Saturday, October 30, 2010

Nasib

Jumaat Oktober 29, 2010
PENDUDUK KAMPUNG POKOK ASAM MARAH, K'JAAN PULAU PINANG GAGAL TEPATI JANJI
GEORGE TOWN: Penduduk Kampung Pokok Asam, Jelutong, yang berdepan dengan pengusiran, hari ini meluahkan rasa marah terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang yang diteraju DAP kerana gagal menepati janji.

Seorang penduduk Mohd Khir Mohd Sai, 44, berkata, sebelum ini Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi berjanji dengan mereka untuk menyelesaikan isu pampasan itu.

"Mereka berjanji sebelum Hari Raya Aidilfitri mereka akan bantu kami tetapi sehingga hari ini masih tidak ada penyelesaian berkenaan isu itu dan kami juga tidak berpeluang bercakap dengan Lim atau Ooi," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Dia yang mewakili penduduk di situ mendakwa hanya 17 keluarga di kampung itu yang menerima pampasan daripada pemaju, manakala 14 lagi masih menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri.

"Kami sekarang terkapai-kapai, tidak tahu apa yang harus dilakukan," katanya menambah mereka harus berpindah dari kawasan itu sebelum tarikh akhir perjanjian iaitu 27 November ini.

Difahamkan,kampung berusia 100 tahun itu akan dibangunkan sebagai kawasan kediaman apartmen oleh pemaju dari Kuala Lumpur.

PTTN

BERDOSA TAK BAYAR HUTANG

PARA peminjam PTPTN sepatutnya merasa berdosa kerana tidak tidak membayar balik pinjaman. Kedegilan mereka menyebabkan PTPTN mengalami defisit RM45.89 bilion. Sehingga Rancangan Malaysia Ke-11, prestasi bayaran balik peminjam tidak memuaskan.

Sikap sengaja tidak mahu bayar dan lari daripada tanggungjawab membayar hutang patut dielakkan. Keengganan mereka menyebabkan peluang orang lain untuk mendapatkan kemudahan itu boleh terbantut. Ketahuilah, selagi tidak membayar balik pinjaman itu, maka mereka hidup dengan menghimpun dosa.

NURSABILA RAMLI

Shah Alam, Selangor

Awak

MEMULIAKAN ORANG DENGAN BAHASA

SAYA berasa kurang senang dengan budaya menggunakan kata ganti nama diri ‘awak’ oleh pengacara televisyen dan radio apabila menemu bual tetamu undangan. Pada pendapat saya, penggunaan kata ganti nama diri ‘awak’ adalah kasar. Jika kata ganti nama diri tidak mahu digunakan, kita boleh menggunakan panggilan lain seperti Tuan, Encik, Puan dan Cik.

Saya khuatir jika budaya ini diteruskan, jangan terkejut jika pada suatu hari nanti, anak-anak kecil akan turut menggunakan kata ganti nama diri ‘awak’ kepada yang lebih berusia. Saya sarankan supaya pengacara radio dan televisyen mengikuti kursus bahasa Melayu, etika dan protokol dalam melahirkan golongan pengacara profesional. Bak kata pepatah, ‘Muliakan orang dengan bahasa, supaya kita tidak dibahasakan’.

TENGKU AFIF

Kuala Lumpur

Hasut

METRO TV HASUT BENCI MALAYSIA

SAYA baru kembali dari Indonesia selepas melancong selama lima hari bersama keluarga.

Pada 12 Oktober 2010, semasa saya berada di Jakarta, saya telah menonton salah satu rancangan bertajuk ‘Suara Anda – 1 tahun Kabinet Presiden SBY-Boediono’ di MetroTV. Ia merupakan rancangan Forum bertajuk ‘Malaysia adalah ancaman terbesar kepada Indonesia’.

Sebelum itu, satu slaid telah dimainkan dan dalam slaid itu, disebutkan satu persatu isu yang dibangkitkan, antaranya kes nelayan Indonesia yang ditahan oleh penguat kuasa Malaysia, 100 rakyat Indonesia sedang menunggu hukuman mati di Malaysia kerana melakukan pelbagai kesalahan, penderaan terhadap pembantu rumah dan isu Pulau Sipadan yang telah jatuh ke tangan Malaysia.

Apa yang saya tahu, media Indonesia berebut-rebut berita sensasi demi melariskan akhbar atau rancangan TV mereka. Soalnya, kenapa media Indonesia sentiasa mencari jalan untuk membenci Malaysia?

KAKITANGAN KERAJAAN MALAYSIA

Putrajaya

Mega

DULU PROJEK MEGA DIPERLEKEH

BANGUNAN KOMTAR di Pulau Pinang dahulu dibangkang dan diperlekehkan. Hari ini, KOMTAR menjadi pusat komersial dan pentadbiran negeri dan anak Lim Kit Siang dengan selesa duduk di tingkat 26 sebagai Ketua Menteri. Tidak dapat digambarkan, tanpa KOMTAR mungkin pejabatnya di bawah pokok.

Jambatan Pulau Pinang juga diperlekehkan kerana membelanjakan RM200 juta, membazir duit rakyat. Hari ini, merekalah yang sibuk menggunakan jambatan dan jambatan kedua pula dalam pembinaan.

Projek kereta nasional, dibangkang dan diperlekehkan kononnya tidak akan laku. Hari ini, Proton adalah satu entiti yang berjaya.

KLIA sekarang mengendalikan berjuta-juta penumpang dan hampir 60 syarikat penerbangan mendarat di situ telah membawa begitu besar keuntungan kepada negara dari segi pelancongan dan pusat kargo unggul. Juga ditentang dan diperlekehkan, kononnya membazir wang rakyat.

KLCC juga dicemuh oleh pembangkang dengan bermacam kata nista membazir dan sebagainya. Hari ini, mereka juga terhegeh-hegeh ke situ kerana KLCC sudah terkenal dan menjadi pusat komersial dan pelancongan yang hebat.

Litar F1 Sepang, yang menjadi impian kepada Lee Kuan Yew dan beliau pernah berkata adalah satu kesilapan beliau tidak membangunkannya di Singapura.

Tol lebuh raya di sekitar Lembah Klang ditentang oleh pembangkang termasuklah ketua mereka berdemonstrasi di Plaza Tol Sg. Besi dan menghasut pengguna jalan raya supaya jangan membayar tol tetapi tidak diendahkan dan rakyat terus menggunakannya.

Berpuluh tahun sudah berlalu tetapi ketua-ketua pembangkang masih menongkat langit dan pemimpin BN yang veteran sudah pun bersara dengan terhormat. Mereka masih lagi dengan taktik membangkang secara lapuk. Malaysia akan jadi seperti beberapa negara di Afrika, tiada pembangunan, rakyatnya mundur, tidak cukup makan dan berbagai macam penyakit dihidapi oleh rakyat jika pembangkang memerintah. Ini kerana semua bentuk pembangunan ditolak pembangkang dengan alasan yang dangkal iaitu membazir!

HAJI RAHMAN

Teluk Kumbar, Pulau Pinang

Keluar Dari PP

USAHA HALAU MELAYU PULAU PINANG

APAKAH nanti masih ada orang Melayu yang tinggal di sebelah pulau di Pulau Pinang? Pertanyaan ini timbul selepas melihat usaha tersusun kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan DAP ketika ini yang semakin giat mengurangkan komuniti Melayu di kawasan tersebut.

Selepas penduduk Kampung Jalan Pokok Asam terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka, beberapa penempatan Melayu di wilayah pulau negeri ini juga bakal berdepan dengan nasib serupa. Antaranya Kampung Permatang Tepi Laut, Batu Maung dan Kampung Tengah yang terletak bersebelahan Kampung Jalan Pokok Asam yang dikatakan bakal diambil untuk tujuan pembangunan komersial.

Terbaru, orang Melayu di Pulau Pinang terutamanya di Kampung Genting, Balik Pulau dikejutkan pula dengan cadangan mengambil alih tanah di kawasan itu untuk dibangunkan bagi pembinaan sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Dasar kerajaan negeri ini sangat mengejutkan kerana tanah-tanah yang dicadangkan untuk tujuan pembangunan baru itu majoritinya didiami orang Melayu. Lama-kelamaan, orang Melayu tidak lagi mampu untuk tinggal di bahagian pulau negeri ini kerana kawasan baru yang dibina membabitkan projek perumahan yang bernilai jutaan ringgit.

Sedikit demi sedikit, kawasan pulau negeri ini akan bertukar wajah menjadi seperti Singapura. Barangkali inilah sebenarnya yang dimahukan oleh kerajaan DAP. Orang Melayu perlu sedar mengenai hakikat ini dan seboleh mungkin mempertahankan tanah mereka kerana ia juga dituntut oleh Islam. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran berjuta ringgit untuk membeli tanah kerana ia hanyalah strategi untuk melihat Melayu di sebelah pulau negeri itu berkubur.

ORANG SEBERANG

Kulim, Kedah

Friday, October 29, 2010

Ambik Ikhtibar La

Pegawai LHDN dipenjara 2 tahun

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Seorang Penolong Pegawai Eksekutif (Penaksiran) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dipenjara dua tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM6,000, lima tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Arifin membuat keputusan itu terhadap Miftahhudin Abdullah, 40, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyetuju terima suapan tersebut daripada seorang kontraktor, Maimunah Suhor, sebagai dorongan untuk mengeluarkan Surat Pengesahan Pendapatan bertarikh 4 Mac 2005 di Mentari Channel Food Court, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman di sini, pada pukul 5.05 petang, 4 Mac tahun yang sama.

Dia yang digantung tugas, didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Miftahhudin yang diwakili peguam bela Syahrul Syazwan Salehin memohon hukuman ringan kerana telah insaf selain ia merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadzillah Mohd. Ossman memohon hukuman yang berat dikenakan sebagai mesej kepada orang ramai bahawa rasuah adalah jenayah serius.

Bahasa Jepun OK

Hebatnya bahasa Jepun tetapi nasib bahasa Melayu...

Saya tertarik melihat kejohanan tenis antarabangsa ATP World Tour yang banyak dilangsungkan di Asia seperti China, Jepun, Thailand dan juga Malaysia pada bulan Oktober ini.

Apa yang menarik perhatian saya ialah penggunaan bahasa kebangsaan oleh negara Jepun dalam kejohanan di negara tersebut.

Saya melihat dan membandingkan dengan kejohanan di negara ini yang berlangsung pada 27 September hingga 3 Oktober lalu.

Bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara ini langsung tidak digunakan.

Mungkinkah untuk menjadi negara maju bahasa Melayu perlu dipinggirkan?

Apa yang dapat dilihat, semua majlis dijalankan dalam bahasa Inggeris. Ironisnya pada masa itu Malaysia sedang merayakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan.

Saya berkesempatan melihat perlawanan akhir tenis di Jepun yang telah dimenangi pemain nombor satu dunia iaitu Rafael Nadal.

Jepun dalam majlis penyampaian hadiahnya mengunakan Bahasa Jepun.

Juruacara majlis menterjemahkan kepada bahasa Jepun selepas pemain memberi ucapan. Saya melihat begitu megah sekali Jepun dalam penggunaan bahasa kebangsaan mereka berbanding Malaysia yang telah menggunakan bahasa Inggeris sahaja dalam kejohanan tenis itu serta semua kejohanan antarabangsa lain.

Juga satu yang menarik selepas kemenangan Nadal, Nadal bercakap kepada seorang pegawai di situ dan menyebut "Arigatougozaimaz" yang bermaksud terima kasih dan beberapa kali Nadal menyebutnya.

Semasa ucapannya penutup pada akhirnya Nadal mengucapkan perkataan itu disambut tepukan gemuruh di stadium perlawanan itu.

Jepun sahaja pada masa ini yang saya rasa masih menggunakan bahasa kebangsaan dalam banyak perkara. Penggunaan bahasa Inggeris hampir semua di rantau Asia termasuk negara besar seperti India dan China menggunakan bahasa rasmi dunia ini.

Jepun, seperti makanannya juga dikatakan akan meluaskan bahasanya bagi dikenali di seluruh dunia. Jepun memang sebuah negara gah yang tidak menoleh ke belakang dalam hal-hal seperti ini.

Jepun yang berstatus negara maju sekalipun tidak meminggirkan bahasa mereka dan hal ini tidak berlaku di negara kita.

Persoalannya adakah negara kita tidak boleh berbuat sedemikian? Adakah kerana khuatir dengan negara-negara luar yang banyak melabur di Malaysia ini?

Jika tidak menggunakan BI, FDI tidak akan masuk ke negara inikah? Bahasa Melayu yang dijadikan bahasa kebangsaan dilihat amat kurang penggunaannya.

Jika satu masa dahulu bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua franca kenapa kini kita tidak boleh menonjolkan bahasa di peringkat antarabangsa.

