sungai Rusa) amat berharga. Kesannya pasir jerlus dan banjir kilat berlaku apabila hujan. Kebanyakan tanah yang terlibat adalah tanah milik orang Melayu. Persoalan di sini siapa yang perlu dipersalahkan dan bagaimana ini boleh berlaku? Mungkin Pihak Berkuasa seperti Majlis Perbandaran Balik Pulau ada jawapannya.

Kesimpulannya, apa yang berlaku di Balik Pulau pada masa sekarang adalah berpunca dari sikap orang Melayu Balik Pulau sendiri semasa pilihan raya umum ke-13. Pada pendapat saya, ini adalah harga yang perlu dibayar oleh masyarakat Melayu Balik Pulau apabila mereka memilih untuk berpecah kepada tiga (UMNO, PAS dan PKR) dan membenarkan pembangkang bersatu untuk menukarkan tampuk pemerintahan di Pulau Pinang.

Masyarakat Melayu di Balik Pulau sepatutnya tidak perlu merungut, berkeluh-kesah, membuat demonstrasi dan mengadu ke sana ke sini kerana mereka yang membuat pilihan supaya keadaan jadi seperti sekarang.

HANI AHMAD

Balik Pulau

No comments:

Post a Comment