Thursday, October 21, 2010


Pengawal keselamatan dibelasah 10 lelaki

KUANTAN 20 Okt. - Niat seorang pengawal keselamatan untuk membantu rakan setugasnya yang diserang seorang lelaki ketika bertugas di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, mengundang padah apabila dia turut dibelasah sekumpulan lelaki di luar hospital itu.

Mangsa, Hashim Ahmad, 41, dibelasah suspek dan kira-kira 10 lagi rakannya ketika dalam perjalanan pulang ke HTAA selepas membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 2.30 petang.

Menurut bapa tiga anak itu, sebelum kejadian, dia diugut lelaki berkenaan semasa membantu rakannya, S. Anna Purani, 29, dalam kejadian pukul 11.30 pagi di HTAA.

"Ketika itu, saya melihat lelaki berkenaan menolak Anna yang tidak membenarkan dia masuk ke wad melalui laluan utama.

"Anna mengarahkan dia mengikut laluan belakang memandangkan laluan tersebut hanya untuk pesakit dan petugas.

"Bagaimanapun, lelaki berusia 30-an itu bukan sahaja menolak Anna, malah membaling kerusi sehingga terkena Anna," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) daerah, di sini semalam.

Hashim mendakwa, lelaki berkenaan kemudian berang apabila dia cuba membantu Anna dan melepaskan tumbukan bertalu-talu kepadanya.

"Saya cuba mempertahankan diri dengan membalas tumbukan tersebut. Lelaki berkenaan segera beredar dan mengugut membawa rakannya untuk memukul saya.

"Atas nasihat ketua saya, kami membuat laporan polis. Namun, semasa dalam perjalanan pulang ke HTAA, kami dihalang dengan dua kereta Proton Wira dan Gen-2.

"Secara tiba-tiba lelaki berkenaan dan rakannya menyerang dengan menggunakan sebatang besi. Saya segera menyelamatkan diri berlari masuk ke balai trafik," katanya.

Akibat kejadian itu, Hashim mengalami kecederaan di kepala, telinga dan tangan.

Katanya, dia kemudian ke Balai Polis Kuantan untuk membuat laporan kedua berhubung kejadian itu sebelum mendapatkan rawatan di HTAA.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan tersebut.

No comments:

Post a Comment