Mohd. Yakop Ikram

Teluk Intan

Melayu PP

Balik Pulau jangan menyesal

MERUJUK kepada laporan oleh Nurulhuda Hassan bertarikh 18 Oktober 2010 dalam Utusan Malaysia ruangan Dalam Negeri (muka surat 14) bertajuk Penduduk Genting Balik Pulau Tekad Pertahan Kampung: Bantah Tanah Diambil Untuk IPT, saya terpanggil untuk memberi sedikit pandangan peribadi mengenai senario yang berlaku di Balik Pulau, Pulau Pinang untuk perhatian rakyat Malaysia dan pemerintah.

Umumnya Balik Pulau dikenali sebagai syurga durian kerana keadaan muka buminya yang subur untuk kegiatan pertanian terutamanya penanaman buah-buahan kayu seperti durian, rambutan, pala dan sebagainya. Dari segi taburan penduduk, kawasan Balik Pulau merupakan satu- satunya kawasan penempatan orang Melayu yang terbesar di Pulau Pinang (dengan tidak mengambil kira Seberang Perai).

Walaupun Balik Pulau dikategorikan sebagai kawasan luar bandar namun sistem pendidikan di Balik Pulau boleh dikatakan sebagai antara yang terbaik. Ini kerana di Balik Pulau, kami mempunyai berbelas sekolah rendah kebangsaan, beberapa sekolah rendah jenis kebangsaan (Cina), tiga buah sekolah menengah kebangsaan dan sebuah Sekolah Menengah (SJK) Cina. Selain itu, Balik Pulau juga mempunyai sebuah Giat Mara, MRSM, Sekolah Menengah Teknik, Maahad Pengajian Islam (sedang rancak dibina), Politeknik (projek terbengkalai sejak 2006), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan Universiti Teknologi MARA.

Walaupun Balik Pulau merupakan kawasan penempatan orang Melayu terbesar di Pulau Pinang, namun ia mula terjejas apabila kaum-kaum lain mula mendominasi penempatan di Balik Pulau sejak tahun 1997 ekoran lambakan pembinaan kawasan perumahan kos sederhana yang tidak mampu dimiliki oleh penduduk Melayu. Rata-rata warga Balik Pulau adalah petani dan nelayan dan rumah yang dibina bernilai lebih RM350,000 untuk rumah teres dua atau tiga tingkat.

Pembangunan seperti ini dapat dilihat di merata-rata tempat di Balik Pulau sebagai contoh di kawasan Air Puteh, kawasan Kongsi (berhadapan dengan Stesen Bas Balik Pulau), kawasan Pondok Upeh (bersebelahan dengan Taman Pondok Upeh), kawasan Bagan Air Itam (bersebelahan dengan Pondok Polis Air Putih) dan kawasan Paya Kongsi (berhadapan dengan Kuil Hindu). Rata-rata rumah yang dibangunkan tidak mampu dimiliki oleh penduduk Melayu di Balik Pulau.

Kesannya kawasan tanah milik orang Melayu di Balik Pulau makin menyusut peratusan pemilikan yang mana telah berpindah milik kepada kaum yang lain.

Baru-baru ini pula digemparkan dengan laporan bahawa kerajaan negeri telah mewartakan kawasan kampung Genting dan Pondok Upeh sebagai tapak untuk dijadikan kawasan pembinaan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT).

Untuk pengetahuan pembaca, kawasan Pondok Upeh dan Genting merupakan kawasan penempatan majoriti orang Melayu, kawasan dusun durian dan telah mempunyai sebuah MRSM, KKTM dan bakal mempunyai sebuah Maahad Pengajian Islam.

Persoalan yang timbul di sini, kenapa ini boleh berlaku? IPT apakah yang akan dibina? Apa rasionalnya dibina lagi IPT dan kenapa tanah kawasan Genting dan Pondok Upeh yang diambil sedangkan masih banyak lagi tanah kosong di kawasan Pantai Acheh dan Kuala Pulau Betong?

Untuk pengetahuan pembaca, Politeknik Balik Pulau yang sepatutnya siap pada 2009 telah terbengkalai sejak tahun 2006 (maaf sekiranya salah). Sepatutnya masalah pembangunan politeknik ini yang perlu diberi perhatian, bukannya membina satu lagi IPT.

Apakah rasionalnya membina satu lagi IPT jika pembangunan IPT yang sedia ada pun terbengkalai? Selain itu, kenapa kawasan penempatan yang memang telah jelas dan terang kawasan penempatan orang Melayu perlu diwartakan oleh kerajaan negeri untuk dibina IPT sedangkan pada pendapat saya masih banyak lagi tanah kosong di tempat lain yang boleh diwartakan.

Sekiranya tujuannya adalah untuk memajukan kawasan tersebut, saya merasakan tujuan itu kurang cerdik kerana dua kawasan ini (Pondok Upeh dan Genting) telah maju dalam acuan mereka sendiri. Di sini sudah ada MRSM dan KKTM dan juga terkenal dengan kawasan dusun buah- buahan kayu terutamanya durian. Sekiranya penempatan mereka diambil untuk tujuan pembinaan IPT, saya percaya sedikit sebanyak kawasan dusun durian ini juga akan terjejas.

Ini pasti akan menjejaskan salah satu sumber rezeki penduduk Kampung Genting dan Pondok Upeh. Pada pandangan saya sekiranya pihak kerajaan negeri benar-benar mahu memajukan daerah Balik Pulau, kawasan yang patut dimajukan oleh kerajaan negeri adalah kawasan Pantai Acheh. Kawasan ini jauh dari pekan dan agak terasing. Ini kerana masih banyak tanah kosong di sini yang boleh diwartakan oleh kerajaan negeri sebagai tapak pembinaan IPT. Sekiranya pihak kerajaan negeri mempunyai alasan yang kukuh untuk mewartakan kawasan Pondok Upeh dan Genting sebagai tapak pembinaan IPT, saya mohon diperjelaskan kepada rakyat untuk lebih kefahaman dan juga IPT jenis apakah yang bakal dibina?

Berbalik kepada persoalan penyusutan pemilikan tanah oleh kaum bumiputera di Balik Pulau khususnya orang Melayu, saya melihatkan fenomena ini berlaku adalah disebabkan oleh kesalahan dan kesilapan penduduk Melayu Balik Pulau itu sendiri.

Sikap tamak dan faktor ekonomi menyebabkan banyak tanah milik Melayu tergadai kepada kaum lain. Apabila ditawarkan dengan bayaran yang agak lumayan, rata-rata pemilik tanah Melayu di Balik Pulau tidak akan teragak-agak untuk menjualnya walaupun pampasan yang diberikan tidak setimpal.

Ini kerana rata-rata tanah yang dijual oleh kaum Melayu Balik Pulau merupakan tanah pusaka yang diperoleh daripada moyang mereka. Oleh kerana tidak mahu mengusahakan tanah tersebut ataupun kabur dengan tawaran yang diberikan, maka keputusan mudah diambil. "Jual saja. Boleh jadi orang kaya. Sampai bila nak hidup susah". Ini antara jawapan yang diberikan apabila ditanya. Natijahnya kepada masyarakat tidak diambil peduli.

Selain itu, faktor politik juga memainkan peranan penting terhadap lambakan pembinaan taman perumahan. Sekiranya perancangan dibuat oleh pihak pemerintah dengan mengambil kira status ekonomi di Balik Pulau, saya merasakan kawasan penempatan kos sederhana pasti dikurangkan dan akan dilebihkan pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah.

Ini kerana isu tanah dan pembinaannya adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Kerajaan negeri berhak memberi kebenaran dan menghalang pembinaan yang dirasakan tidak perlu. Apakah motif dibina lebih banyak kawasan perumahan kos sederhana bernilai lebih daripada suku juta ringgit yang pasti tidak mampu dimiliki oleh penduduk di Balik Pulau perlu difikirkan? Wakil rakyat Balik Pulau YB Yusmadi Yusof dan YB Mohd. Farid Saad mungkin ada jawapannya?

Selain perpindahan pemilikan tanah untuk tujuan pembinaan rumah, di Balik Pulau tanah dikorek dan dijual. Ini kerana pasir di kawasan tersebut (Permatang Pasir, Kampung Terang, Titi Teras, Sungai Burung dan Sungai Rusa) amat berharga. Kesannya pasir jerlus dan banjir kilat berlaku apabila hujan. Kebanyakan tanah yang terlibat adalah tanah milik orang Melayu. Persoalan di sini siapa yang perlu dipersalahkan dan bagaimana ini boleh berlaku? Mungkin Pihak Berkuasa seperti Majlis Perbandaran Balik Pulau ada jawapannya.

Kesimpulannya, apa yang berlaku di Balik Pulau pada masa sekarang adalah berpunca dari sikap orang Melayu Balik Pulau sendiri semasa pilihan raya umum ke-13. Pada pendapat saya, ini adalah harga yang perlu dibayar oleh masyarakat Melayu Balik Pulau apabila mereka memilih untuk berpecah kepada tiga (UMNO, PAS dan PKR) dan membenarkan pembangkang bersatu untuk menukarkan tampuk pemerintahan di Pulau Pinang.

Masyarakat Melayu di Balik Pulau sepatutnya tidak perlu merungut, berkeluh-kesah, membuat demonstrasi dan mengadu ke sana ke sini kerana mereka yang membuat pilihan supaya keadaan jadi seperti sekarang.

HANI AHMAD

Balik Pulau

Thursday, October 28, 2010

Pekerja Yang Tak Kenang Budi

Bekas kakitangan Felda dedah maklumat

BENTONG 27 Okt. - Felda Wilayah Mempaga mengecam segelintir bekas kakitangannya yang dikesan bersekongkol dengan pemimpin parti pembangkang apabila mendedahkan maklumat dan kelemahan agensi itu.

Pengurus Besar Felda Wilayah Mempaga, Jahya Janal berkata, sikap sedemikian adalah pengkhianat kepada masyarakat peneroka dan agensi yang telah banyak membantu ekonomi mereka.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kakitangan Felda supaya tidak bersikap talam dua muka dan memberikan maklumat yang tidak benar mengenai Felda kepada pihak lain kerana boleh digunakan oleh pihak tertentu untuk melemahkan agensi itu.

''Sikap talam dua muka adalah mengkhianati aku janji semasa diterima bekerja dengan Felda dan perbuatan bermuka-muka itu merugikan masyarakat peneroka dan Felda sendiri.

''Kita perlu mematuhi segala syarat sepanjang bertugas dengan Felda dan juga selepas bersara kerana kita masih menerima pencen daripada kerajaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jahya mengingatkan kakitangan Felda supaya tidak menjadi petualang atau 'kacang lupakan kulit' yang sanggup bersekongkol dengan pihak pembangkang sebalik perlu bersama-sama Felda berusaha membaiki kelemahan demi kemakmuran tanah rancangan wilayah itu.

Menurut beliau, kakitangan Felda tidak perlu menyembunyikan sesuatu kelemahan dalam pentadbiran agensi ini sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu membangunkan Felda.

Bagaimanapun, tegasnya, kelemahan itu perlu didedahkan mengikut saluran yang betul menerusi perbincangan dan rundingan dengan pengurusan Felda, bukan disalurkan kepada parti pembangkang.

Tambahnya, perbuatan bersekongkol dengan pembangkang boleh menjejaskan perpaduan atau persefahaman yang telah lama wujud sejak awal penubuhan Felda.

"Jika ada kakitangan Felda yang tidak berpuas hati, sepatutnya mereka tampil supaya segala masalah dapat diatasi dengan baik dan bukannya memburuk-burukkan Felda hanya untuk kepentingan individu.

"Sudah pasti setiap perancangan yang dilaksanakan dapat diterima baik dan ada juga ditolak oleh warga Felda tetapi jika mendapat aduan daripada peneroka mereka perlu memberitahu pihak atasan agar ia diatasi segera," jelasnya.

Kata beliau, kejayaan Felda dan kesejahteraan hidup yang dicapai oleh warga peneroka masa kini telah mendapat perhatian daripada banyak pihak terutamanya parti pembangkang.

Katanya, hasil kejayaan itu menyebabkan masyarakat peneroka menyokong kerajaan sedia ada tetapi pembangkang cuba memecahbelahkan keutuhan dan perpaduan peneroka dengan melemahkan pentadbiran Felda.

''Mereka yakin dengan menggambarkan Felda sebuah agensi yang korup dapat mempengaruhi dan memecahbelahkan warga peneroka yang selama ini merupakan kubu terkuat yang mempunyai penyokong dan pengundi kerajaan," katanya.

Semangat DEB

Semangat DEB wajar diteruskan – Faaland

syahrir.bakar@utusan.com.my">

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Objektif serta semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan dari 1970 hingga 1990 perlu diteruskan dalam dasar-dasar pembangunan kerajaan demi menjamin keadilan dan kestabilan negara.

