Melayu diingat jangan mudah lupa diri - Tun Haniff
IPOH 7 Nov. - Orang Melayu diingatkan supaya tidak mudah lupa diri sehingga sanggup mengorbankan hak-hak istimewa golongan itu yang termaktub dalam Perlembagaan negara hanya kerana berasakan mereka sudah maju.
Penasihat Gagasan Melayu Perak (GMP), Tun Haniff Omar berkata, masih ramai lagi orang Melayu termasuk Orang Asli dan pribumi di Sabah serta Sarawak yang tinggal di desa dan pedalaman memerlukan keistimewaan tersebut.
''Kejayaan yang ada pada orang Melayu sekarang adalah hasil Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga dapat mewujudkan golongan kelas menengah.
''Keadaan itu menyebabkan ada di kalangan mereka berasa selesa dan tidak lagi mempedulikan hak-hak istimewa orang Melayu, sedangkan terdapat berjuta lagi orang Melayu di desa yang masih memerlukan hak istimewa tersebut," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung pertama GMP di sini hari ini.
Hadir sama Presiden GMP, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.
Haniff yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata, jika hendak dibandingkan dengan orang Melayu, Orang Asli sebenarnya lebih layak dibantu kerana mereka berada dalam senarai teratas rakyat kepada raja Melayu seperti terkandung dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.
Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu perlu turut memperjuangkan nasib Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak yang masih ramai hidup dalam serba kekurangan berbanding di Semenanjung.
''Kita perlu tarik mereka untuk turut serta berjuang bersama kita dengan menggunakan kaedah bersatu, ia dapat menambahkan kekuatan kita," ujarnya.
Beliau memberitahu, ramai golongan muda terutama daripada kaum lain mempertikaikan hak-hak istimewa orang Melayu kerana mereka tidak faham sejarah.
''Orang Melayu juga ramai 'buta' sejarah sehingga tidak dapat menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh bukan Melayu.
''Ada yang kata orang Melayu juga pendatang dari Indonesia tetapi sebenarnya ia bukan migrasi tetapi transmigrasi dari satu kawasan ke satu kawasan dalam alam Melayu, bukannya dari tanah besar China atau India," jelasnya.
No comments:
Post a Comment