Thursday, October 28, 2010

Pekerja Yang Tak Kenang Budi

Bekas kakitangan Felda dedah maklumat

BENTONG 27 Okt. - Felda Wilayah Mempaga mengecam segelintir bekas kakitangannya yang dikesan bersekongkol dengan pemimpin parti pembangkang apabila mendedahkan maklumat dan kelemahan agensi itu.

Pengurus Besar Felda Wilayah Mempaga, Jahya Janal berkata, sikap sedemikian adalah pengkhianat kepada masyarakat peneroka dan agensi yang telah banyak membantu ekonomi mereka.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kakitangan Felda supaya tidak bersikap talam dua muka dan memberikan maklumat yang tidak benar mengenai Felda kepada pihak lain kerana boleh digunakan oleh pihak tertentu untuk melemahkan agensi itu.

''Sikap talam dua muka adalah mengkhianati aku janji semasa diterima bekerja dengan Felda dan perbuatan bermuka-muka itu merugikan masyarakat peneroka dan Felda sendiri.

''Kita perlu mematuhi segala syarat sepanjang bertugas dengan Felda dan juga selepas bersara kerana kita masih menerima pencen daripada kerajaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jahya mengingatkan kakitangan Felda supaya tidak menjadi petualang atau 'kacang lupakan kulit' yang sanggup bersekongkol dengan pihak pembangkang sebalik perlu bersama-sama Felda berusaha membaiki kelemahan demi kemakmuran tanah rancangan wilayah itu.

Menurut beliau, kakitangan Felda tidak perlu menyembunyikan sesuatu kelemahan dalam pentadbiran agensi ini sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu membangunkan Felda.

Bagaimanapun, tegasnya, kelemahan itu perlu didedahkan mengikut saluran yang betul menerusi perbincangan dan rundingan dengan pengurusan Felda, bukan disalurkan kepada parti pembangkang.

Tambahnya, perbuatan bersekongkol dengan pembangkang boleh menjejaskan perpaduan atau persefahaman yang telah lama wujud sejak awal penubuhan Felda.

"Jika ada kakitangan Felda yang tidak berpuas hati, sepatutnya mereka tampil supaya segala masalah dapat diatasi dengan baik dan bukannya memburuk-burukkan Felda hanya untuk kepentingan individu.

"Sudah pasti setiap perancangan yang dilaksanakan dapat diterima baik dan ada juga ditolak oleh warga Felda tetapi jika mendapat aduan daripada peneroka mereka perlu memberitahu pihak atasan agar ia diatasi segera," jelasnya.

Kata beliau, kejayaan Felda dan kesejahteraan hidup yang dicapai oleh warga peneroka masa kini telah mendapat perhatian daripada banyak pihak terutamanya parti pembangkang.

Katanya, hasil kejayaan itu menyebabkan masyarakat peneroka menyokong kerajaan sedia ada tetapi pembangkang cuba memecahbelahkan keutuhan dan perpaduan peneroka dengan melemahkan pentadbiran Felda.

''Mereka yakin dengan menggambarkan Felda sebuah agensi yang korup dapat mempengaruhi dan memecahbelahkan warga peneroka yang selama ini merupakan kubu terkuat yang mempunyai penyokong dan pengundi kerajaan," katanya.

No comments:

Post a Comment