Penerima Anugerah Merdeka 2010, Tan Sri Just Faaland (gambar) yang merupakan salah seorang penggubal DEB berkata, ia penting kerana masyarakat pelbagai kaum di negara ini dilihat masih menghadapi masalah peluang ekonomi yang tidak seimbang.

“Jadi usaha serta sasaran DEB untuk memberi peluang sama rata kepada setiap rakyat Malaysia perlu diteruskan melalui Model Baru Ekonomi (MBE) yang diumumkan Perdana Menteri anda baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Faaland merupakan ahli ekonomi yang kini bertugas sebagai Perunding Kanan Chr. Michelsen Institute (CMI) Norway yang terbabit secara langsung dalam penggubalan DEB melalui Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) selepas rusuhan kaum pada 1969.

Beliau menambah, struktur sosial masyarakat serta pemimpin politik tempatan di negara ini yang menyaksikan perbincangan terbuka mengenai DEB dan kuota bumiputera berterusan dari semasa ke semasa merupakan sesuatu yang positif serta melambangkan demokrasi.

“Paling penting, semua pihak perlu mengambil sikap penuh bertanggungjawab dalam membincangkan hal itu agar kita tidak lagi menyaksikan peristiwa 13 Mei yang kedua,” tegasnya.

Faaland yang merupakan pakar ekonomi antarabangsa dari Norway dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Merdeka 2010 bagi kategori Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia.

Wednesday, October 27, 2010

Cuti 90 Hari

Tidak perlu cuti bersalin 90 hari

Apabila Perdana Menteri mengumumkan 'hadiah' kerajaan kepada wanita-wanita bersalin percutian selama 90 hari atau tiga bulan, ramai yang menyambut baik dengan menyatakan ia hak wanita. Tidak kurang juga memandang sinis kerana kerajaan Persekutuan kini seperti mengikut jejak kerajaan negeri Kelantan.

Pada hemat saya, cuti bersalin selama 90 hari seharusnya ditolak oleh kebanyakan (atau semua) wanita.

Saya seorang lelaki. Saya tidak kisah jika kerajaan memberikan cuti 90 hari atau 900 hari sekalipun kepada wanita bersalin. Ia tidak merugikan saya atau mana-mana lelaki di Malaysia ini. Malah, ia menguntungkan kami.

Cuti bersalin selama 90 hari hanya merugikan syarikat tempat wanita tersebut bekerja. Tanpa bekerja selama tiga bulan, pihak syarikat terpaksa membayar gaji wanita tersebut dengan percuma. Malah tugasan wanita tersebut perlu ditanggung oleh orang lain. Siapakah yang berhati mulia dan begitu baik untuk menyudahkan kerja wanita bersalin tersebut selama tiga bulan tanpa sebarang ganjaran? Gaji mereka akan tetap sama walaupun beban kerja bertambah.

Atau jika syarikat tersebut berkemampuan, mereka terpaksa mengambil pekerja sampingan untuk menyudahkan kerja wanita bersalin tersebut. Bukankah itu suatu pembaziran kepada syarikat?

Selama 90 hari bercuti tanpa melakukan kerja seakan-akan mematikan sebuah enjin dan perlu menghidupkannya kembali. Ia akan mengambil masa yang lama untuk kembali 'panas'.

Sikap bersenang-lenang (walaupun mungkin ada yang mengatakan si ibu tidak akan bersenang lenang apabila terpaksa berjaga siang malam menjaga kerenah bayi) selama tiga bulan sedikit sebanyak akan terbawa-bawa setelah habis tempoh tersebut. Ia mengakibatkan produktiviti sesebuah syarikat menjadi lembap.

Maka, apakah impaknya? Mungkin ramai tidak melihatnya. Tetapi jika diteliti dan direnung secara mendalam, ia akan membawa kepada kerugian kepada wanita. Syarikat-syarikat akan menolak untuk mengupah seorang wanita bekerja dalam organisasi mereka.

Semakin ramailah golongan wanita yang menganggur dan seperti diperkatakan, ia menguntungkan pihak lelaki. Kami yang akan dicari untuk mengisi kekosongan di dalam sesebuah syarikat.

Pada waktu itu, mungkin pertubuhan-pertubuhan hak-hak wanita akan mendesak kerajaan membuat satu akta yang membabitkan hukuman terhadap syarikat yang tidak mahu mengupah wanita berkerja. Atau, menyarankan kerajaan meletak kuota supaya kedudukan wanita di dalam organisasi terjamin.

Kira sahaja tempoh 90 hari itu. Terlalu sedap didengar kerana boleh merapatkan hubungan anak dan ibu. Anak yang baru lahir memerlukan kasih sayang dan perhatian seorang ibu. Mereka memerlukan susu ibu yang tiada tolok tanding dengan mana-mana susu di dunia ini. Namun, apakah selepas 90 hari anak itu akan dilupakan?

Ibu-ibu masih boleh menyusui anak mereka. Ibu-ibu masih boleh bermesra dengan anak-anak mereka walaupun tanpa cuti bersalin selama 90 hari kerana ia seharusnya berbalik kepada sikap ibu tersebut.

Adakah ibu tersebut mahu melakukannya atau tidak? Jika diberi 900 hari cuti bersalin sekali pun, tetapi ibu tersebut rela duduk di hadapan TV menonton sinetron, ia tetap tidak bermakna.

Jika berlaku fenomena-fenomena negatif ekoran kelulusan 90 hari cuti bersalin ini, saya bimbang nanti rakyat akan menyalahkan kerajaan juga. Saya tidak mahu ini terjadi.

AZRAI ABIDIN

Melaka

Alahai Guru J-Qaf

Guru j-QAF tak jujur laksana tanggung jawab?

SAYA ingin memberi sedikit pandangan berkaitan program j-QAF tujuan memberi nasihat kepada ustaz dan ustazah program tersebut. Mengikut sejarah penubuhan j-QAF yang telah diumumkan oleh bekas Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Tun Hussein, j-QAF bertujuan memastikan semua murid beragama Islam di sekolah rendah seluruh negara wajib belajar Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain.

Di satu pihak, seluruh umat Islam menyambut baik pengumuman tersebut kerana intipati j-QAF jelas ke arah peningkatan ilmu agama bagi generasi muda. Di satu pihak lagi, iaitu graduan bidang agama terutama lepasan universiti dari Timur Tengah, program j-QAF merupakan rezeki yang datang bergolek kerana beribu-ribu pelajar yang menganggur telah berjaya menjadi guru j-QAF!

Bagi memastikan kejayaan program ini, guru-guru j-QAF diberi tangga gaji istimewa dan layanan istimewa iaitu tidak boleh memegang apa-apa jawatan di sekolah selain mengajar.

Dengan kaedah ini, maka bermulalah satu keadaan di sekolah-sekolah kebangsaan di mana guru-guru j-QAF berkurung di dalam kelompok mereka di dalam dunianya yang tersendiri, langsung tidak berinteraksi dengan guru-guru lain.

Mereka tidak melibatkan diri di dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan sekolah atas alasan mereka tidak boleh memegang apa-apa jawatan. Namun atas kepentingan agama, guru-guru lain masih dapat menerimanya.

Untuk memastikan pelajar-pelajar mendapat pendidikan yang berkualiti, ustaz dan ustazah ini dipertanggungjawabkan dengan bilangan pelajar yang kecil. Namun malangnya terdapat sesetengah ustaz dan ustazah berkonspirasi mewujudkan kelas gabung.

Contohnya, di sekolah yang mempunyai tiga orang guru j-QAF, sepatutnya untuk setiap sesi pembelajaran harus ada tiga kelas yang melibatkan tiga kumpulan kecil murid oleh tiga guru j-QAF.

Namun apa yang berlaku di sesetengah sekolah, guru-guru j-QAF telah berkonspirasi dengan menggabungkan tiga kelas menjadi satu kelas pembelajaran yang di kendalikan oleh hanya seorang guru j-QAF sahaja! Hal ini bermakna dua orang guru j-QAF lagi boleh berehat!

Tindakan guru-guru j-QAF ini bolehlah diiktiraf sebagai 'bijak' kerana mengoptimumkan sepenuhnya tenaga dan masa. Namun dari segi kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang disampaikan boleh dipertikaikan kerana tujuan kelas j-QAF diadakan dalam bilangan pelajar yang kecil jelas untuk mendapatkan kualiti P&P yang terbaik. Namun tindakan 'bijak' sesetengah guru-guru j-QAF ini hanya akan menggagalkan usaha kerajaan untuk melahirkan generasi muda yang beriman.

Jika inilah sikap guru-guru Melayu yang beragama Islam, lebih-lebih lagi mereka yang bergelar ustaz dan ustazah berkonspirasi mendidik anak bangsa, ia amat dikesali.

Mereka tidak perlu berteriak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan nasib mereka yang suatu ketika dulu hanya mendapat tempat di sekolah-sekolah agama rakyat dengan pendapatan RM400 hingga RM600 sebulan.

Apa yang dituntut oleh ibu bapa ialah dedikasi ustaz dan ustazah dalam mencorakkan pelajar-pelajar Islam menjadi seorang yang beriman agar halal setiap sen gaji yang mereka terima!

SEKADAR NASIHAT

Alor Setar, Kedah

Tuesday, October 26, 2010

Tak Tau La Orang Kaya Mana Akan Dapat

23,000 keluarga miskin tegar layak sertai 1AZAM


2010/10/26

SHAH ALAM: Seramai 23,000 keluarga miskin tegar di seluruh negara dikenal pasti layak menyertai Program Teman 1AZAM (Akhiri Zaman Miskin) menerusi peruntukan RM66 juta yang diluluskan kerajaan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, mereka keluarga yang berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah kementeriannya selain memperoleh pendapatan isi rumah kurang daripada RM440 sebulan.

“Mereka akan diberi elaun bulanan mulai bulan ini sehingga Disember ini. Peserta akan terus menerima elaun bulanan berkenaan tahun depan dengan syarat mereka mesti menyertai satu program yang dikhususkan untuk mereka.

“Elaun bulanan yang diterima mereka juga berbeza, tertakluk kepada pendapatan isi rumah. Cuma jaminan kementerian ialah elaun itu tidak akan kurang RM100,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Elaun Bulanan 1AZAM di Pejabat Pos Besar di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar.

Shahrizat berkata, keluarga yang tergolong dalam kategori miskin tegar akan dibantu mengikut program 1AZAM daripada projek Azam Niaga, Azam Tani, Azam Kerja dan Azam Khidmat.

Katanya, semua peserta akan dibantu mengembangkan potensi diri untuk berjaya dan berdikari dalam hidup, berbeza daripada sebelum ini apabila mereka hanya mengharapkan bantuan berterusan daripada kerajaan.

“Elaun bulanan mereka akan diteruskan sehingga peserta itu sudah mampu keluar dari kemiskinan dengan memperoleh pendapatan bulanan sendiri yang tetap.
“Jika beliau minat bercucuk tanam, kita akan minta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membantu dan begitu juga dengan Kementerian Sumber Manusia akan membantu peserta mencari kerja bersesuaian jika mereka ingin bekerja,” katanya.

Selain itu, katanya, program berkenaan membuktikan Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan rakyat, termasuk di negeri yang diperintah pembangkang.

Peserta boleh mengambil elaun masing-masing di 703 Pejabat Pos di seluruh negara.

Turun Padang La Pegawai Berkenaan

'Sandwich tanpa sardin'


2010/10/26

SANDWICH tanpa sardin, tomato, timun dan salad diberi kepada murid adalah antara kelemahan dikesan Ketua Audit Negara dalam laporannya berhubung Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah.

Laporan itu juga mendedahkan murid yang menyertai rancangan berkenaan turut diberikan mi segera dan bihun goreng kosong, serta tidak mematuhi menu ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Malah, makanan disediakan juga tawar atau masin, nasi keras, manakala minuman terlalu manis atau terlalu cair.

“Antara kelemahan pelaksanaan RMT ialah kelayakan menerima tidak dipatuhi, makanan disediakan tidak berkualiti dan tidak mematuhi panduan, pengurusan dan penyediaan makanan kurang memuaskan, serta kelemahan dalam pemantauan,” kata laporan itu.

Seramai 689,950 murid di 138 daerah di seluruh negara menerima bantuan RMT membabitkan perbelanjaan berjumlah RM249.26 juta pada 2009.

“Pemeriksaan audit juga mendapati ada makanan seperti kari daging lembu disimpan selama 18 jam, iaitu dimasak pada 16 Julai 2009 sebelum jam 1 tengah hari untuk dihidangkan kepada murid pada keesokannya jam 7.30 pagi,” kata Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Seramai 689,950 murid di 138 daerah menerima bantuan RMT membabitkan perbelanjaan berjumlah RM249.26 juta pada 2009.
Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bokah, Lundu, Sarawak, ibu bapa terpaksa bergilir masak di stor yang tidak sesuai, berhabuk, kotor serta terbuka, manakala murid pula makan di kelas.

Selain itu, kantin sedia ada di SK Pagar Besi, Kuala Terengganu, dirobohkan untuk membina bangunan baru bilik darjah, makanan terpaksa dimasak di kuarters dan murid makan di tempat letak kereta yang terdedah kepada habuk serta keadaan berbecak apabila hujan.

“Antara kelemahan pelaksanaan RMT ialah kelayakan menerima tidak dipatuhi, makanan disediakan tidak berkualiti dan tidak mematuhi panduan, pengurusan dan penyediaan makanan kurang memuaskan, serta kelemahan dalam pemantauan,” kata laporan itu.

Seramai 689,950 murid di 138 daerah menerima bantuan RMT membabitkan perbelanjaan berjumlah RM249.26 juta pada 2009.

Biasa Lah

Murid tidak layak turut terima bantuan KWAPM


2010/10/26

LAPORAN Ketua Audit Negara 2009 mendedahkan berlaku penyelewengan mengagihkan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada murid tidak layak kerana maklumat pendapatan mereka meragukan.

Malah, ada penerima didapati memiliki kemudahan tidak sepadan dengan kedudukan kewangan diisytiharkan seperti saluran televisyen berbayar Astro, lebih sebuah kenderaan dan ada penghawa dingin di rumah.

Selain itu, lapan kes kehilangan dan penyelewengan berjumlah RM196,550 dilaporkan dari 2004 hingga 2008 di mana dua daripadanya akibat penyalahgunaan wang oleh guru besar, kehilangan wang oleh guru besar (tiga), kegagalan guru besar menyerahkan wang (dua) dan aduan penyelewengan kewangan oleh guru besar (satu).

Tiga daripada kes itu sudah disiasat Kementerian Pelajaran dan pihak yang terbabit sudah dikenakan tindakan, iaitu hukuman tatatertib berupa amaran dan turun pangkat (satu kes) serta guru besar dikenakan tindakan surcaj (dua kes).

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata semakan terhadap borang permohonan KWAPM bagi 1,350 murid yang diluluskan bantuan mendapati ia turut diberi kepada penerima tidak memenuhi kriteria.

“Ada bantuan diluluskan walaupun pendapatan dicatat dalam borang permohonan tidak melayakkan mereka menerimanya.

“Pihak sekolah mencatat angka pendapatan lebih rendah dan menambah bilangan tanggungan daripada yang ditunjukkan dalam borang permohonan murid bagi melayakkan mereka menerima bantuan.
“Selain itu, ada juga sekolah yang mengisi Borang Rumusan terlebih dulu untuk dihantar kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan kemudian mengarahkan murid melengkapkan borang permohonan,” katanya dalam laporan itu.

Sejak KWAPM ditubuhkan pada 2003, kerajaan memperuntukkan RM1.45 bilion untuk tabung itu, bagaimanapun sejumlah RM1.62 bilion sudah dibelanjakan untuk memberi bantuan kepada pelajar miskin, dengan sumbangan turut diterima daripada sektor awam dan swasta, orang ramai dan pulangan daripada simpanan tetap.

Hasil temu bual pihak audit dengan 404 penerima bantuan tahun lalu di 42 sekolah mendapati 75 orang atau 18.6 peratus keluarga ada kemudahan Astro di rumah, 72 keluarga (17.8 peratus) memiliki antara dua hingga enam kenderaan dan sembilan keluarga memiliki antara satu hingga dua unit pendingin hawa.

Monday, October 25, 2010

Ambil Orang Asli Bekerja

Ambil Orang Asli bekerja

BANTING 24 Okt. - Masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Kemandul meminta pemegang konsesi Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), SKVE Holdings Sdn. Bhd. agar membuka peluang pekerjaan untuk belia kaum itu di lebuh raya tersebut.

Hasrat tersebut diluahkan Tok Batin, Kelat Anak Budin yang mahu melihat belia Orang Asli mendapat manfaat secara langsung daripada pembinaan lebuh raya itu.

"Mereka boleh bekerja di SKVE seperti jadi juruwang dan sebagainya," katanya pada program komuniti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan SKVE Holdings di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah LLM, Datuk Ismail Salleh berkata, permintaan masyarakat Orang Asli tersebut boleh dijadikan sebagai sebahagian tanggungjawab sosial SKVE Holdings, memandangkan lebuh raya itu merentasi kampung tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Ismail berkata, SKVE yang bernilai RM1.1 bilion itu dibina dalam tiga fasa dan fasa pertama yang menghubungkan Putrajaya ke Bandar Saujana Putra telah siap serta dilancarkan Ogos lepas. - BERNAMA

Jangan Bantah

MCA, MIC henti pertikai hak keistimewaan Melayu...

SAYA setuju dengan teguran dalam ruangan 'Bisik-Bisik Mingguan' oleh Awang Selamat terhadap reaksi kurang wajar oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, berhubung Perlembagaan Negara seperti ditegaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung parti itu baru-baru ini.

Dalam komennya yang disiarkan oleh sebuah stesen TV tempatan, Soi Lek dipetik sebagai berkata: Ada orang nak jadi hero. Tapi soalnya kita nak menang pilihan raya.

Nada serupa juga disuarakan oleh Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu (menjelang persaraannya Januari depan) tentang kontrak sosial: Kalau kita nak bincang juga, kita bincang dalam bilik...

Komen yang dibuat oleh kedua- dua pemimpin Barisan Nasional (BN) ini dilihat masih tidak betul-betul ikhlas berhubung kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan kaum bumiputera, di samping menjamin hak- hak kaum lain seperti tercatat dan dipersetujui dalam Perlembagaan Negara.

Apakah dengan mengkritik hak istimewa Melayu/bumiputera dan mahu menghapuskan ekuiti 30 peratus penyertaan bumiputera dalam ekonomi boleh menjamin menang dalam pilihan raya seperti dakwaan Soi Lek itu?

Soi Lek sepatutnya tidak menjadi carbon copy DAP. Dia mesti berusaha memperkuatkan MCA dengan menggalakkan orang Cina mengundi BN, bukan dengan memilih cara mudah mempertikaikan hak bumiputera. Ia juga dilihat bertentangan dengan semangat 1Malaysia yang dipromosi oleh Perdana Menteri.

Biarpun MCA dan MIC menerima kekalahan teruk dalam pilihan raya umum 2008 lalu berbanding UMNO, tetapi UMNO yang menjadi tulang belakang BN tidak pun mengungkit hak-hak kaum lain yang diperuntukkan dan terjamin dalam perlembagaan.

Kesemua parti komponen BN terutama MCA, sepatutnya memberikan kerjasama penuh dan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada UMNO untuk memulihkan semula sokongan rakyat berbilang kaum bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dan mengembalikan semula majoriti 2/3 BN. Usahlah ikut cara pembangkang dengan mengungkit dan mengkritik UMNO.

Bagi masa terdekat ini, kerjasama dan sokongan itu perlu diterjemahkan dalam pilihan raya kecil Galas, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi, Sabah. Seterusnya, memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang.

MAT PIAH TEH DERIS

Serdang, Selangor

Pendandan

Pendandan rambut juga 'pandai'

SUDAH sekian lama hati ini terpanggil untuk memberi komen mengenai sistem pendidikan di Malaysia yang saya rasa agak beku. Sebagai seorang guru yang sudah bertugas selama 16 tahun, saya kasihan dengan pelajar-pelajar yang telah dikelaskan sejak dari sekolah rendah lagi. Dalam hubungan ini terima kasih diucapkan kepada kerajaan kerana menghapuskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Seperti yang kita sedia maklum, anak-anak kita mempunyai kemahiran mendengar, berfikir dan membuat keputusan yang amat berbeza. Yang pandai tentunya boleh ke hadapan dengan cepat, menerima ilmu dengan lancar bak kata orang 'sedikit diajar banyak yang dapat'.

Tetapi golongan ini adalah minoriti di sekolah-sekolah harian biasa. Selebihnya adalah pelajar yang sederhana dan lemah. Adakah layak pelajar yang dikategorikan lemah ini diasak dengan bebanan sukatan pelajaran yang terlalu tinggi, sedangkan di sekolah rendah lagi mereka gagal kuasai?

Cuba bayangkan pelajar yang sentiasa gagal Matematik sejak di bangku sekolah rendah lagi, diasak bertubi-tubi dengan Matematik yang lebih susah di sekolah menengah. Mengapa kerajaan seperti tidak nampak golongan ini dan sering menumpukan kepada prestasi peperiksaan dan melebihkan merangka pelbagai program untuk mereka yang terlebih pandai sahaja? Mereka yang 'santan kelapa' selalunya bermotivasi dalaman dan sememangnya mempunyai matlamat sendiri kerana mereka pelajar bijak yang tahu berfikir dan merancang masa hadapan.

Tetapi cuba anda semua bayangkan apa akan jadi kepada pelajar lemah yang akal mereka tidak sampai menerima ilmu yang sebegitu tinggi? Sudah tentu mereka akan bermain, buat bising, merayau dan ponteng sekolah. Kenapa mereka dipaksa belajar silibus yang sebegitu tinggi? Tidak adakah sebarang usaha untuk golongan seperti mereka diajar silibus yang bersesuaian dengan pencapaian akal dan bakat yang mereka ada?

Sebagai guru saya sedih apabila pelajar saya berkata, Cikgu, kami dah baca tapi tak dapat-dapat juga. Susah sangat nak masuk otak. Mereka bukan malas tetapi tidak dianugerahkan oleh Allah otak yang baik dan latar belakang keluarga yang mungkin kurang memberi motivasi.

Perlu sangatkah golongan seperti mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaan Malaysia (SPM) yang silibusnya agak berat dan mencabar? Pada kebiasaannya golongan yang terlalu lemah ini akan gagal dalam semua mata pelajaran. Kesudahannya mereka belajar selama berbelas tahun tetapi tidak mendapat apa-apa, bukan kerana kebodohan mereka tetapi kerana sistem yang dicipta oleh kita yang terlalu mementingkan sijil.

Apalah salahnya jika golongan yang terlalu lemah ini dikecualikan daripada mengambil SPM. Sediakan satu peperiksaan khas dengan silibus yang bersesuaian dengan kemampuan dan kebolehan mereka.

Golongan seperti mereka tidaklah terlalu ramai, mungkin tiga atau empat kelas yang tercorot. Mungkin sahaja kursus kemahiran boleh diadakan di dalam bangunan sekolah sendiri. Selepas habis tingkatan lima sekurang-kurangnya mereka mendapat 'sesuatu' daripada 'tiada apa-apa'. Mungkin sahaja ilmu yang mereka dapati di sekolah menengah boleh dijadikan sebagai punca pendapatan selepas tamat sekolah.

Cukup-cukuplah kita mengkelaskan generasi muda yang berada di bangku sekolah dengan 'si pandai' di kelas sains dan 'si tidak pandai' di kelas sastera. Ingat! Bukan pelajar yang mengkelaskan diri mereka tetapi kita sebagai golongan terpelajar yang berbuat sedemikian sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

Integrasi ilmu sains dan seni perlu dibuat secara menyeluruh. Bukan ahli sains, doktor, arkitek sahaja golongan yang cerdik pandai. Tukang masak, pendandan rambut, juru solek dan pelukis juga golongan cerdik pandai. Mereka mahir di dalam bidang mereka sendiri, punya bakat dan kebolehan tersendiri yang sudah tentunya datang dari Allah. Tidak perlulah kerajaan membuat berpuluh seminar, mengkaji berpuluh teori dan sistem persekolahan negara luar sedangkan jalan penyelesaiannya ada di depan mata.

MASLINA MD NOR

Sekincan, Selangor

Saturday, October 23, 2010

Tanah Melayu

Tanah Melayu semakin terhakis


2010/10/23

UMNO Pulau Pinang dedah banyak hartanah dijual atau bertukar tangan

KUALA LUMPUR: UMNO Pulau Pinang semalam mendedahkan tanah milik orang Melayu di negeri itu yang diwarisi turun temurun semakin terhakis dan sehingga kini hanya tinggal 20.41 peratus, akibat dijual atau bertukar tangan.

Wakil negeri itu, Muhamad Farid Saad, berkata daripada jumlah itu 1.16 peratus membabitkan tanah milik Melayu di Daerah Timur Laut, Balik Pulau (15.07 peratus), Seberang Prai Utara (- 44.20 peratus), Seberang Prai Tengah (- 23.55 peratus), Sebarang Prai Selatan (- 20.41 peratus).

Beliau berkata, kajian Badan Perhubungan UMNO negeri serta maklum balas daripada 13 UMNO bahagian juga mendapati 60 kelompok perkampungan orang Melayu dengan penduduk 7,000 orang akan kehilangan tempat tinggal kerana rumah mereka dibina di tanah milik orang.

“Kita menjadi tuan hanya apabila rumah adalah milik kita, terbina di atas tanah milik kita, maka tidak ada siapa yang boleh menghalau kita.

“Bagaimanapun, kalau tanah yang kita pijak itu milik orang walaupun rumah kita, kita akan diusir dan selalunya terusir dalam keadaan yang terhina,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden, semalam.

Sehubungan itu, katanya UMNO perlu menginsafi dan sedar apa yang berlaku, sekali gus harus beriltizam membuat perubahan yang termampu selagi masih ada sedikit kuasa.
Beliau turut mendedahkan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP semakin melampau dengan membuka kawasan yang selama ini dipertahankan daripada dibangun-kan, seperti mengeluarkan lot tanah Sungai Burong yang dikhaskan untuk sawah dan sebahagian kawasan Taman Negeri untuk perumahan.

“Kerajaan Persekutuan perlu memandang serius perkara ini dan menghalang pelaksanaan ‘membuka gazet’ atau ‘degazette’ kawasan sensitif alam sekitar bagi semua negeri.

“Jika tidak, lebih cepat lagi masyarakat Melayu Pulau Pinang akan diusir. Ini adalah contoh kes pengusiran melalui dasar selain pengusiran secara fizikal, peminggiran secara psikologi dan pengusiran secara nyata,” katanya.

13

Angka 13 membawa bencana politik?

DATUK NOOR AZAM ialah bekas Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad
TIADA lagi esok untuk kita! Kuasa politik kita yang dominan yang diwarisi sejak zaman Melaka dan dipegang kuat selama 54 tahun akan hilang. Berdasarkan realiti dan sentimen politik pengundi sekarang, bencana politik ini akan terjadi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13. Paling lama, dua tahun saja lagi! Ada orang percaya dan hampir percaya, angka 13 membawa bencana.

Ahli Parlimen DAP, Teo Nie Ching, ketika melawat pejabat Harakah mengatakan, beliau "yakin dan percaya UMNO tidak akan mendapat undi masyarakat Cina pada PRU ke-13." Beliau diundang berceramah dan beri bantuan di dalam surau. Banyak benar kita bercakap tentang Islam tetapi bantuan untuk surau pun, kita minta daripada orang bukan Islam. Di mana maruah kita?

Mungkin Teo terlupa memberitahu Harakah, "Penyokong Pas akan tetap mengundi DAP, kerana mereka percaya DAP lebih baik daripada UMNO. Mereka lebih percaya orang Cina daripada orang Melayu." Pemimpin DAP sudah diundang memberi ceramah dan bantuan dalam surau dan masjid.

Orang Pas sangat bangga. "Tengoklah, Pas berjaya bawa Cina masuk ke dalam surau. Bagi duit pula".

Pemimpin dan penyokong Pas megah kerana pemimpin DAP baca ayat al-Quran semasa kempen pilihan raya. Beri sumbangan untuk majlis berkhatan. DAP tak sokong negara Islam, tetapi menyokong Pas, sebab Pas sekarang bukan lagi 'Parti Islam', tetapi 'Parti untuk Semua'.

Teo mungkin terlupa, "Majlis Syura Pas telah bersetuju dan membenarkan orang bukan Islam bertanding di bawah lambang Pas. Zaman dulu, Pas tuduh UMNO kafir kerana berpakat dengan MCA untuk memerintah, tetapi sekarang 'Pas baru' pimpinan Tok Guru Abdul Hadi dan Tok Guru Nik Aziz boleh ikut memerintah dengan DAP. Di Pulau Pinang, khatib pun mendoakan Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat. Banyak lagi alasan mengapa pengundi Cina tak akan undi UMNO, tetapi pasti akan undi DAP.

Maka kehilangan kuasa Melayu ini bukan suatu dongeng. Ia telah terjadi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Ipoh dan Petaling Jaya sekarang. Hal ini terjadi disebabkan majoriti pengundi bukan Melayu berada di kawasan bandar.

Kita boleh kira berapa kerusi yang akan dimenangi DAP dan Pas. Seperti yang pernah berlaku di Perak, Pas pun boleh duduk dengan megahnya di bawah bayangan kuasa DAP. Fakta ini, semua tahu. Lebih daripada tahu! Tak payah diulang-ulang. Tak payah diperingatkan oleh Teo Nie Ching "Orang Cina tidak akan undi UMNO."

Akan tetapi masih ramai orang Melayu, termasuk pemimpin politik dan generasi muda, tidak menganggap perubahan ini suatu kecelakaan besar. Orang seperti Datuk Nazri Aziz mungkin tak kisah, sebab beliau "rakyat Malaysia terlebih dulu, barulah orang Melayu". Tok Guru Nik Aziz pun "tak bangga jadi Melayu".

Bagi orang yang sama sikap dengan mereka ini, siapa perintah negara dan jadi Perdana Menteri pun sama saja. Akan tetapi bukankah Datuk Nazri seorang menteri dan Ketua Bahagian serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO? Beliau tak wajar lagi memegang semua jawatan itu mewakili parti kebangsaan Melayu. Betullah ramai pemimpin kita yang bercelaru, lantas Melayu pun bercelaru.

Kata Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin, umat Islam di negara ini sudah "tenggelam punca". Tun Mahathir telah banyak kali sangat memberi amaran.

Beliau memerintah negara dan menjadi Pengerusi BN selama 22 tahun. Mengepalai BN bertarung dalam lima pilihan raya. Ada pilhan raya yang BN menang besar dan ada yang hampir hilang kuasa. Beliau kalah di Kelantan, Terengganu dan Sabah. Mengalami dua krisis UMNO yang sangat besar. Pada zamannya, UMNO pecah dua dan diharamkan di mahkamah.

Beliau turut berhadapan dengan raja-raja kerana meminda Perlembagaan. Ada orang Melayu menggelar beliau "Maha Firaun" dan ada orang UMNO kata, dia "diktator". Beliau menangani krisis kewangan yang gawat. Dan macam-macam krisis dan cabaran lagi. Dihadapi dan diselesaikan satu persatu.

Apabila mengundurkan diri tanpa terpaksa atau dipaksa, dan menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; BN, UMNO dan negara berada dalam keadaan yang kukuh dan stabil. Bukan dalam masa kekalahan! Maka pemerhatian politiknya tajam dan berdasarkan pengalaman dan fakta yang nyata. Amarannya bukanlah wayang politik dan suka-suka.

Tan Sri Harussani, Mufti Perak, seorang ulama dan bukan orang politik yang telah cuba memperkukuh politik Melayu, akhir-akhir ini ikut prihatin dan mengingatkan: "Jika UMNO dan Pas tidak bersatu, Melayu akan hilang kuasa pada PRU ke-13" dan "Akan berlaku satu bentuk penjajahan baru." Lebih daripada itu, dalam masa dua tahun terakhir ini, beberapa orang Raja Melayu pun, sudah berkali-kali memberi nasihat dan amaran. Tidak pernah Raja-Raja Melayu bercakap politik seperti sekarang. Tidakkah ini alamat keruntuhan kedaulatan institusi Raja Melayu sudah bermula?

Raja Dr. Nazrin bimbang masa depan umat Islam di negara ini yang katanya berada "dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca". Katanya lagi, "Penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam di Palestin, Afghanistan dan Iran, bermula daripada pemesongan di kalangan pemimpin yang rela membuka laluan kepada orang bukan Islam untuk melakukan pencerobohan serta kemusnahan terhadap bumi dan umat Islam sendiri."

Justeru baginda mengingatkan: "Pencerobohan besar bermula daripada perbuatan kecil. Ia mungkin bermula dari surau, madrasah, masjid atau sebuah mimbar. Ia bermula daripada satu ungkapan, ucapan, khutbah, tazkirah atau doa.

"Ia bermula daripada pencerobohan kecil, ketika orang Islam masih belum insaf, berdegil dan sombong mempertahankan ego serta memilih untuk bertelagah. Mereka sebenarnya memberi petanda yang salah, seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke atas umat dan institusi Islam."

Antara perubahan utama yang akan dilakukan apabila pakatan Pas-DAP-PKR memerintah adalah meminda Perlembagaan Persekutuan dan Negeri, mengubah pengagihan jawatan menteri, ketua-ketua jabatan kerajaan, polis dan tentera dan ketua eksekutif GLC, PNB, TNB, dan Telekom Malaysia. Menambah kawasan pilihan raya di kawasan bandar. Mereka juga akan mengadakan semula pilihan raya untuk Dewan Bandar Raya, Majlis Bandaran dan Kerajaan Tempatan. DBKL pasti akan berubah wajah. Maka bermulalah "penjajahan baru" yang disebut Tan Sri Harussani.

PRU ke-12 adalah tsunami politik dan amaran Allah. Malangnya pemimpin politik Melayu-Islam masih terus bertelagah merebut kuasa, jawatan, pangkat dan kekayaan. Sejarah kejatuhan Empayar Rom, Empayar Islam dan kemusnahan kuasa kerajaan-kerajaan Melayu, nampaknya tidak mampu mengajar kita.

Justeru, kecelakaan politik yang akan menimpa kita bukanlah kerana 'nasib' tetapi kerana perbuatan kita sendiri. Maka janganlah kita selalu sedih 'mengenangkan nasib' kerana ini sikap orang yang mengaku tewas sebelum berjuang.

Hakikatnya, asas dan kunci kekuatan Melayu berada di tangan Melayu. Jangan kita lupa bahawa pertubuhan-pertubuhan Melayulah yang menubuhkan UMNO dan sepanjang perjuangan UMNO, di belakangnya bergerak secara konsistan pelbagai macam pertubuhan Melayu, termasuk pertubuhan pegawai kerajaan, penghulu, penulis, wartawan dan guru.

Meskipun adakala mereka tidak sekata dengan UMNO, tetapi mereka tetap setia bersama UMNO. Di situlah kekuatan UMNO. Kekuatan sebenar yang telah terbukti selama setengah abad, bukan kekuatan dalam pesta makan minum berbaju batik aneka warna.

Kemana

Ke mana selepas ini?

Oleh Dr. Puad Zarkashi

Para perwakilan mengangkat tangan menyokong usul ucapan Presiden semasa Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Dewan Merdeka PWTC, semalam.

APAKAH Perhimpunan Agung UMNO ke-61 ini dapat meningkatkan momentum UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13)?

Lebih penting, apakah perhimpunan ini dapat memberi gambaran jelas bahawa UMNO sedang berubah atau sekurang-kurangnya perwakilan sudah cukup faham betapa pentingnya usaha ‘bina upaya’, bukannya retorik tentang jasa UMNO sebagai umpan mendapat sokongan dan undi.

Oleh itu, wujud kebimbangan ketidakupayaan ahli UMNO mengikut Presiden parti untuk melakukan transformasi dan perubahan melalui pertarungan minda dan kemahiran. Masih ada suara-suara dalam perbahasan yang melihat UMNO sebagai privilege, bukannya amanah. Sebab itu, soal projek dan kontrak terus dibangkitkan.

Inilah yang mencacatkan Perhimpunan Agung UMNO termasuk menenggelamkan hujah beberapa pembahas yang masih ada isi tetapi kerana cara penyampaian tidak menarik, maka mesej penting mereka tidak dipedulikan. Dalam kecacatan itu, keupayaan pembahas dari Pergerakan Pemuda UMNO Bukit Gantang sepatutnya diberikan perhatian. Ucapan beliau mengandungi kritikan, muhasabah, cadangan, falsafah, sindiran dan gurauan. Tetapi semuanya menjadi kerana cara perbahasan yang articulate.

Analogi beliau, UMNO umpama rumah lama yang sudah berumur 64 tahun amat menarik sekali. Dalam umur tersebut, mungkin rumah berkenaan telah mengalami banyak kerosakan seperti kebocoran, kerosakan, dimakan anai-anai dan cat yang pudar. Oleh itu, UMNO perlu dibaik pulih, dinaik taraf atau dibina semula.

Untuk dibaik pulih, beliau mencadangkan supaya seluruh anggota bekerjasama. Majlis Tertinggi UMNO menjadi konsultan, Pemuda UMNO sebagai kontraktor dan Puteri UMNO membuat hiasan dalamannya. Justeru, rumah itu akan menjadi baru, berseri-seri, lebih kukuh, lebih selesa dan selamat.

Mesej analogi itu ialah semuanya perlu bekerja, bekerjasama, sama-sama berperanan menyumbang idea dan mendengar pandangan serta nasihat. Ini akan menjadikan UMNO berwajah baru dan kukuh.

Walaupun marah kerana dikritik keras oleh Setiausaha Agung UMNO, wakil Pemuda UMNO Perak itu mahu Pemuda UMNO mengelakkan ‘sindrom penafian’. Justeru, katanya pergerakan itu jangan menafikan tuduhan bahawa Pemuda UMNO turut menyumbang kepada persepsi negatif terhadap parti UMNO.

Pemuda UMNO dianggap sebagai liabiliti kerana imej ego dan elitisnya. Sama ada benar atau tidak, daripada 10 perkara biasanya tiga sahaja yang elok tetapi selebihnya tidak elok. Oleh itu, Pemuda UMNO harus mempunyai iltizam untuk membaikinya. Beliau menyarankan supaya Pemuda UMNO mesti gigih menyelami sanubari rakyat dan wujud sebagai gerakan massa.

Dalam konteks ini, makmal Pemuda BN mesti terus berfungsi, konsisten dan terbuka. Ia mesti menyediakan ruang suara hati nurani generasi muda dan bersifat outreach supaya pandangan hati nurani golongan muda dapat direalisasikan.

Sebab itu, cadangan Pemuda Bukit Gantang supaya insentif rumah pertama perlu diperluaskan kepada golongan muda di luar bandar yang tidak berpendapatan tetap harus dipertimbangkan. Mereka ini juga perlu memiliki rumah. Majoriti golongan muda tidak ada rumah sendiri, menumpang di rumah keluarga atau menunggu masa mewarisi rumah pusaka, itupun kalau ada.

Itulah cadangan touch point yang jarang didengar atau dilontarkan oleh perwakilan sepanjang perbahasan kecuali suara-suara sumbang yang masih lagi terikat dengan tradisi lama seperti sukar dapat projek walaupun sudah lama berbakti pada parti. Suara seperti inilah yang menyebabkan UMNO kadang-kadang dilihat sebagai arrogant.

Amat tepat sekali apabila Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam ucapan penggulungannya menegaskan Pemuda UMNO mesti menolak 10 perkara termasuk budaya politik ‘sate’ iaitu cucuk, bakar dan kipas. Ini semua merosakkan imej pergerakan itu dan inilah persepsi rakyat.

Tetapi Khairy jangan lupa teguran Pemuda Bukit Gantang itu apabila mengatakan jawatan Ketua Pemuda UMNO adalah institusi. Maka tanggungjawab Khairy untuk memastikan institusi itu terpelihara dan bermaruah.

Kalau imej Ketua Pemuda UMNO terjejas maka rosaklah imej institusi itu. Padahnya Pergerakan Pemuda UMNO akan menjadi liabiliti kepada parti dan inilah cabaran besar Khairy.

Khairy perlu melaksanakan semangat kepimpinan melalui teladan. Dia mesti memulakan pada dirinya terlebih dahulu iaitu menjauhi 10 perkara negatif yang dia sendiri gariskan. Termasuk di dalamnya budaya ‘masuk frame’ dan budaya ‘punch card’ di mana pastikan pemimpin nampak kehadirannya tetapi balik lebih awal sebelum pemimpin beredar dari majlis (check in dan check out).

Kalau ini berjaya dilakukan oleh Khairy, beliau bukan sahaja semakin matang tetapi usahanya mengubah imej Pemuda UMNO akan menjadikan beliau berjasa besar kerana menarik kembali sokongan golongan muda kepada UMNO.

Ingatan Pemuda UMNO Bukit Gantang itu amat penting. Jangan hangat-hangat tahi ayam. Panas di Perhimpunan Agung UMNO tetapi kembali sejuk apabila balik ke medan perjuangan. Sebab itu soalan beliau: “Di mana Pemuda, apabila raja-raja dihina” perlu diambil perhatian.

DR. MOHD PUAD ZARKASHI

Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Renungkan

Renungan buat pemimpin UMNO

AZMI YAHYAKuala Lumpur
SEKALI lagi seluruh perhatian diberikan kepada Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung di PWTC. Ini kali ke-61 orang Melayu berhimpun dalam perhimpunan raksasa atas nama politik melalui UMNO sebagai parti keramat orang Melayu. Sekali lagi, pasti ia menjadi medan kepada seluruh pemimpin politik Melayu berbincang dan menggubal resolusi serta gerak kerja untuk masa depan orang Melayu.

Secara tradisinya, Perhimpunan Agung UMNO akan menjadi lambang manifestasi orang Melayu di negara ini. Setiap jiwa perwakilan UMNO yang hadir, pasti membawa bersama seluruh tanggungjawab kepada orang Melayu. Namun begitu, apakah perhimpunan raksasa orang Melayu ini akan dianggap perhimpunan 'rasis' mengikut kaca mata Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Chua Soi Lek, hatta Nik Aziz dan Anwar Ibrahim? Hanya seluruh perwakilan UMNO boleh tentukan.

Apakah sekali lagi perhimpunan ini menjadi medan orang Melayu memohon maaf atas sebab yang kadangkala tidak sepatutnya. Itu juga hanya para perwakilan yang akan menentukan. Saya terpanggil untuk berkongsi pandangan setelah menjadi pemerhati setiap kali Perhimpunan Agung UMNO, bahkan menjadi pemerhati 'landskap' politik UMNO dengan sebahagian pemimpinnya kini bergelar ahli Kabinet atau Menteri yang membawa harapan akar umbi Melayu.

Saya ingin memetik '7 WASIAT RAJA MELAYU' yang telah dijadikan asas pembentukan Perlembagaan Persekutuan yang telah diterima oleh seluruh warga, sejak negara ini merdeka.

"Kami Wasiatkan Kepada Zuriat Keturunan Kami, 7 Perkara Yang Mana Jika Kamu Bersatu Padu, Dan Berpegang Teguh Kepadanya, Selama Itulah Kamu Akan Aman Dan Damai Dan Selamat Sejahtera."

1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia)

2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami, serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.

5. Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan

6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu

7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)

Setelah mengambil kira dan menghayati roh wasiat raja-raja Melayu itu, dan pandangan Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang pernah menyatakan orang Melayu akan hilang kuasa dalam PRU-13 jika tidak bersatu, maka Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini harus benar-benar menjadi medan yang membolehkan orang Melayu berasa selamat di bawah UMNO.

UMNO perlu menyedari bahawa ia adalah parti tunjang kepada Barisan Nasional. UMNO harus mengiktiraf kekuatan diri sendiri kerana UMNO mewakili komposisi terbesar orang Melayu dan bumiputera sebanyak 66.6 peratus penduduk negara. UMNO perlu mengetahui bahawa kawasan Parlimen majoriti Melayu menyaksikan sebanyak 134 kawasan Parlimen daripada jumlah 222 kawasan atau 60.36 peratus adalah kawasan pengundi melebihi 51 peratus Melayu. Inilah kawasan yang menjadi taruhan dalam PRU 13.

Memang menjadi harapan seluruh orang Melayu supaya orang Melayu boleh bersatu tanpa batas politik kepartian, walaupun UMNO pernah berusaha ke arah itu, tetapi realitinya harus diterima kerana sebahagian orang Melayu kini sanggup menjadi alat politik bukan Melayu.

Lantaran itu, untuk menyelamatkan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu dan peringatan Mufti Perak, lebih mudah sekiranya orang Melayu dalam UMNO benar-benar bersatu tanpa sebarang syarat dan pertimbangan lain.

Jika orang Melayu dalam UMNO betul-betul bersatu tanpa mengira sentimen kedudukan, ia sudah cukup untuk memberi peringatan kepada orang bukan Melayu, supaya lebih menghormati kaum majoriti dan tidak mempermainkan Melayu dengan begitu mudah sebagaimana yang sedang berlaku.

Sejak PRU-12, sudah terlalu banyak peristiwa berlaku yang amat mencabar orang Melayu, malangnya UMNO mengajar orang Melayu menjadi bangsa yang 'apologatik'. Apakah ini kesan apabila UMNO yang menjadi tunjang kepada BN hilang 2/3 majoriti?

Satu demi satu kes yang dilihat mencabar kedudukan Raja seperti ingin mengheret Sultan Perak ke mahkamah, Namewee melalui video klip 'Negarakuku' dan 'Nah Suck Banana', selain mempertikaikan Perkara 153 dalam Parlimen. Maka berebut-rebutlah pemimpin Melayu dan BN memaafkan atas nama 'perkongsian kuasa'.

Sebaliknya, apabila berlaku kes seperti seorang pengetua di Johor, seorang guru di Kedah dan seorang pegawai Biro Tata Negara (BTN) mengeluarkan kenyataan yang dianggap 'rasis', tanpa menyelidik terlebih dahulu, berebut-rebutlah juga pemimpin Melayu dan BN mendesak supaya hukuman dijatuhkan.

Ketika pemimpin pembangkang bukan Melayu mendesak untuk tunjukkan bahawa mereka adalah wira kaum mereka, pemimpin BN dan UMNO terikut-ikut. Malangnya segelintir pemimpin Melayu sama ada pemimpin politik atau pentadbiran seakan-akan menjadi 'tali barut' untuk menjayakan agenda politik pembangkang bukan Melayu.

Suasana-suasana ini menjadi perhatian orang Melayu dan mereka berfikir "apakah UMNO yang sudah 61 kali mengadakan perhimpunan ini akan terus menjadi parti yang boleh menyelamatkan Wasiat Raja-Raja Melayu?"

Kenapa harus wujud double standard antara kes Namewee dan kes pengetua di Johor, antara kes bakar gereja di Petaling Jaya dan kes menyimbah cat serta botol arak di Negeri Sembilan? Rasanya seluruh orang Melayu dan penjawat awam sedang memerhati keadaan ini.

Kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang hari ini menjadi menteri, akar umbi Melayu pasti berfikir "apakah mereka menjadi ahli Kabinet kerana sokongan bukan Melayu sahaja?" Bila dilihat statistik, ahli-ahli Kabinet Melayu itu datangnya dari kawasan majoriti Melayu.

Bahkan ada juga ahli-ahli Kabinet bukan Melayu yang menjadi ahli Kabinet atas 'ihsan' pengundi Melayu. Barangkali, tranformasi budaya dan Model Politik Baru disarankan oleh Presiden agar UMNO menyedari situasi ini. Jika seluruh pimpinan UMNO yang bersidang kali ini tidak boleh bertindak selaku parti tunjang kepada BN dan parti penyelamat orang Melayu, dibimbangi persepsi orang Melayu akan berubah sekali gus memberi kesan kepada tahap sokongan serta kepercayaan kepada UMNO.

Kita tidak hairan, apabila Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh termasuklah Nik Aziz dan Anwar Ibrahim sering membina persepsi yang buruk terhadap UMNO kepada orang Melayu. Ini kerana sememangnya itulah niat mereka. Mereka tahu, untuk merampas Putrajaya, mereka perlu 'membunuh UMNO'.

Sebab itulah psywar mereka kini ialah A.B.U. (Asal Bukan UMNO, 'Anything But UMNO'). Namun orang Melayu akan sedih apabila ahli Kabinet Melayu sendiri, pemimpin kerajaan termasuklah pemimpin parti komponen terperangkap dan sudah dilihat oleh orang Melayu sebagai dalang yang tidak boleh dipercayai.

Mujurlah ada waktunya, muncul Raja Muda Perak, Sultan Selangor dan Sultan Johor yang mengeluarkan kenyataan tegas memberi amaran kepada segelintir mereka yang melampau, menyebabkan orang Melayu secara keseluruhannya merasakan masih lagi selamat. Ketika itu, di manakah pemimpin UMNO yang sepatutnya menjadi wira orang Melayu.

Kerjaya Di Kampung

Buka peluang kerjaya di luar bandar

Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my
PERBAHASAN usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO semalam sarat dengan pelbagai cadangan dan pandangan bertujuan membantu memantapkan ekonomi orang Melayu pada masa akan datang supaya tidak ketinggalan dan mampu bersaing dengan golongan bukan bumiputera.

Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang disarankan penubuhannya supaya diasingkan secara mutlak dari agensi kerajaan.

Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim berkata, MTAB perlu diasingkan sedemikian rupa supaya tidak timbul keadaan orang lain yang menanam benih tetapi orang lain yang menuai hasilnya dalam tempoh jangka panjang.

''Antara contoh senario ini ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di mana kita yang tubuhkan perbadanan tersebut tetapi pada masa ini, orang lain yang menuainya. Oleh itu, MTAB perlu dikendali oleh UMNO," katanya.

Razali berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan menyokong usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam wawancara bersama Utusan Malaysia sebelum ini berkata, ada keperluan supaya MTAB ditubuhkan bagi mengumpul data-data yang lengkap supaya penglibatan golongan bumiputera dalam semua bidang boleh dipantau.

Razali turut mencadangkan supaya sebarang keputusan yang diambil oleh MTAB dibawa secara berkala pada setiap Perhimpunan Agung UMNO bagi membolehkan semua pihak tahu apa yang sedang berlaku.

Beliau tidak menolak kemungkinan penubuhan MTAB akan dipandang negatif oleh segelintir pihak terutamanya pembangkang kerana itu sememangnya sikap mereka.

