Tuesday, November 30, 2010

MBE

Sikap penentu kejayaan MBE bumiputera

Oleh IZHAM YUSOFF
KERAJAAN telah melancarkan Model Baru Ekonomi (MBE) bagi membawa Malaysia ke landasan yang sesuai untuk melonjak ke taraf negara maju menjelang 2020. Seperti yang kita maklum, MBE dicipta berdasarkan sistem ekonomi yang mapan dan berterangkuman untuk mencipta pendapatan tinggi. Seperti mana dasar ekonomi yang lalu, MBE terus mengekalkan usaha kerajaan untuk menjana peningkatan tahap ekonomi negara.

Setelah meneliti pelan MBE, saya tertanya-tanya sama ada pelan yang sama perlu diwujudkan untuk merekayasa MBE Bumiputera. Sebenarnya saya kurang pasti apakah intipati model tersebut. Namun begitu dapat disimpulkan bahawa penglibatan bumiputera di dalam sektor ekonomi masih di tahap rendah jika dibandingkan dengan bangsa lain dalam berbagai aspek, sama ada pemilikan ekuiti, pemilikan hartanah mahupun tahap pendapatan.

Apakah nasib golongan bumiputera apabila MBE dilaksanakan? Mungkin Wawasan 2020 dapat dicapai tetapi golongan bumiputera terus menjadi seperti 'melukut di tepi gantang'? Ramai khuatir bahawa MBE yang berteraskan konsep samarata atau keterangkuman akan memberi kesan negatif kepada pembangunan ekonomi bumiputera.

Kalau ini berlaku, maka jurang perbezaan tahap ekonomi antara kaum akan menjadi lebih buruk berbanding sekarang. Kegelisahan ini berdasarkan tanggapan bahawa sekiranya golongan bumiputera selepas berdekad lamanya masih belum dapat menggenggam erat sebahagian besar kekayaan negara, maka adakah suasana ekonomi yang lebih terbuka dan liberal yang diwar-warkan oleh MBE akan merencatkan pembangunan ekonomi bumiputera?

Walaupun MBE bukan bersifat zero-sum game, tetapi pertumbuhan ekonomi bumiputera mungkin agak mendatar kalau dibandingkan dengan apa yang mungkin dicapai oleh golongan bukan bumiputera, sekiranya semua pihak tidak bekerjasama membentuk mekanisme yang tersusun dan kemas.

Saya terpanggil untuk menyatakan bahawa sekiranya kita mempunyai pelan untuk mendorong perubahan ekonomi negara, usaha yang sama perlu dibuat bagi merangka pelan pembangunan ekonomi bumiputera. Pelan itu dapat menyatakan dengan khusus keadaan dan cabaran ekonomi bumiputera sedia ada, dan hala tuju semoga selari dengan objektif MBE.

Bagaimanapun adalah tidak adil untuk melonggokkan tanggungjawab meningkatkan nasib golongan bumiputera semata-mata di pihak kerajaan. Golongan bumiputera itu sendiri perlu mahu membuat perubahan seperti mana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam surah ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:

'Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.'

Sekiranya MBE mensasarkan pendapatan tinggi untuk Malaysia, sudah tentu golongan bumiputera yang terdiri daripada 66 peratus rakyat negara ini perlu meningkatkan tahap pendapatan mereka. Walaupun DEB telah berjaya melahirkan jutawan dan hartawan bumiputera, namun kelompok itu amat kecil kalau dibandingkan dengan apa yang telah dicapai oleh bangsa Cina.

Persoalannya adalah bagaimana golongan bumiputera dapat meningkatkan tahap pendapatan mereka dalam tempoh 10 tahun akan datang. Adakah penjawat awam berani meninggalkan kerusi empuk di perkhidmatan awam untuk mencuba nasib menjadi petani moden? Adakah anak muda dari golongan bumiputera mahu mencuba nasib bekerja di sektor swasta ataupun berniaga daripada terus memohon jawatan kerajaan? Adakah syarikat yang telah saban tahun berada di dalam skim vendor Petronas terus membida projek petroleum di Malaysia sahaja atau telah bersedia mengembangkan sayap ke negara luar?

