Friday, November 26, 2010

Politik

Nik Aziz tidak prihatin pergeseran sesama Melayu

MURSYIDUL Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meluahkan rasa dukacitanya dengan keadaan masyarakat di negara ini yang masih bersikap curiga-mencurigai di antara kaum walaupun sudah 53 tahun merdeka.

Menurutnya, pendekatan yang dibuat Kerajaan Pusat terbukti gagal merapatkan jurang antara kaum di negara ini, walaupun banyak menghabiskan masa dan wang mengadakan pelbagai program.

Saya setuju dengan pendapat beliau, malah saya juga merasa sedih dengan pergeseran antara kaum yang kian menjadi-jadi. Tetapi mengapa Nik Aziz hanya sedih dengan sikap curiga antara kaum sahaja?

Bagaimana pula dengan sikap yang lebih membimbangkan kita iaitu curiga dan perbalahan antara sesama Melayu? Apakah toleransi atau perpaduan sesama Melayu itu tidak penting daripada kaca mata beliau?

Jika dilihat pada hari ini, orang Melayu kelihatan berpecah-belah. Malah caci maki, umpat keji dan fitnah memfitnah amat hebat berlaku di kalangan sesama Melayu dan Islam.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa Nik Azizlah antara punca perpecahan antara Melayu di negara ini. Buktinya pelbagai 'fatwa' yang tidak selari dengan Islam telah beliau lontarkan sehingga mewujudkan perpecahan yang amat ketara antara penyokong Pas dan UMNO. Apatah lagi perpaduan yang ingin dimeterai oleh UMNO telah ditolak mentah-mentah.

Mengapa perkara sebegini tidak beliau bimbangkan? Sikap beliau ini bolehlah disamakan seperti seorang bapa yang tersenyum apabila melihat anak-anaknya bertelagah sehingga terputus persaudaraan. Tetapi pada masa yang sama bapa tersebut bimbangkan jirannya yang tidak bertegur sapa. Ternyata kebimbangan beliau tidak bertempat.

MOHD ZAIRUDDIN

Bandar Baru Bangi

No comments:

Post a Comment