Tuesday, November 16, 2010

Patriotik

Lihat dalam konteks positif kenyataan Zahid Hamidi

MUNGKIN apa yang dikatakan baru-baru ini di Parlimen oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tentang bangsa bukan Melayu yang kurang patriotik kerana tidak ramai menyertai tentera telah menimbulkan kontroversi, sehinggakan ramai yang mempertikaikan kenyataan itu. Kontroversi itu juga menyebabkan Kabinet mendesak Zahid menjelaskan isu ini.

Kalau nak berbahas tentang isu ini, sampai bila pun tidak akan habis. Apa kata kita ambil hikmah daripada kenyataan Zahid ini.

Sama ada apa yang dikatakan oleh Zahid ini sesuatu yang betul ataupun tidak, kita lihat pada fakta di bawah ini.

Fakta: 90 peratus daripada rekrut tentera untuk tahun 2009 ialah bangsa Melayu, manakala 1.1 peratus terdiri daripada kaum Cina dan kaum India. Dan yang selebihnya (lebih kurang 8.8%) terdiri daripada beberapa kaum di Sabah dan Sarawak.

Persepsi: Daripada kenyataan di atas, ternyata persepsi umum ialah kaum lain di Malaysia selain daripada kaum Melayu tidak banyak yang menganggotai tentera.

Sememangnya semangat patriotisme tidak boleh diukur daripada berapa ramai yang menjadi tentera. Penulis pun tidak pernah memohon untuk menjadi tentera, tetapi tidak bermakna penulis seorang yang tidak patriotik.

Sungguhpun begitu, kita masih tidak boleh menyangkal persepsi umum yang kaum lain mungkin 'kurang patriotik' berdasarkan bilangan yang masuk tentera. Saya jelaskan sekali lagi, bahawa ini hanyalah persepsi umum dan bukannya sesuatu yang dipastikan.

Itu sebabnya kenyataan Zahid Hamidi perlu dilihat dalam konteks yang positif yang mana kita semua boleh mengambil iktibar daripadanya. Mungkin kenyataan Zahid telah membuka mata dan minda kita semua yang isu ini perlu dibuat kajian yang terperinci.

Jadi dalam hal ini, saya cadangkan ditubuhkan satu badan neutral yang membuat kajian "Sejauh manakah semangat patriotisme di kalangan remaja Malaysia hari ini?

Kajian yang menyeluruh ini mungkin diterajui oleh sebuah badan khas yang bebas daripada sebarang pengaruh. Badan tersebut perlu diberi tanggungjawab dan telus dalam kajian mereka. Ini disebabkan kajian yang dilakukan mungkin boleh dianggap sebagai sesuatu yang sensitif.

Badan ini mesti bertanyakan kepada golongan remaja hari ini, tidak kira kaum, "mengapa anda ingin masuk tentera?". Adakah kerana tidak ada pilihan lain atau sememangnya anda seorang yang patriotik?

Dan kepada yang tidak ingin masuk tentera pula, adakah disebabkan 'tidak ada daya penarik yang menyebabkan anda ingin masuk tentera", atau mungkin anda boleh memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dalam pekerjaan lain. Ataupun mungkin anda memang tidak mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

Badan ini juga perlu menjelaskan keputusan dan hasil kajian secara terperinci tanpa disekat. Bayangkanlah jika kajian mendapati yang sememangnya generasi kita kurang semangat patriotik? Tidakkah itu amat menyedihkan.

SHAHBUDIN HAJI EMBUN

Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment