Monday, November 8, 2010

Utusan Melayu


Utusan Malaysia perlu terus jadi suara orang Melayu


Sebahagian dari orang ramai menurunkan tandatangan sebagai tanda mendesak KDN agar mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mencemar Raja-Raja Melayu di bawah Akta Hasutan pada majlis Menjunjung Kasih dan Perintah Raja-Raja Melayu di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 7 Nov. - Utusan Malaysia perlu menjadi lidah bagi menyuara dan mempertahankan hak serta kepentingan kaum Melayu yang kini semakin digugat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM), A. Rahman Mahadi berkata, akhbar tersebut merupakan antara saluran yang tepat dan berkesan dalam memperjuangkan jatuh bangun kaum berkenaan.

"Utusan Malaysia perlu mendaulatkan kaum Melayu dan menjadi suara nasional. Kita sedih kerana akhbar ini yang banyak berjasa kepada orang Melayu diboikot," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Menjunjung Kasih dan Perintah Raja-Raja Melayu di Kompleks Belia dan Sukan Larkin di sini hari ini.

Hampir 1,000 orang hadir dan bersetuju menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang masih mempersoalkan kontrak sosial dan mencabar kuasa raja-raja Melayu.

Rahman yang juga Pengerusi Angkatan Fi-Sabilillah Johor berkata, Utusan Malaysia mesti dikekalkan dan disokong bagi memastikan ia terus memainkan peranan penting dan meneruskan perjuangannya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau membidas pemimpin Melayu tertentu yang gila kuasa sehingga sanggup menggadaikan keistimewaan Melayu semata-mata untuk kepentingan peribadi.

Beliau berkata, terdapat pemimpin Melayu bersekongkol dengan beberapa pihak yang berusaha mencabul kedaulatan, kerukunan dan kesetiaan terhadap raja-raja Melayu.

Malah lebih buruk, usaha dan gerakan secara halus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik turut disokong pihak berkenaan kerana gilakan kuasa.

Justeru, PPPMM menyeru semua orang Melayu dan bumiputera supaya berhenti bersengketa dan bermusuhan antara satu sama lain dan bangkit mempertahankan hak mereka.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Johor Bahru, Abdul Rizan Razi berkata, ketuanan Melayu perlu dipertahankan dan pengkhianat bangsa yang cuba menghapuskan keistimewaan itu perlu ditentang.

Menurutnya, orang Melayu harus sedar bahawa terdapat gerakan terancang untuk memporak-peranda dan memecahbelahkan kaum ini supaya mereka tidak bersatu dan seterusnya hilang kuasa.

Pada mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-222 pada 13 dan 14 Oktober lalu, satu kenyataan dikeluarkan yang antaranya melahirkan kebimbangan terhadap trend politik semasa yang dilihat meniup api perkauman dan mencabar Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu menyeru orang Melayu supaya bersatu padu dan tidak bertelingkah sesama sendiri berlandaskan semangat persaudaraan Islam agar kedudukan orang Melayu tidak terhakis atau terpinggir.

No comments:

Post a Comment