Survivor orang Melayu. Mimbar politik orang Melayu.Jatuh bangun orang Melayu.Suara hati orang Melayu.Mana benar mana salah, mana intan mana kaca...Lu fikir lah sendiri!!!
Wednesday, November 3, 2010
Roboh
'Macam mana nak berniaga...'
Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
MUSNAH...kontraktor merobohkan gerai menggunakan jentolak, semalam. Gambar kecil, Fauzi.
KUALA LUMPUR: “Macam mana nak berniaga di kedai sementara disediakan kerana ia tidak berdinding. Habislah semua barang nanti kena kebas,” kata peniaga barangan aksesori telefon bimbit, Hamjah Talib, 30, yang kedainya diroboh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.
Hamjah seorang daripada 157 peniaga di gerai dan kedai pelbagai barangan serta perkhidmatan di sepanjang Jalan Pantai Permai di sini, yang premis mereka dirobohkan secara berperingkat oleh DBKL sebelum ditempatkan semula di Jalan Bukit Angkasa berhampiran tapak lama.
Dia yang sudah berniaga di Jalan Pantai Permai sejak sembilan tahun lalu secara dasarnya bersetuju dengan pemindahan itu, tetapi kecewa sebab tapak sementara belum siap, kedai sedia ada sudah dirobohkan.
“Bila tanya kontraktor DBKL, mereka suruh cari dinding dan paku sendiri sedangkan mana nak sempat sebab jentolak sudah memulakan kerja merobohkan.
“Saya kerugian RM300 hingga RM500 sehari apabila tak dapat menjalankan perniagaan. Belum lagi fikir mengenai gaji empat pekerja, berniaga terjejas bagaimana nak bayar gaji?
“Pening saya memikirkan di mana nak letak barang-barang perniagaan. Setakat ini saya dah angkut dengan van ke rumah untuk disimpan sementara,” katanya.
Pemilik Kedai Emas Sinar Baiduri, Mohd Hairul Anuar, 28, yang sudah enam tahun berniaga di situ berkata, projek pembangunan di Jalan Bukit Angkasa dikatakan akan siap tahun depan, tetapi setakat ini tapak sementara belum siap dengan sempurna.
“Kedai kami sudah dirobohkan, manakala tapak sementara pula belum siap. Habis itu, macam mana kami nak mencari rezeki.
“Sudahlah begitu, barang-barang semua terpaksa dikeluarkan secara kelam-kabut. Bimbang juga ada pihak tak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan mencuri,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penjaja Pantai Dalam, Fauzi Che Ahmad berkata, perbincangan sudah diadakan kira-kira enam bulan lalu antara penjaja dengan DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berhubung pemindahan terbabit.
“Semua sebulat suara bersetuju. Sampai bila nak berniaga di tepi jalan dan ada antara peniaga tiada lesen. Dengan pemindahan ini, DBKL bersetuju memberikan ruang kedai dan lesen kepada semua 157 penjaja di tempat baru.
“Hari ini (semalam) saya difahamkan 13 gerai dirobohkan dan tiada kekecohan berlaku. Saya berharap ahli persatuan jangan bimbang dengan tapak perniagaan kerana semuanya pasti dapat tempat dengan proses telus selepas dibanci sebelum ini,” katanya.
Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati kontraktor jentera berat seperti jentolak dan lori DBKL sibuk melakukan kerja meroboh gerai di situ.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment