Tuesday, November 30, 2010

India

Siapa pemimpin kaum India?

Oleh Dr.Siva
PARTI MIC akan mempunyai presiden baru selepas Datuk Seri Samy Vellu mengumumkan persaraannya secara hakiki pada 6 Disember ini. Ia dilihat sebagai pemangkin ke arah kesinambungan perubahan dalam memperkukuhkan parti menerusi barisan kepimpinan baru.

Ia juga berlaku ketika senario politik masyarakat India masih bergelut untuk mencari nilai kepimpinan sebenar bagi masyarakatnya.

Hari ini kita dapat menyaksikan demonstrasi penyokong parti pembangkang terhadap pemimpin mereka. Demonstrasi diadakan untuk meminta pemimpin tertentu di dalam parti tersebut mengundur diri kerana didakwa gagal mempertahankan keyakinan dan kepercayaan mereka sejak tiga tahun lalu.

Ia berlaku pada bulan ini sekali gus melihat isu kuil Sri Srinivasa Perumal Devasthanam di Puchong, Selangor timbul sehingga menyebabkan seorang kakitangan kuil tersebut membakar diri. Pada November 2007, Hindraf mengadakan demonstrasi besar-besaran dan ia dilihat antara faktor utama yang menyumbang kepada pola pengundian masyarakat India sehingga memberi kemenangan besar kepada barisan pembangkang pada pilihan raya 2008.

Malahan sepanjang kempen pilihan raya tersebut, laungan Makkal Sakthi (Kuasa Rakyat) sentiasa kedengaran dalam ceramah parti pembangkang. Ekspektasi dan harapan menggunung tinggi komuniti ini adalah supaya hak dan kedudukan mereka diberi pengiktirafan yang sewajarnya oleh pemimpin parti pembangkang. Ia diharap akan membawa kesan besar ke atas kepimpinan masyarakat India dalam kerajaan pusat.

Beberapa nama baru muncul, selain pemimpin lama seperti Charles Anthony Santiago (DAP-Klang), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), John Fernandez (DAP-Seremban) dan Karpal Singh Ram Singh (DAP-Bukit Gelugor). Bagi MIC, parti tersebut tewas di enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selepas hampir 32 bulan, adakah gabungan pemimpin masyarakat India dengan parti pembangkang seramai 11 orang telah membawa perubahan atau marginalisasi berpanjangan akibat ketidakmampuan mereka? Adakah harapan yang diberikan ke atas pemimpin ini berjaya dipenuhi? Apakah MIC akan terus dipertanggungjawabkan ke atas ketidakupayaan pemimpin DAP dan PKR untuk memenuhi tuntutan yang dibuat oleh penyokong mereka atau marginalisasi yang dilihat dalam parti tersebut ke atas penyokong India turut direstui pemimpin mereka?

Di manakah hala tuju yang ditetapkan oleh barisan pemimpin ini yang mendapat mandat dari pertubuhan dan organisasi ketika berkempen? Adakah mereka ada suara dan penghormatan dalam parti sendiri atau akan terus menyatakan bahawa mereka adalah wakil masyarakat pelbagai etnik yang membawa perubahan, selain tidak dapat memenuhi keperluan masyarakat India.

Mereka berubah wajah menjadi pemimpin masyarakat India ketika berkempen dalam pilihan raya dengan provokasi dan emosi untuk meraih simpati undi? Ada pemimpin pembangkang mengakui kekalahan dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang kepada calon BN adalah kerana mereka tidak memenuhi tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat India sehingga dihukum dalam pilihan raya kecil tersebut.

Malahan beberapa kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang bahawa sokongan masyarakat India semakin terhakis hari ini.

Ramai anggota masyarakat kelas pekerja menyokong pembangkang pada tahun 2007-2008 dengan harapan kebajikan dan hak mereka akan terpelihara di bawah representasi politik dengan menjadi wadah perjuangan dominan sebagai pembangkang. Namun ternyata ia gagal kerana sukar mencari platform yang sewajarnya.

Ketika itu, isu perobohan kuil Kaliaman di Padang Jawa, Shah Alam mendapat perhatian meluas dalam kalangan pemimpin ini. Isu ini amat signifikan dalam konteks memahami permasalahan yang berterusan sejak tiga tahun lalu.