''Sebagai contoh, dulu ketika Jambatan Pulau Pinang didirikan, ramai yang menuduh macam-macam tapi sekarang jambatan kedua akan dibina," jelasnya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Awang Adek Hussin ketika menyampaikan perbahasan sebagai pencadang usul ekonomi berkata, projek-projek besar seperti projek pembangunan Sungai Buloh dan Menara Warisan Merdeka yang diumumkan sebelum ini adalah penting untuk menjana ekonomi tinggi dan membantu negara mempunyai infrastruktur kelas pertama.

''Di negara maju tidak ada pihak yang akan mempersoalkan pembangunan projek-projek besar. Dulu, ketika Putrajaya dibangunkan, pembangkang bantah. Tetapi hari ini pembangkang yang tidak sabar-sabar hendak masuk dan tawan Putrajaya. Pembangkang pernah mengkritik projek pembangunan Menara Berkembar Petronas dulu. Inilah perangai hipokrit pembangkang," jelasnya.

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2011 minggu lalu mengumumkan bahawa Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan membina projek bersepadu melibatkan pembinaan menara setinggi 100 tingkat dengan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, dua bangunan sejarah negara yang terletak di kawasan yang sama. Keseluruhan projek itu bernilai RM5 bilion dan dijangka siap pada 2015.

Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman menjelaskan, pembangunan projek itu akan dibiayai melalui dana dalaman PNB tanpa menyentuh dana pemegang unit amanahnya.

Sambil menyatakan sokongan kepada projek Menara Warisan Merdeka yang disifatkan sebagai perlu, Awang Adek turut mencadangkan supaya khidmat nasihat kepada golongan usahawan dan bakal usahawan tempatan ditingkatkan untuk memberikan panduan bagaimana rakyat Malaysia boleh menyertai atau mengambil bahagian dalam projek pembangunan negara.

''Satu lagi perkara yang tidak harus dilupakan ialah usaha untuk membuka peluang kerjaya di luar bandar bagi menyokong agenda bumiputera di kawasan tersebut," katanya.

Sementara itu, wakil Wilayah Persekutuan, Datuk Johari Abdul Ghani dalam perbahasan usul ekonomi mencadangkan supaya Menara Warisan Merdeka dibina di Kampung Baru supaya bangunan berkenaan akan menjadi mercu kejayaan orang Melayu di atas tanah orang Melayu.

''Sebelum ini, projek pembangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang menjadi kebanggaan negara hari ini berjaya melonjak harga premis dan tanah di kawasan sekitarnya menjadi begitu mahal. Jika Menara Warisan Merdeka dibina di Kampung Baru mengikut jejak KLCC, maka 10, 20, 30 atau 40 tahun akan datang, mungkin orang Melayu mampu menjadi kaya hasil projek tersebut," jelasnya.

Johari turut mencadangkan supaya diwujudkan satu pangkalan data usahawan Melayu yang berjaya dalam setiap sektor. Pangkalan data berkenaan perlu dikemas kini dari semasa ke semasa sebagai rujukan pelabur asing.

''Usahawan yang ada modal dan rekod prestasi yang baik boleh dikenal pasti melalui pangkalan data berkenaan," katanya sambil menambah langkah berkenaan merupakan salah satu usaha untuk memastikan masyarakat Melayu tidak ketinggalan dalam arus ekonomi negara pada masa akan datang.

Johari tidak menafikan syarikat Melayu tempatan boleh belajar bersaing, namun beliau membangkitkan isu berapa ramai usahawan Melayu yang boleh berjumpa dengan Menteri dan Timbalan Menteri.

''Kalau usahawan tulis surat pun, mungkin Menteri atau Timbalan Menteri tidak ada masa nak baca. Jadi, saya hendak minta pada Timbalan Menteri dan Menteri supaya meluangkan masa apabila ada usahawan buat temujanji. Janganlah hanya beri kepada ketua-ketua bahagian saja," katanya disambut dengan tepukan gemuruh para perwakilan.

Mengenai pembangunan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang, beliau mencadangkan supaya kemudahan pengangkutan awam disediakan di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi meringankan beban penduduk di kawasan tersebut.

Hak Melayu

Jangan persoal hak Melayu


NAJIB Tun Razak bersalaman dengan orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Dewan Tun Razak 4 PWTC, pada Perhimpunan Agung UMNO ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.

Hak keistimewaan orang-orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh sesiapapun.

Tetapi anehnya, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, hak keistimewaan orang Melayu sering disentuh dan dibangkitkan oleh pihak tertentu sama ada golongan bukan Melayu mahupun orang Melayu sendiri.

Kenapa ini harus terjadi? Pada hal, ia telah 'terpahat kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan yang sangat sukar diganggu-gugat sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2010 kelmarin.

"Hak orang Melayu dilindungi sepenuhnya serta 'terkunci kemas' dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum di negara ini."

Najib menambah, "seandainya mempunyai dua pertiga dalam Parlimen pun, ia tidak akan mampu mengubah setitik apa pun jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja yang dianggotai oleh sembilan Raja-Raja Melayu."

Hakikat ini perlu difahami oleh semua warganegara. Asas pemahaman Perlembagaan Negara mahu tidak mahu mesti difahami oleh setiap warganegara agar kita dapat bertindak dengan lebih tepat dan tidak terpesong dari jalan sebenar. Dalam masa yang sama, ia tidak digunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi kepentingan mereka.

Dalam memahami hak-hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 153 (yang mempunyai hubungan rapat dengan 'kontrak sosial', ia perlu dikaitkan dengan sejarah perjuangan bangsa serta struktur negara. Bagi melihat dan memahami perkara ini, perkara 153 tidak boleh dilihat secara bersendirian. Hanya semata-mata membincangkan perkara 153, ia akan memungkinkan kita menjadi keliru. Di antara perkara yang berkait rapat dalam memahami perkara 153 adalah:

1. Perkara 38 (5)

2. Perkara 10 (4)

3. Perkara 8 (2)

4. dan perkara-perkara lain yang berkaitan.

Perkara 38 (5) adalah sangat penting difahami dalam membincangkan Perkara 153. Dalam Perkara 38 (5) menyatakan "Majlis-Majlis Raja-raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153."

Inilah di antara istimewanya Perkara 153 kerana ia tidak boleh dipinda hanya dengan suara majoriti dua pertiga Parlimen. Walaupun dua pertiga ahli Parlimen bersetuju meminda hak keistimewaan orang Melayu, ia tidak akan dapat dipinda sekiranya tidak ada persetujuan daripada sembilan orang sultan/raja Melayu.

Kadang-kadang timbul salah faham bahawa jika parti politik tertentu dapat menguasai dua pertiga dalam Parlimen, maka perkara yang berkaitan dengan hak keistimewaan ini akan dipinda dan diberikan hak yang sama rata kepada semua rakyat.

Pernah juga dikatakan oleh pihak-pihak tertentu bahawa hak istimewa ini adalah perkara lapuk lebih setengah abad lalu yang kini tidak lagi sesuai.

Memang Perlembagaan Persekutuan menyatakan satu peruntukan tertentu mengenai hak kesamarataan yang terkandung dalam Perkara 8. Tetapi dalam Perkara 8 (2) juga ada dinyatakan dengan jelas 'kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan Persekutuan ini…'

Ini bermaksud ada kekecualian 'kesamarataan' itu apabila ada dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 153 itu.

Perkara 153 ini mendapat kedudukan istimewa kerana ia tidak boleh dipersoalkan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 10 (4). "Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2) (a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogative yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153, atau 181 melainkan yang berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

Memang tak dapat dinafikan bahawa Perkara 153 adalah perkara yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diubah. Kedudukannya amat konkrit dan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh kaum lain.

Penulis melihat ada maksud tersirat dan falsafah yang tinggi nilainya di sebalik hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 153 ini, iaitu pembentukan satu rupa bangsa yang kuat dan stabil yang didokong oleh kumpulan majoriti yang besar sifat dan bilangannya.

Maksud tersirat adalah akan terbentuknya satu kumpulan bangsa Melayu (bukan bangsa Malaysia) yang dominan dalam jangka panjang. Bagi mengukuhkan hujah ini bahawa orang-orang Melayu itu (mengikut pentafsiran Perlembagaan Persekutuan) adalah bukan dilihat daripada segi biologi, tetapi lebih kepada sosio budaya dan undang-undang.

Bagi menyokong hujah ini, kita mesti merujuk Perkara 160 mengenai definisi 'orang-orang Melayu'. Melayu mengikut Perkara 160 adalah 'orang Melayu' ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan - (a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura: atau (b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian.

Tidak mudah memahami Perkara 153 dan hal-hal yang berkaitan tanpa menghubungkaitkan dengan perkara-perkara lain. Rumusan yang dapat dibuat bahawa Perkara 153 dan hal-hal berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu adalah mempunyai niat baik dan tujuan positif bagi pembinaan negara bangsa khususnya dalam jangka panjang.

Tidak sepatutnya ada sesiapa yang menolak dan mempertikaikan perkara ini jika benar-benar faham dengan mendalam. Adalah wajar kenyataan Perdana Menteri dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2010 bahawa hak keistimewaan Melayu ini wajar diterima oleh semua kaum di Malaysia.

Sebagai parti politik besar seperti UMNO, persoalan seperti ini perlu jelas agar orang-orang Melayu faham dan sedar tonggak sebenar perjuangan bangsa Melayu dan UMNO, agar bangsa Melayu terus bersatu dan kuat bagi kestabilan negara dan pembangunan Malaysia.

Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid

Sekolah Sains Sosial,

Universiti Malaysia Sabah

Friday, October 22, 2010

Degil



Pertaruh nyawa
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


DEGIL...pelajar tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

BAHAYA...penunggang motosikal tidak menghiraukan keselamatan anak.
SUNGAI BULOH: Sebilangan pelajar dan ibu bapa di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh di sini, mempertaruhkan nyawa masing-masing apabila bersikap lepas tangan dengan tidak memakai topi keledar selain menunggang motosikal dengan laju.

Tinjauan Metroplus di kawasan bandar berkenaan mendapati, tindakan itu bukan saja boleh menyebabkan mereka terbabit dalam kemalangan, malah boleh meragut nyawa.


Penduduk, Mohd Arif Mohd Azri, 20, berkata, situasi berkenaan boleh dilihat setiap hari sama ada pada waktu pagi atau tengah hari ketika pelajar pergi dan pulang dari sekolah.


“Ramai di kalangan mereka menunggang motosikal dengan laju hingga membahayakan nyawa orang lain sedangkan sebahagian besar mereka tidak mempunyai lesen dan ada juga tidak mendapat kebenaran ibu bapa,” katanya ketika ditemui di Bandar Baru Sungai Buloh.


Penduduk, Misran Suparman, 30, berkata, ibu bapa tidak sepatutnya membenarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar kerana terdedah kepada risiko kemalangan.


Katanya, pelajar sekolah yang tidak mengetahui undang-undang dengan senang melakukan kesalahan lalu lintas yang bukan saja menyusahkan keluarga, malah pengguna lain.


“Saya minta ibu bapa memantau anak mereka supaya menggunakan topi keledar setiap masa. Sekiranya pelajar masih berdegil, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sepatutnya bagi menangani masalah ini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh menasihatkan ibu bapa memantau anak mereka memakai topi keledar dan membenarkan pelajar menunggang motosikal selepas mempunyai lesen.


“Akibat tidak memakai topi keledar, banyak kes kemalangan berlaku membabitkan penunggang dan pembonceng berumur di bawah 25 tahun hingga merugikan negara.


“Untuk menangani masalah itu, kita bekerjasama dengan pelbagai pihak melaksanakan kempen advokasi mendidik masyarakat memakai topi keledar dan peruntukan undang-undang,” katanya.


Katanya, pihaknya mengambil langkah berganding bahu dengan Kementerian Pelajaran dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah dengan memanggil ibu bapa dalam memberi nasihat supaya dapat disampaikan kepada anak-anak.

Thursday, October 21, 2010


Pengawal keselamatan dibelasah 10 lelaki

KUANTAN 20 Okt. - Niat seorang pengawal keselamatan untuk membantu rakan setugasnya yang diserang seorang lelaki ketika bertugas di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, mengundang padah apabila dia turut dibelasah sekumpulan lelaki di luar hospital itu.

Mangsa, Hashim Ahmad, 41, dibelasah suspek dan kira-kira 10 lagi rakannya ketika dalam perjalanan pulang ke HTAA selepas membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 2.30 petang.

Menurut bapa tiga anak itu, sebelum kejadian, dia diugut lelaki berkenaan semasa membantu rakannya, S. Anna Purani, 29, dalam kejadian pukul 11.30 pagi di HTAA.

