Tuesday, November 2, 2010

Jasa Felda


‘Jangan ketepikan jasa Felda’

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

TAN Mohd. Aminuddin Ishak menarik tirai perasmian Dewan Orang Ramai Felda Jengka 1 Maran Pahang, kelmarin.

MARAN 1 Nov. – Para peneroka perlu menolak tindakan pihak tertentu yang memburukkan Felda kerana agensi itu telah mengubah kehidupan mereka ke tahap terbaik ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, beliau kesal dengan tindakan segelintir peneroka yang mencemuh dan menolak Felda yang dianggapnya sebagai sindrom Melayu mudah lupa.

Katanya, Felda telah banyak berjasa kepada peneroka dan sikap sedemikian tidak menggambarkan nilai-nilai murni yang mereka amalkan selama ini.

Menurut beliau, ada segelintir mereka yang membenci dan mencemuh Felda kerana terperangkap dengan janji manis pihak luar yang kononnya lebih baik untuk membela warga peneroka.

‘‘Jangan mudah mencurah air di tempayan hanya mendengar guruh di langit, kelak diri dan keluarga akan kecewa dan terpencil untuk meneruskan legasi kehidupan di tanah rancangan Felda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Orang Ramai Felda Jengka 1 di sini semalam.

Tan Mohd. Aminuddin juga membidas parti pembangkang yang terus membuat pelbagai bantahan dan dakwaan seperti harga sawit dan kadar perahan minyak sawit di kilang yang mereka sendiri tidak tahu mengenai perkara tersebut.

Katanya, pada hal, berdasarkan rekod jualan harian harga sawit dan kadar perahan minyak sawit dan disiarkan di media massa adalah lebih baik berbanding yang ditawarkan pihak swasta.

‘‘Bagi menjawab isu yang dimanipulasikan pembangkang itu, pihak kilang Felda telah mengadakan hari terbuka kilang untuk memberi peluang kepada peneroka melihat sendiri bagaimana proses penggredan dilakukan,‘‘ katanya.

Katanya lagi, peneroka perlu mengambil peluang menyaksikan sendiri proses di kilang yang mempunyai prosedur ketat dan tersusun supaya minyak yang dihasilkan menepati piawaian antarabangsa.

Justeru, beliau menasihatkan warga Felda berwaspada dan tidak terpedaya dengan mainan politik pihak berkenaan yang semata-mata mahu mendapatkan kuasa.

Beliau juga mahu pemimpin peneroka proaktif mengesan individu atau kumpulan luar masuk ke kawasan kampung dan berhak mengusir mereka jika mahu memecahbelahkan masyarakat.

No comments:

Post a Comment