ARKIB : 01/11/2010
Perajurit zaman darurat tuntut pencen
SAYA dan rakan-rakan adalah perajurit yang berkhidmat di zaman darurat (1948-1958-1961).
Waktu itu digelar kawasan hitam/ black area dan saya pernah berkhidmat dalam pasukan keselamatan dalam unit A.S.U. dan ditugaskan beroperasi memburu pengganas komunis tidak kira di waktu siang ataupun malam, keluar masuk hutan sudah menjadi satu lumrah hidup pada waktu itu.
Pengganas tidak kenal erti belas kasihan dan banyak jiwa rakan saya yang terkorban sama ada terkena tembakan senjata ataupun mati akibat jerangkap samar.
Yang bernasib baik pun, kalau tidak terkorban, ramai perajurit yang menjadi cacat hilang kaki atau tangan kekal seumur hidup. Saya diizinkan Allah, alhamdulillah terselamat dan sebarang bencana tersebut, pelik tapi benar.
Pernah diuar-uarkan melalui Persatuan Bekas-Bekas Polis Malaysia (PBPM) bahawa kerajaan akan menunaikan pencen kepada bekas-bekas anggota pasukan keselamatan di zaman darurat sekurang-kurangnya RM360 sebulan.
Berita ini telah diketahui sejak 1 Januari 2009, lebih setahun sudah tiada apa-apa maklum balas dan tindakan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang kemungkinan terlepas pandang.
Kepada kerajaan hari ini yang berjiwa rakyat iaitu mendahulukan kepentingan rakyat, saya dan rakan-rakan seperjuangan yang pernah berkhidmat dalam pasukan keselamatan di zaman darurat tersebut, merayu agar belas ihsan, perhatian dan pertimbangan sewajarnya daripada Kementerian Pertahanan agar dapat menghulurkan bantuan pencen bulanan yang diuar-uarkan dan yang dijanjikan kepada kami.
Setidak-tidaknya ia dapat meringankan beban sisa-sisa hidup kami yang bergelar "Wira Bangsa" di suatu waktu dulu itu.
Kini kami hanyalah bergelar "Warga Emas" yang rata-rata berusia sekitar 75-80an yang sudah sampai ke hujung hayat.
Kenangi dan hargailah jasa kami yang mempertahankan kedaulatan maruah bangsa Malaysia yang memperjuangkan kemerdekaan negara ini.
Sekian, harap maklum dan dapat perhatian serta tindakan segera daripada pihak-pihak yang berkenaan.
M.G. ALI Perajurit pencen
No comments:
Post a Comment