"Ketika itu, saya melihat lelaki berkenaan menolak Anna yang tidak membenarkan dia masuk ke wad melalui laluan utama.

"Anna mengarahkan dia mengikut laluan belakang memandangkan laluan tersebut hanya untuk pesakit dan petugas.

"Bagaimanapun, lelaki berusia 30-an itu bukan sahaja menolak Anna, malah membaling kerusi sehingga terkena Anna," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) daerah, di sini semalam.

Hashim mendakwa, lelaki berkenaan kemudian berang apabila dia cuba membantu Anna dan melepaskan tumbukan bertalu-talu kepadanya.

"Saya cuba mempertahankan diri dengan membalas tumbukan tersebut. Lelaki berkenaan segera beredar dan mengugut membawa rakannya untuk memukul saya.

"Atas nasihat ketua saya, kami membuat laporan polis. Namun, semasa dalam perjalanan pulang ke HTAA, kami dihalang dengan dua kereta Proton Wira dan Gen-2.

"Secara tiba-tiba lelaki berkenaan dan rakannya menyerang dengan menggunakan sebatang besi. Saya segera menyelamatkan diri berlari masuk ke balai trafik," katanya.

Akibat kejadian itu, Hashim mengalami kecederaan di kepala, telinga dan tangan.

Katanya, dia kemudian ke Balai Polis Kuantan untuk membuat laporan kedua berhubung kejadian itu sebelum mendapatkan rawatan di HTAA.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan tersebut.

Tuesday, October 19, 2010

Madu Asli


Abdul Jamil tidak serik digigit lebah tualang


ABDUL Jamil Mohd. Yassin memegang botol yang berisi madu lebah untuk dijual di Taman Negara Kuala Tahan dan bandar Jerantut.

JERANTUT 18 Okt. – Ketika masyarakat semakin menitikberatkan kesihatan, keperluan makanan tambahan yang seimbang dan selamat adalah amat penting.

Bagi mengelakkan berlaku kemudaratan ketika mengambil makanan tambahan, ia perlu berasaskan daripada herba atau manisan serangga.

Oleh itu, madu lebah merupakan antara makanan tambahan yang tepat bagi mengekalkan kesihatan berikutan khasiatnya yang tidak ternilai.

Dari perspektif Islam, penggunaan madu lebah sangat masyhur dan bertepatan dengan firman Allah dalam ayat 68 hingga 69, surah An-Nahl yang bermaksud: Madu penyembuh segala penyakit manusia dan al-Quran penyembuh segala penyakit hati.

Menyedari hakikat itu, seorang penduduk Kampung Pengau, Abdul Jamil Mohd. Yassin, 54, masih gigih mencari madu lebah untuk menampung pendapatan keluarganya.

Lazimnya, dia mencari madu lebah asli di hutan Hulu Tembeling dekat sini kerana koloni serangga itu gemar bersarang di puncak pokok tualang di hutan itu.

Menurutnya, lebah tualang menghasilkan madu bermutu tinggi dan berkhasiat berbanding lebah lalat atau yang diternak.

‘‘Kesukaran mendapat madu lebah ini kerana ia berada di puncak pokok tualang tetapi harga manisannya amat tinggi di pasaran sehingga mencecah RM80 sekilogram.

‘‘Khasiat madu lebah tualang bukan diukur kepada kesukaran untuk memperolehnya tetapi manisan serangga ini yang terdiri daripada campuran pelbagai manisan bunga- bungaan hutan yang sesuai bagi tujuan perubatan tradisional,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Pengau.

Menceritakan kaedah memperoleh madu tualang, bapa kepada enam anak itu memberitahu, dia bersama beberapa penduduk terpaksa masuk ke Hutan Simpanan Hulu Pengau untuk meninjau kedudukan sarang lebah di puncak pokok tualang.

‘‘Kerja memasang tali rotan dan persiapan peralatan mengambil madu ini dilaksanakan pada waktu siang sebelum kerja memanjat pokok dan mengambil madu diteruskan pada waktu malam.

‘‘Kami memasang tali di pokok berdekatan dan disambung ke batang pokok tualang bagi memudahkan rakan yang ditugaskan memanjat, bergayut dan menyeberangi menghampiri sarang lebah pada waktu malam,” katanya.

Menurutnya, kerja memasang tali dan peralatan tertentu perlu dilakukan dengan teliti serta kemas untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Abdul Jamil yang berpengalaman mencari madu lebah hampir 30 tahun berkata, kerja memanjat dan mengambil madu di sarang dilaksanakan oleh seorang yang mahir khususnya ketika memanjat batang, meniti dahan dan tahan sakit daripada gigitan serangga berkenaan.

‘‘Kebiasaannya, kita mula masuk ke hutan mulai pukul 11 malam dan memanjat pokok tualang pada pukul 1 pagi. Cuma unggun api dipasang di bawah pokok bagi memerangkap serangga berkenaan.

‘‘Jika bulan terang, kerja mencari madu tidak dapat dilakukan manakala gangguan cahaya lampu juga menyukarkan usaha mengambil madu kerana lebah amat sensitif,” katanya.

Menurutnya, kerja memanjat dan mengambil madu adalah tugas berbahaya kerana kesilapan boleh mengundang padah atau maut jika terjatuh dari pokok.

‘‘Setakat ini, kami belum pernah mengalami kemalangan, cuma luka tergelincir dan tubuh badan bengkak digigit lebah merupakan asam garam bagi pencari madu,” katanya.

Dia berkata, sebatang pokok tualang biasanya terdapat antara tiga hingga lima sarang lebah berukuran hampir dua meter panjang dan semeter lebar.

‘‘Jika banyak sarang ditemui, pendapatan kami berbaloi apabila memperoleh madu yang matang dan memenuhi tiga tin minyak masak untuk dibawa pulang,” katanya.

Saturday, October 16, 2010

Ayah Pin Masih Berpengaruh

'Tazkirah' Ayah Pin setiap Ahad, Isnin
Oleh Baharom Bakar
am@hmetro.com.my
2010/10/09

KUALA TERENGGANU: Ketua kumpulan ajaran sesat Kerajaan Langit, Arifin Mohamad, 70, atau Ayah Pin dikatakan hanya pulang ke perkampungannya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, pada setiap Ahad dan Isnin.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Ramlan Ali berkata, mengikut maklumat diperolehnya, Ayah Pin hanya berada di perkampungan berkenaan selama dua hari untuk mengajar pengikutnya yang datang dari luar Terengganu.

Menurutnya, Ayah Pin dikatakan mengarahkan pengikut setianya supaya mencari lebih ramai ahli baru untuk menyertai kumpulannya termasuk remaja.


Katanya, ajaran Ayah Pin mula aktif semula sejak Julai lalu dan keluar meninggalkan perkampungannya dengan diiringi pengikut setia bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.


“Saya menerima maklumat daripada pengikut Ayah Pin bahawa dia mengarahkan ahli kumpulannya supaya mencari seberapa ramai ahli baru, termasuk remaja.


“Ayah Pin juga ketika ini menyebarkan ajarannya hanya di warung kopi milik pengikutnya di dalam kawasan perkampungan itu, bukannya di luar perkampungan itu.


“Jadi, tidak hairanlah, pada hari Ahad, terutamanya sebelah petang sejak kebelakangan ini kawasan perkampungan itu menjadi tumpuan orang ramai dipercayai pengikutnya yang datang dari beberapa negeri termasuk Johor, Selangor, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan,” katanya semalam.


Beliau mengulas laporan akhbar kelmarin yang melaporkan Ayah Pin dilihat memberikan ‘tazkirah’ kepada 10 pengikutnya di kampung itu, Isnin lalu.


Begitupun, Ayah Pin dikatakan tidak secergas dulu kerana menghidap diabetes dan dia berpakaian singlet putih serta berseluar pendek sambil menghisap rokok ketika memberikan ‘tazkirah’ kepada pengikutnya yang datang dari luar Terengganu termasuk Johor, Selangor dan Pahang.


Semalam, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan dilaporkan berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai Ayah Pin berada di perkampungannya selain percaya dia masih berada di sebuah negara jiran.


Sementara itu, Ramlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu mengambil tindakan segera bagi mengekang kegiatan ajaran sesat itu.

Friday, October 15, 2010

Kayakan Rakyat

RM7j akhiri zaman miskin
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

2010/10/15

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan RM7 juta bagi memastikan kira-kira 10,448 penduduk miskin tegar dan miskin mendapat peluang pekerjaan, sekali gus keluar dari kepompong kemiskinan.

Peruntukan itu diserahkan Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi melaksanakan projek Akhiri Zaman Miskin (AZAM) Kerja diperuntukkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Shahrizat berkata, peruntukan itu selaras usaha mengeluarkan ketua isi rumah dan ahli isi rumah miskin tegar dan miskin yang berdaftar di dalam sistem eKasih melalui penawaran peluang pekerjaan pada tawaran gaji minimum RM450 hingga RM1,200 sebulan.


“Tawaran pekerjaan akan dibuat mengikut kesesuaian dan minat ketua isi rumah serta ahli isi rumah yang dikenal pasti selain menyediakan peluang latihan bagi tujuan penyesuaian kerjaya kepada mereka.


“Pelaksanaan projek AZAM Kerja ini akan memberi alternatif pencarian sumber untuk meningkatkan pendapatan mereka, sekali gus mencapai sasaran kerajaan dalam memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam pembangunan sosial negara,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian peruntukan RM7 juta kepada KSM di pejabat KPWKM di sini, semalam.


Peruntukan itu diserahkan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.


Shahrizat berkata, projek itu satu daripada empat projek di bawah program 1AZAM selain AZAM Niaga, AZAM Tani dan AZAM Khidmat bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah rakyat berpendapatan rendah yang diterajui kementerian itu dengan kerjasama KSM.


“Bagaimanapun, kami mengharapkan golongan yang dibantu ini dapat menggunakan sebaik-baiknya peluang kerjaya yang disediakan dan tidak terlalu memilih kerja sebaliknya berusaha meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.


Sementara itu, Subramaniam dalam ucapannya menyarankan supaya golongan berkenaan melakukan perubahan dari segi minda dan sikap bagi memajukan diri sendiri seterusnya keluar dari garis kemiskinan.

Cara Melayan Rakyat Sendiri



16 bantah roboh kedai
Oleh Aniza Zainudin

2010/10/15

AMPANG: “Semalam hantar notis, hari ini (semalam) bawa jentera untuk robohkan gerai kami”. Antara luahan tidak berpuas hati 16 peniaga di Flat LC 700, Pandan Perdana mengenai tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merobohkan kedai mereka di sini, semalam.


ROBOH...kakitangan MPAJ merobohkan kedai terbabit, semalam.

KUMPUL...peniaga mengumpulkan barang masing-masing. Proses merobohkan kedai tanpa lesen di flat berkenaan oleh MPAJ yang disertai kira-kira 50 pegawai penguat kuasa itu bermula seawal jam 10.30 pagi selepas peniaga selesai mengeluarkan barangan jualan.

Peniaga kedai minum, Ali Hashim, 66, berkata dia hanya menerima surat penolakan mengenai cadangan peniaga untuk menyusun atur kedudukan kedai bertarikh 12 Oktober lalu daripada MPAJ, kelmarin, sebelum mengedarkan kepada peniaga lain.

“Kira-kira jam 9 pagi, ketika sibuk membancuh minuman untuk pelanggan, saya dikejutkan dengan kehadiran pegawai MPAJ serta jentera berkenaan dan saya tak menyangka mereka akan bertindak sedemikian.

“Tindakan MPAJ itu dianggap menindas peniaga yang juga penduduk flat ini kerana kami langsung tidak diberitahu proses meroboh akan dilakukan hari ini (semalam).

“Kami bukan golongan berada dan bergantung hidup dengan kedai yang tidak seberapa ini. Selepas ini, saya pun tak tahu di mana tempat patut kami berniaga,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Komuniti Penyelenggaraan flat berkenaan, Hamidah Zainol, 46, berkata dia pernah menghantar surat cadangan bagi menyusun atur kedai terbabit sebelum menerima notis perpindahan berkuatkuasa 1 Oktober lalu.

Menurutnya, notis perpindahan berkenaan ditangguhkan sementara waktu berikutan MPAJ menerima surat cadangan daripada mereka.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad, berkata notis perpindahan dikeluarkan sejak 25 Ogos lalu dan menyatakan tindakan meroboh akan dilakukan pada 1 Oktober lalu, namun ia ditangguhkan sehingga 7 Oktober lalu.

Katanya, pihak MPAJ sudah memaklumkan mengenai tindakan berkenaan dan peniaga seharusnya lebih bersiap sedia menghadapinya.

Mengulas mengenai dakwaan kadar sewa mahal, Norhayati berkata, peniaga perlu mengambil inisiatif dengan mengadakan rundingan bersama pemilik medan selera berkenaan.