Tuesday, November 16, 2010

Kisah

Keahlian terus Barisan Nasional

BARISAN Nasional (BN) dijangka mengadakan konvensyennya pada 28 November 2010. Antara penjenamaan yang dijangka mewarnai konvensyen ini adalah usaha melobi keahlian terus secara individu untuk menjadi ahli BN tanpa perlu menjadi ahli parti komponennya.

Selepas keputusan pilihan raya tahun 2008, ramai berpandangan BN perlu menukar wajah sebagaimana yang dilakukan pada tahun 1973 ketika ia berubah daripada Parti Perikatan kepada Barisan Nasional. Persekitaran politik semasa menunjukkan bahawa BN perlu memenuhi ekspektasi umum dan pada waktu yang sama mengharungi cabaran politik landskap arus perdana.

Krisis keyakinan dan kepercayaan ketara ketika itu sehingga kehilangan sokongan dua pertiga di Parlimen dan kuasa pentadbiran di beberapa negeri turut jatuh ke tangan pembangkang. Ini termasuk Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan majoritinya di bawah pemimpin pakatan pembangkang.

Keahlian terus BN boleh menjadi salah satu faktor yang mempunyai kecenderungan untuk memulihkan sokongan ke atas parti BN. Pada tahun 1960-an, Alliance Direct Membership Organization (ADMO) ditubuhkan yang terhenti fungsinya apabila Perikatan berubah menjadi BN.

Lambang dacing menggantikan lambang kapal layar parti Perikatan. Manifesto juga berubah dengan penambahan bilangan ahli yang turut melibatkan kesemua parti politik kecuali DAP.

Jika keahlian terus dilancar semula, ia boleh memberi impak besar ke atas struktur parti BN. Secara langsung ia akan melahirkan parti pelbagai etnik di samping parti komponen yang masih berasaskan kepada kumpulan etnik yang berbeza. Kepelbagaian tersebut membolehkan keanggotaan BN membesar tanpa mengganggu struktur asal yang terus membolehkan parti komponen kekal.

BN hari ini merangkumi dari Semenanjung iaitu UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. PBS, LDP, PBRS dan PKMO pula mewakili BN Sabah dan PBB, SUPP, dan PRS menjadi wakil BN Sarawak.

D isamping parti-parti Semenanjung, Sabah dan Sarawak ini, terdapat beberapa parti dan badan bukan kerajaan (NGO) yang melabel diri mereka sebagai mesra-BN atau 'proksi BN'. Ini termasuklah Indian Progressive Party (IPF), Malaysian Makkal Sakthi Party (MMSP), Pertubuhan Masyarakat India-Muslim (KIMMA), Malaysian Indian United Party (MIUP) dan beberapa pertubuhan lain.

Perdana Menteri selaku Pengerusi BN berhadapan dengan dilema yang dihadapi oleh bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak selepas Perikatan mengalami kemerosotan sokongan dalam pilihan raya 1969. Situasinya berbeza dan masa tidak bersama Najib.

Walaupun Perdana Menteri memperkenalkan gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (PTK), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Model Baru Ekonomi (NEM), Rancangan Malaysia Ke-10 dan Belanjawan 2011 untuk mengukuhkan kedudukan Kerajaan Pusat; segalanya tidak akan bermakna melainkan beliau mempunyai tulang belakang parti yang ampuh untuk mengembangkan aspirasi ini. Barulah keyakinan dan kepercayaan dapat dibina semula.

Hakikatnya, populariti Najib berada pada tahap yang amat baik tetapi itu tidak bermakna pengundi akan mengundi BN semata-mata kerana setuju dengan pendekatan Najib. Ini kerana parti komponen masih belum menjadikan agenda Najib sebagai agenda mereka.

Dalam kedudukan ini, populariti Najib meningkat kerana komunikasi beliau secara langsung dengan pelbagai masyarakat termasuk dengan kaedah walkabout yang menarik ramai. Tetapi bolehkah ini diterjemah dalam bentuk sokongan ke atas mana-mana calon yang bertanding dalam pilihan raya terutama pilihan raya kecil?

Keahlian terus barang kali boleh meningkatkan penerimaan ke atas kepimpinan dan parti. Kaedah ini juga boleh menarik penyokong yang sukakan BN; pengundi atas pagar serta yang mesra kepada pendekatan BN. Ini sama sekali tidak akan menjejas sokongan yang diterima oleh parti komponen berdasarkan kepada ahli yang mahu mengikat diri mereka dengan ideologi parti komponen yang secara tidak langsung turut akan menjadi ahli BN.

Sudah pasti, apabila keahlian terus menjadi agenda utama konvensyen ini, ia akan membabitkan beberapa pindaan termasuk ke atas status keahlian dan persetujuan parti komponen terutama yang bersama sejak sejarah ia bermula. Apakah dalam kedudukan kini, parti komponen bersedia berkorban sekali lagi selepas pemimpin terawal dalam tahun 1950-an menunjukkan nilai pengorbanan dan kompromi yang cukup tinggi seolah-olah memahami dan mengiktiraf kedudukan geografi dan populasi negara ini.