Ini kerana hari ini, ramai beranggapan sokongan mereka dikhianati oleh barisan pemimpin pembangkang yang hanya menyoal tentang hak komuniti tersebut ketika pilihan raya walhal tidak mampu melakukan sebarang perubahan walaupun memiliki kuasa di peringkat negeri.

Keputusan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung boleh menjadi penanda aras sejauhmanakah pemimpin-pemimpin ini mendapat tumpuan dan sokongan ataupun sekadar digunakan ketika pilihan raya semata-mata untuk menidakkan kemenangan parti lawan.

Dalam pemilihan jawatan tertinggi parti PKR misalnya, pemimpin seperti Sivarasa, Manikavasagam, Gopalakrishnan dan Dr. Xavier Jayakumar yang sering menjadi tumpuan media dalam beberapa isu tumbang kepada Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Fuziah Salleh dan Mansor Othman.

Walaupun 23 peratus daripada anggota parti adalah berlatar belakangkan etnik India, pemimpin ini sama ada ditolak oleh penyokong mereka sendiri kerana kurang yakin atau turut tidak diterima oleh anggota parti dari etnik lain.

Ini kerana komposisi keanggotaan parti sebanyak 400,000 merangkumi 50 peratus kaum Melayu, 12 peratus Cina dan 15 peratus dari Sabah dan Sarawak.

Dalam pemilihan DAP di peringkat negeri Perak pula, pemimpin gergasi DAP Perak, Kulasegaran tewas kepada gabungan bersaudara Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming. Ada yang melihat ia menjadi isu ras dan etnik kerana usaha dikatakan untuk mempertahankan kedudukan masyarakat Cina di bawah Ngeh-Nga. Malahan wujud sirkulasi mesej untuk meminta penyokong berkumpul dan melakukan protes ke atas kekalahan Kulasegaran.

Jika isu kepimpinan Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu sering menjadi bahan kempen, kini pembangkang tidak dapat lagi menjadikan beliau sebagai bahan cacian. Dengan perubahan kepimpinan baru di bawah Datuk G.Palanivel, MIC dapat kukuh semula jika isu ‘perpaduan dalam kalangan masyarakat India’ menjadi agenda beliau. Ini kerana dengan melihat apa yang berlaku dalam pemilihan parti PKR dan DAP, ia sewajarnya membuka ruang kepada beliau untuk menggembleng keseluruhan tenaga bagi meniup angin ‘penyatuan’.

Ini hanya dapat dilakukan jika beliau turut mengambil pendekatan lebih drastik untuk bersama pemimpin parti yang mesra BN (Sahabat BN) seperti IPF, MINDRAF, Makkal Sakti, dan MIUP serta keanggotaan terus BN sebagai suntikan dalam membina dan menerajui perubahan.

Perpecahan dalam kalangan komuniti populasi 1.8 juta ini agak membimbangkan kerana ia turut memberi kesan ke atas perpaduan dalam konteks masyarakat pelbagai etnik sebagaimana yang dilihat pada 2007-2008.

Walaupun berbeza pendirian politik dan berlainan matlamat perjuangan, Presiden MIC yang baru boleh merungkai titik persamaan parti-parti politik ini untuk mencari kelangsungan baru dalam konteks kepimpinan politik masyarakat India.

Malahan, beliau juga boleh mengajak pemimpin dari parti pembangkang agar turut serta jika bersedia mengenepikan kepentingan semangat kepartian sekali gus mengubah kedudukan masyarakat India yang turut mendapat perhatian kerajaan pusat menerusi penubuhan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India dengan diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malahan, populariti Najib wajar dijadikan alasan untuk memperbaiki struktur dan kedudukan masyarakat India.

Begitu juga dengan sokongan NGO yang kini sudah boleh turut menjadi Sahabat BN yang boleh diikat hubungan dengan parti lain di bawah BN dengan penstrukturan dan pendekatan yang akhirnya akan membolehkan masyarakat India menilai sumbangan dan perubahan yang dibawa berdasarkan kepercayaan ke atas kewibawaan kepimpinan baru yang masih belum diuji.

Profesor Madya

Dr. Sivamurugan Pandian

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

No comments:

Post a Comment