Tuesday, November 9, 2010

Mana PAS

Banjir: Kerajaan Pas gagal

BANJIR yang melanda Kedah kali ini sememangnya ujian iaitu berupa ujian kepada mangsa banjir agar tabah atas kerosakan harta benda, kerugian peniagaan dan tanaman serta ujian kesusahan.

Banjir itu juga merupakan satu ujian kepada teraju baru kerajaan Kedah yang dipimpin oleh Pas, yang selama ini melihat apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah tidak betul.

Semasa tsunami melanda Kedah di penghujung 2004 dan banjir besar pada penghujung 2005, Pas mendakwa kerajaan Kedah tidak cekap mengendalikan krisis dan bantuan kepada mangsa dua bencana berkenaan.

Hakikatnya, pada banjir besar kali ini kerajaan Kedah kelihatan amat kaku dan tidak tahu berbuat apa-apa. Boleh dikatakan tindakan kerajaan negeri hanya setakat melepaskan batuk di tangga, tiada kesungguhan dan tidak bertanggungjawab.

Agensi kerajaan negeri seperti Pejabat Daerah tidak bergerak aktif dalam memberi bantuan kepada mangsa banjir, sementara Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak hanya turun melawat pada hari keempat banjir melanda.

Tiada persiapan langsung di pihak kerajaan negeri bagi menghadapi banjir walaupun Jabatan Meteorologi telah memberi amaran akan berlaku hujan lebat dan berkemungkinan mengakibatkan banjir di beberapa kawasan.

Tahukah kerajaan negeri bahawa di peringkat awal banjir, mangsa yang dipindahkan di tempat pemindahan banjir mengalami masalah kekurangan bekalan makanan kerana tidak ada persediaan dari segi stok makanan dan barangan keperluan seperti selimut, tikar dan lain-lain lagi.

Kalau adapun wakil kerajaan negeri yang turun ke pusat pemindahan banjir, ia hanya bersifat tunjuk muka tanpa menghulurkan bantuan segera berupa barang makanan.

Yang dapat dilakukan oleh wakil kerajaan negeri yang merupakan Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas adalah berjanji akan memberi bantuan, tetapi entah bila bantuan akan sampai.

Bekalan air paip yang terputus di pusat pemindahan juga gagal diatasi dengan cepat oleh Syarikat Air Darulaman (SADA) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kedah. Lori tidak menghantar air selama beberapa hari ke pusat pemindahan sehingga ada yang terpaksa bergantung kepada air yang dibotolkan sahaja.

Hakikatnya kerajaan Pas Kedah gagal dalam ujian ini dan ia patut berasa malu kerana gagal menolong rakyat yang menderita dan sangat mengharapkan bantuan kerajaan negeri.

Mangsa Banjir

Alor Setar, Kedah

No comments:

Post a Comment