Saturday, October 23, 2010

Kerjaya Di Kampung

Buka peluang kerjaya di luar bandar

Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my
PERBAHASAN usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO semalam sarat dengan pelbagai cadangan dan pandangan bertujuan membantu memantapkan ekonomi orang Melayu pada masa akan datang supaya tidak ketinggalan dan mampu bersaing dengan golongan bukan bumiputera.

Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang disarankan penubuhannya supaya diasingkan secara mutlak dari agensi kerajaan.

Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim berkata, MTAB perlu diasingkan sedemikian rupa supaya tidak timbul keadaan orang lain yang menanam benih tetapi orang lain yang menuai hasilnya dalam tempoh jangka panjang.

''Antara contoh senario ini ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di mana kita yang tubuhkan perbadanan tersebut tetapi pada masa ini, orang lain yang menuainya. Oleh itu, MTAB perlu dikendali oleh UMNO," katanya.

Razali berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan menyokong usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam wawancara bersama Utusan Malaysia sebelum ini berkata, ada keperluan supaya MTAB ditubuhkan bagi mengumpul data-data yang lengkap supaya penglibatan golongan bumiputera dalam semua bidang boleh dipantau.

Razali turut mencadangkan supaya sebarang keputusan yang diambil oleh MTAB dibawa secara berkala pada setiap Perhimpunan Agung UMNO bagi membolehkan semua pihak tahu apa yang sedang berlaku.

Beliau tidak menolak kemungkinan penubuhan MTAB akan dipandang negatif oleh segelintir pihak terutamanya pembangkang kerana itu sememangnya sikap mereka.

''Sebagai contoh, dulu ketika Jambatan Pulau Pinang didirikan, ramai yang menuduh macam-macam tapi sekarang jambatan kedua akan dibina," jelasnya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Awang Adek Hussin ketika menyampaikan perbahasan sebagai pencadang usul ekonomi berkata, projek-projek besar seperti projek pembangunan Sungai Buloh dan Menara Warisan Merdeka yang diumumkan sebelum ini adalah penting untuk menjana ekonomi tinggi dan membantu negara mempunyai infrastruktur kelas pertama.

''Di negara maju tidak ada pihak yang akan mempersoalkan pembangunan projek-projek besar. Dulu, ketika Putrajaya dibangunkan, pembangkang bantah. Tetapi hari ini pembangkang yang tidak sabar-sabar hendak masuk dan tawan Putrajaya. Pembangkang pernah mengkritik projek pembangunan Menara Berkembar Petronas dulu. Inilah perangai hipokrit pembangkang," jelasnya.

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2011 minggu lalu mengumumkan bahawa Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan membina projek bersepadu melibatkan pembinaan menara setinggi 100 tingkat dengan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, dua bangunan sejarah negara yang terletak di kawasan yang sama. Keseluruhan projek itu bernilai RM5 bilion dan dijangka siap pada 2015.

Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman menjelaskan, pembangunan projek itu akan dibiayai melalui dana dalaman PNB tanpa menyentuh dana pemegang unit amanahnya.

Sambil menyatakan sokongan kepada projek Menara Warisan Merdeka yang disifatkan sebagai perlu, Awang Adek turut mencadangkan supaya khidmat nasihat kepada golongan usahawan dan bakal usahawan tempatan ditingkatkan untuk memberikan panduan bagaimana rakyat Malaysia boleh menyertai atau mengambil bahagian dalam projek pembangunan negara.

''Satu lagi perkara yang tidak harus dilupakan ialah usaha untuk membuka peluang kerjaya di luar bandar bagi menyokong agenda bumiputera di kawasan tersebut," katanya.

Sementara itu, wakil Wilayah Persekutuan, Datuk Johari Abdul Ghani dalam perbahasan usul ekonomi mencadangkan supaya Menara Warisan Merdeka dibina di Kampung Baru supaya bangunan berkenaan akan menjadi mercu kejayaan orang Melayu di atas tanah orang Melayu.

''Sebelum ini, projek pembangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang menjadi kebanggaan negara hari ini berjaya melonjak harga premis dan tanah di kawasan sekitarnya menjadi begitu mahal. Jika Menara Warisan Merdeka dibina di Kampung Baru mengikut jejak KLCC, maka 10, 20, 30 atau 40 tahun akan datang, mungkin orang Melayu mampu menjadi kaya hasil projek tersebut," jelasnya.

Johari turut mencadangkan supaya diwujudkan satu pangkalan data usahawan Melayu yang berjaya dalam setiap sektor. Pangkalan data berkenaan perlu dikemas kini dari semasa ke semasa sebagai rujukan pelabur asing.

''Usahawan yang ada modal dan rekod prestasi yang baik boleh dikenal pasti melalui pangkalan data berkenaan," katanya sambil menambah langkah berkenaan merupakan salah satu usaha untuk memastikan masyarakat Melayu tidak ketinggalan dalam arus ekonomi negara pada masa akan datang.

Johari tidak menafikan syarikat Melayu tempatan boleh belajar bersaing, namun beliau membangkitkan isu berapa ramai usahawan Melayu yang boleh berjumpa dengan Menteri dan Timbalan Menteri.

''Kalau usahawan tulis surat pun, mungkin Menteri atau Timbalan Menteri tidak ada masa nak baca. Jadi, saya hendak minta pada Timbalan Menteri dan Menteri supaya meluangkan masa apabila ada usahawan buat temujanji. Janganlah hanya beri kepada ketua-ketua bahagian saja," katanya disambut dengan tepukan gemuruh para perwakilan.

Mengenai pembangunan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang, beliau mencadangkan supaya kemudahan pengangkutan awam disediakan di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi meringankan beban penduduk di kawasan tersebut.

No comments:

Post a Comment