Dalam memenuhi ekspektasi umum, adakah parti komponen terutamanya bersedia untuk berkompromi kuasa veto yang dinikmati selama ini? Ia merupakan cabaran hebat kerana membabitkan soal pencalonan, agihan bilangan kerusi dan pengambilan masuk parti-parti lain yang berstatus 'mesra-BN'.

Dengan keahlian langsung, maka ahli-ahli ini juga mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk dipilih sebagai calon bersama dengan calon di bawah banner parti komponen kerana masing-masing akan menggunakan simbol yang sama.

Jawatankuasa pemilihan calon akan meneliti senarai nama calon dengan sebaik mungkin dalam menghalusi keupayaan menang kerana suasana pilihan raya yang ke-13 turut bergantung kepada kualiti calon dan zaman ungkapan bahawa meletakkan 'sepatu sekalipun pada lambang dacing akan menang' sudah berakhir.

Jika calon bebas boleh menang dalam pilihan raya lalu, ia boleh berlaku lagi. Pengundi tidak akan mengundi berdasarkan kepada faktor kecewa dan marah dan pakatan pembangkang juga tidak boleh mengharapkan tsunami akan berlaku lagi. Pengundi akan mengundi dengan rasional dan praktikal.

Banyak faktor akan diambil kira berbanding dengan kedudukan Mac 2008 termasuk soal perubahan sejak 2008 dan penilaian ke atas kedua-duanya akan dibuat baik BN mahupun PR.

Yang penting, sejauh manakah kesemua parti komponen komited ke atas perubahan? Adakah keahlian terus ini hanya melibatkan individu ataupun organisasi, pertubuhan dan kelab boleh diterima begitu sahaja?

Bagaimana pula reaksi parti komponen yang ada, adakah masing-masing bersedia untuk menghapuskan amalan konsensus yang memberi kelebihan kepada UMNO, MCA dan MIC kepada keputusan majoriti? Jika sebelum ini MIC boleh menolak kemasukan IPF misalnya, kini dengan lobi oleh parti komponen yang lain, IPF mempunyai kecenderungan untuk menjadi ahli dengan mudah.

Tetapi, apakah kesannya ke atas perhubungan sesama parti komponen jika ia melahirkan kekecewaan ke atas sesuatu parti komponen? Adakah kematangan berpolitik akan terserlah jika bersedia berkorban untuk kepentingan masa depan BN?

Sudah pasti sebarang keputusan yang dibuat tidak boleh mengganggu hubungan yang terjalin selama ini seolah-olah seperti peribahasa 'menarik rambut dari tepung, pastikan rambut tidak putus, tepung tidak berselerak'.

Sudah pasti akan timbul soal kesaksamaan, keadilan dan bagaimanakah agihan tanggungjawab dan kedudukan dalam parti jika ia dilaksanakan. Adakah pengerusi BN akan menjadi pengarah keahlian terus, siapakah akan menjadi timbalan dan sebagainya. Begitu juga dalam memastikan perjalanan parti berjalan lancar, perlu memastikan program yang tidak bertindih untuk mengelakkan sabotaj sesama mereka dan fungsi Kelab Penyokong BN?

Dalam parti yang sama sekalipun ada program yang bertindih dari puak-puak yang berbeza pemimpin dan penyokongnya semata-mata untuk mencuri tumpuan dan sokongan; bagaimana masalah ini boleh diatasi nanti?

Pada waktu yang sama, program pelbagai kumpulan sasar terutama belia perlu diperhebatkan walaupun zaman teknologi seolah-olah menjadi penghalang kepada interaksi bersemuka.

Program yang membolehkan sesiapa sahaja terlibat tanpa mengira agama, etnik, keturunan, gender dan ideologi politik akan menunjukkan perubahan. Ia boleh bermula di kampung, daerah, dan negeri dengan menggembleng keseluruhan pusat perkhidmatan parti.

Kembali semula kepada semangat tradisi yang berkonsepkan 'gotong royong' dan program setempat. Ia boleh mencerna kedayaupayaan untuk mengukuhkan kedudukan di kawasan yang menang dan mencari ruang untuk membolosi kawasan yang kalah.

Yang menentukan jatuh-bangun parti adalah pengikutnya kerana matlamat parti mungkin dirasakan terbaik tetapi maklum balas daripada pelbagai kumpulan boleh dijadikan sebagai konsultansi agar yang dirancang untuk membawa kebangkitan baru berjaya sepenuhnya. Ia boleh bermula dengan mengenal pasti punca ditolak dalam pilihan raya lalu.

Usaha BN perlu untuk mengukuhkan kerusi yang ada supaya tidak hilang dan merampas kerusi yang tewas. Sifat inklusif seperti keahlian terus boleh meningkatkan motivasi penyokong dan ahli. Yang penting, BN perlu mengkaji mengapakah pengundi perlu memilih mereka; apakah keunikan yang jelas ketara berbeza dari parti lawan dan apakah kekuatan yang boleh menjadi aset dalam mengakui ada kelemahan. Adakah semangat kebangkitan zaman Tun Razak jawapannya dan siapakah yang boleh melakukannya?

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

No comments:

Post a Comment