Sebenarnya tidak ada sebab mengapa golongan bumiputera tidak dapat meningkatkan tahap ekonomi mereka seperti mana rakan bukan bumiputera mereka. Perbezaannya adalah sikap dan tekad untuk berjaya. Bagi mereka yang malas untuk bersaing, dikatakan proses pemilihan tidak adil, pesaing guna kabel dan berbagai alasan. Begitu juga dengan kedudukan siswazah menganggur yang sehingga kini telah mencapai 15 peratus daripada jumlah penganggur.

Kemungkinan besar kelompok penganggur bertauliah ini masih menaruh harap untuk mendapat pekerjaan yang menepati cita rasa masing-masing. Mereka rela menjadi penganggur daripada mencuba nasib mencari rezeki halal sebagai petani moden, guru sambilan, dan juruwang di pasar mini. Ada kemungkinan mereka tidak pernah terfikir bahawa satu hari nanti setelah tamat pengajian, mereka perlu mencari rezeki sendiri.

Begitu banyak tugas yang boleh dilunaskan untuk memenuhi permintaan berbagai sektor seperti perladangan, kedai makanan, ternakan dan pembinaan. Sebaliknya tugasan yang kurang digemari rakyat Malaysia itu menjadi durian runtuh kepada kira-kira 2.5 juta rakyat asing dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

Itu adalah sikap di peringkat mencari kerja, selanjutnya apakah pula sikap mereka yang telah berjaya mendapat jawatan sama ada di sektor swasta mahupun awam. Ada yang terus mahu berkhidmat sehingga pencen dan tidak ambil kisah tentang peluang pekerjaan yang lebih baik sama ada di dalam persekitaran yang sama, apatah lagi di luar. Mereka sudah 'bersyukur' dengan apa yang telah mereka terima walaupun di lubuk hati mereka, tetap ada keinginan untuk berkereta baru atau berpindah ke rumah yang lebih selesa.

Sikap 'tidak apa' atau 'cukup makan' perlu dibanteras habis-habisan sekiranya golongan bumiputera mahu keluar dari kepompong kesederhanaan. Cara pemikiran yang lebih progresif perlu diterap agar lebih ramai mahu menyahut cabaran kerajaan untuk menambah baik tahap ekonomi keluarga mereka.

Bagaimanapun, adalah kurang tepat kalau dikatakan golongan bumiputera tidak berhasrat untuk mengecap pendapatan tinggi. Perbezaannya adalah corak pendapatan tinggi yang menjadi pilihan mereka acap kali kurang mapan. Sebagai contoh, terdapat beberapa konsep cepat kaya seperti skim Pak Man Telo dan skim MLM yang tidak beretika yang telah berjaya mengabui mata ramai rakyat Malaysia, ditunjangi usahawan bumiputera.

Sikap ingin kaya cepat amat menular di dalam psyche golongan bumiputera. Ramai yang selesa mendapat komisen daripada sesuatu projek daripada mengusahakannya sendiri. Perasaan tamak dicampur malas untuk mengekang mata, bersusah payah, bergolok bergadai akan membawa kehancuran ekonomi bumiputera.

Sekiranya sebarang projek dapat diusahakan sendiri, di samping mendapat pulangan yang lebih lumayan, maka pengusaha, keluarga dan pekerja dapat mengecapi pengalaman menjayakan projek tersebut. Pengalaman tidak dapat dinilai dengan wang ringgit dan sudah tentu ia dapat dijadikan modal pusingan untuk menjayakan projek yang seterusnya.

Justeru, perubahan sikap adalah perkara pokok bagi golongan bumiputera untuk turut menerima habuan dari kek ekonomi yang dijangka berkembang pada kadar enam peratus setahun dalam tempoh RMK-10. Usaha gigih Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merealisasikan MBE di bawah kelolaan Majlis Penasihat Ekonomi Negara melalui Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan RMK-10 meletakkan Malaysia di landasan yang kukuh untuk menjadi negara maju pada 2020. Semoga golongan bumiputera menyahut seruan kerajaan untuk menjadi pendokong dan tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Penulis ialah Pengarah Urusan Percetakan Nasional Malaysia Berhad

No comments:

Post a Comment