Tuesday, November 30, 2010

Xutama

Tak utamakan pribumi, orang Melayu perlu tinggalkan PKR

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Orang Melayu harus meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana parti itu kini tidak lagi mengutamakan kaum pribumi itu setelah menolak terang-terangan ketuanan Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sepatutnya PKR tidak lari daripada tanggungjawab memperjuangkan kuasa politik teratas dan terkuat menerusi formula politik ikut bilangan.

Malah, tegas beliau, apatah lagi orang Melayu mewakili 60 peratus komposisi penduduk negara ini sekali gus bermakna keutamaan dan keteguhan politiknya semestinya menjadi idaman setiap orang.

"Jadi, apabila mana-mana individu seperti Presiden PKR (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) tidak lagi berminat dengan kuasa Melayu menerusi politik, maka orang Melayu perlu segera tinggalkan parti itu.

"Dengan PKR tidak lagi berminat dengan hak-hak keistimewaan orang Melayu serta kuasa raja-raja Melayu yang mempunyai kedaulatan dan keteguhan di bawah Perlembagaan Persekutuan, jadi apa perlu lagi ditunggu oleh orang Melayu dalam PKR," kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Rais berkata, dengan perakuan dan ketegasan kedua-dua pemimpin PKR itu yang memperlekehkan ketuanan Melayu, ia sekali gus bermakna PKR tidak lagi relevan untuk orang Melayu.

Sementara itu, Timba-lan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, hasrat PKR untuk menghapuskan konsep ketuanan Melayu hanya menunjukkan parti itu juga tidak mampu mempertahankan hak-hak kaum itu seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Katanya, kebanyakan perkara yang termaktub dalam perlembagaan adalah untuk menjaga, melindungi kepentingan serta masa depan orang Melayu termasuk kuasa-kuasa raja Melayu.

''PKR faham perkara itu tetapi buat-buat tak faham. Ini kerana ketuanan Melayu bukan bermaksud Melayu menjadi tuan sebaliknya ia merujuk kepada raja-raja Melayu iaitu sampai bila-bila mengikut Perlembagaan, kedudukan sultan tidak boleh ditukar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan kenyataan Wan Azizah adalah sangat jahil tentang kedudukan 'ketuanan Melayu' di dalam landskap perlembagaan negara.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, hanya kerana terlalu 'kemaruk politik', Presiden PKR itu sanggup melancarkan propaganda politik yang menolak sama sekali teras perlembagaan negara selama ini.

''Kita tidaklah terlalu terperanjat, kerana dengan kedudukan PKR yang menjadi 'punca kelemahan' Pakatan Rakyat; parti tersebut memerlukan suatu propaganda yang lebih berkesan dan mampu menarik perhatian masyarakat,'' katanya.

Sehubungan itu, Reezal Merican mengingatkan Azmin bahawa 'perang' yang bakal Timbalan Presiden PKR tersebut jayakan bagi menentang 'ketuanan Melayu' akan disambut oleh Pemuda UMNO seluruh Negara.

Ketuanan

PKR terjerat dalam perangkap sendiri

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Usaha terdesak Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menghapuskan ketuanan Melayu dan menggantikannya dengan ketuanan rakyat tidak akan mendapat sokongan masyarakat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya yakin, parti itu yang bakal terjerat dalam 'perangkap' mereka sendiri kerana rakyat sudah bosan dan muak dengan politik murahan PKR.

Sambil menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata, usaha terdesak pucuk pimpinan PKR itu tidak akan mengubah imej buruk parti tersebut.

"Usaha PKR untuk kononnya menjadi juara kepada pengundi bukan Melayu hanya akan lebih menjerat mereka sendiri kerana rakyat sudah muak dan bosan. Jika ahli sudah bosan dengan arah politik PKR, apatah lagi rakyat.

"Soal menggantikan dengan ketuanan rakyat tidak timbul kerana inilah perjuangan BN selama ini. Kita jauh lebih mengutamakan rakyat dengan pelbagai dasar mesra rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PKR melalui presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin Ali, mengumumkan 'perang' kepada ketuanan Melayu semasa kongres parti itu yang berakhir semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan tindakan Wan Azizah dan Azmin adalah bertujuan untuk mengalih isu penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan PKR sehingga memperlihatkan amalan kronisme serta nepotisme kronik.

"Tetapi saya yakin usaha mereka tidak akan berjaya memandangkan PKR adalah sebuah parti bakul sampah. Segala sampah-sarap yang dibuang oleh parti lain dilonggokkan dalam PKR menyebabkan ia cacamarba," katanya.

Mengenai tindakan Wan Azizah yang menyifatkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'anugerah Tuhan', Ahmad Zahid berkata: "Saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang ramai pagi tadi, mereka menyifatkan haiwan di hutan juga anugerah Tuhan," .

Sementara itu mengulas perkara yang sama, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hanya kerana pertimbangan politik, Wan Azizah sengaja mempersenda orang Melayu dengan mendakwa bahawa PKR menolak hak dan kedudukan golongan berkenaan yang selama ini telah diterima oleh semua pihak.

Sehubungan itu Naib Presiden UMNO tersebut menyifatkan kenyataan Wan Azizah berkepentingan politik dan sangat tidak bertanggungjawab serta menimbulkan keresahan dan polemik di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

''Pimpinan PKR sanggup melakukan apa sahaja demi meraih sokongan rakyat tanpa memikirkan impaknya kepada proses pembangunan negara dalam jangka masa panjang.

''Apa yang ditimbulkan oleh PKR jelas sekali cuba untuk merendah-rendahkan konsep ketuanan Melayu. Kita tidak mahu institusi kesultanan Melayu turut direndah-rendahkan,'' katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, Wan Azizah, pimpinan dan ahli-ahli PKR perlu sedar dan insaf bahawa satu ketika dahulu orang Melayu telah menolak gagasan Malayan Union yang dibawa oleh pihak penjajah kerana ia cuba meminggirkan peranan dan sumbangan sultan dan raja-raja Melayu dalam pemerintahan

''Saya lihat, pemikiran dan ideologi yang cuba diterapkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam parti itu adalah menyamai dan menyerupai dengan konsep dan propaganda yang dibawa dalam Malayan Union. Tindakan beliau ternyata sengaja menidakkan perlembagaan dan undang-undang negara,'' tegasnya.

Hishammuddin menegaskan, ketuanan Melayu bukanlah untuk menjadikan Melayu ini 'tuan'.

Katanya, selama berpuluh tahun UMNO membawa perjuangan ketuanan Melayu, tidak ada satu bangsa pun yang ditindas atau menjadi hamba.

Seloka

Seloka ‘Anwar Anugerah Tuhan’

“Anwar ANUGERAH TUHAN”
KATA ISTERI YANG TAK KERUAN
KONON BERJUANG UNTUK KEADILAN
AHLI SENDIRI MEMPERTIKAIKAN

“ANWAR ANUGERAH TUHAN”

PENYOKONG SETIA TURUT MENGANGGUKKAN

TERLALU OBSES DENGAN IMPIAN

PUTRAJAYA JADI IDAMAN

“ANWAR ANUGERAH TUHAN”

AMBOI BEGITU HEBATNYA PUJIAN

PARTI SENDIRI TAK KETAHUAN

INIKAN NAK PERINTAH SATU KERAJAAN

“ANWAR ANUGERAH TUHAN”

KE SANA KE MARI HEBOH SAKAN

SATU DUNIA DIA JAJAKAN

KONON ‘BN’ ZALIM DALAM PEMERINTAHAN

“ANWAR ANUGERAH TUHAN”

BANGGA SEBAGAI PEMIMPIN PAKATAN

KIT SIANG, HAJI HADI BERI LALUAN

WALAUPUN KERUSI TAK BERKECUKUPAN

“ANWAR ANUGERAH TUHAN”

GELI GELEMAN SELURUH BADAN

KES PERIBADI DIA LEWATKAN

KES ORANG LAIN DIA SIBUKKAN

“ANWAR ANUGERAH TUHAN”

PARTI KRONI DIA ASASKAN

JANGAN USIK SIORANG KANAN

KELAK TERSINGKIR MACAM SIPOLAN

“ANWAR ANUGERAH TUHAN”

SIVAJI THE BOSS JADI MAINAN

MENCATUR PEMIMPIN MASA HADAPAN

HABIS BERCELARU PARTI KEADILAN

“ANWAR ANUGERAH TUHAN”

TIMBUL PULA RASA KASIHAN

KONGRES AMK TAK DAPAT SAMBUTAN

BAGAIMANA MEMBINA PEMIMPIN LAPISAN?

“ANWAR ANUGERAH TUHAN”

CETUSAN NALURI ISTERI KESAYANGAN

KETUANAN MELAYU KINI DIKETEPIKAN

SEBAGAI STRATEGI MENENTU KEMENANGAN

“ANWAR ANUGERAH TUHAN”

ANAK BERANAK DALAM PIMPINAN

ANGGOTA LAIN CUMA TEMPELAN

SIAPA KOMPLEN HARUS

DISINGKIRKAN

BENAR, “ANWAR ANUGERAH TUHAN”

UNTUK DI JADIKAN BATU SEMPADAN

OLEH SEMUA INSAN-INSAN

AGAR TIDAK TERSESAT JALAN

Sharudin Abdullah

Bandar Baru Bangi, Selangor.

Anugerah

Anugerah Tuhan atau dimakan sumpah?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
SALAH satu faktor yang membawa kejayaan kepada pertubuhan Al-Arqam sebelum ia diharamkan ialah penerapan doktrin bahawa pemimpin mereka, Asaari Mohamad adalah 'pilihan Tuhan' bagi memimpin negara ini.

Dengan memutar-belitkan pelbagai potongan hadis dan ayat suci al-Quran, Allahyarham Asaari digambarkan sebagai bakal Perdana Menteri kerana beliau didakwa pemimpin Bani Tamim yang akan menyelamatkan umat manusia daripada kehancuran.

Berikutan itu, maka wujud perasaan taksub kepada Asaari sehinggakan beliau yang meninggal dunia pada 13 Mei lalu dikatakan mampu berdialog secara langsung dengan Rasullullah SAW. Insan yang bertanggungjawab menanam perasaan taksub berkenaan kepada pengikut Arqam ialah isteri Asaari, Hatijah Aam atau nama panggilannya Ummu Jah.

Selain memainkan peranan sebagai penulis dan pemikir kepada ajaran Asaari, Ummu Jah juga bertanggungjawab menyebarkan propaganda bahawa Asaari dipilih Allah SWT untuk menjadi pemimpin dunia di akhir zaman.

Berikutan itu, apa sahaja yang berlaku ke atas Asaari dan Al-Arqam cuba diputar belitkan oleh Ummu Jah sebagai dugaan Tuhan kerana pengikut pertubuhan itu perlu yakin bahawa Asaari adalah anugerah Tuhan kepada umat manusia.

Semua itu dilakukan kerana dari semasa ke semasa kepincangan dan penyelewengan Al-Arqam semakin terdedah.

Namun kebenaran mengatasi kebatilan, Al-Arqam diharamkan, Asaari meninggal dunia pada 13 Mei lalu manakala pengikut-pengikut pertubuhan itu entah ke mana.

Oleh itu, apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail menyatakan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah anugerah Tuhan bagi memimpin rakyat negara ini, adakah ia bermaksud beliau berhasrat mewujudkan ketaksuban kepada Anwar dalam usaha menutup segala kepincangan yang berlaku dalam PKR?

Hakikatnya, Wan Azizah tidaklah sehebat Ummu Jah kerana kalau Ummu Jah menjadi pemikir kepada Asaari, Wan Azizah pula hanyalah pengikut kepada suaminya.

Justeru apabila beliau menghamburkan segala puji-pujian untuk Anwar, ia sebenarnya bertujuan mengelakkan PKR terus ditinggalkan oleh pemimpin dan ahli parti tersebut yang rata-rata mulai sedar hakikat sebenar perjuangan Anwar.

Menggunakan istilah 'anugerah Tuhan' boleh dianggap 'peluru terakhir' Wan Azizah yang amat memahami bahawa PKR kini semakin terumbang-ambing.

Harapan Wan Azizah ialah dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian, ia akan menyakinkan penyokong-penyokong PKR bahawa apa yang berlaku bukan kerana kelemahan Anwar tetapi dugaan kepada suaminya.

Sebab itulah, Wan Azizah menggambarkan Anwar sebagai insan luar biasa yang mampu menempuh pelbagai cabaran.

Sebenarnya, Wan Azizah mungkin hanya mampu membohongi mereka yang masih setia dengan PKR tetapi tidak kepada rakyat secara keseluruhan terutamanya umat Islam yang amat memahami apa itu istilah 'anugerah Tuhan'.

Kita juga boleh bertanya, kalau begitulah kedudukan Anwar yang digambarkan oleh Wan Azizah sebagai 'anugerah Tuhan', bagaimana pula ulama-ulama Pas yang menjadi pemimpin utama parti itu, apakah mereka bukan 'anugerah Tuhan'? Tidakkah dari segi moral, pemimpin-pemimpin utama Pas dianggap jauh lebih baik berbanding Anwar?

Oleh itu, tidak perlulah Wan Azizah mengangkat martabat suaminya terlalu tinggi hanya semata-mata mahu mengabui mata rakyat terhadap segala kemelut yang berlaku di dalam PKR. Wan Azizah perlu berpijak di bumi nyata dan menerima hakikat bahawa PKR kini sudah kronik dan segalanya berpunca daripada impian suaminya mahu menjadi Perdana Menteri.

Bagaimana pula jika ada orang berkata, memang benar Anwar anugerah Tuhan tetapi bukan untuk memimpin, sebaliknya menguji hamba-hamba-Nya di bumi Malaysia untuk berhadapan dengan seorang insan yang sanggup melakukan apa sahaja dan menggadaikan segalanya demi meraih kuasa? Atau ada insan yang berfikir apakah Anwar sudah dimakan sumpah memandangkan satu demi satu bahana menimpanya.

Wan Azizah perlu ingat bahawa tiada hijab antara orang yang dianiaya dengan Allah SWT. Ertinya, doa orang teraniaya mudah dimakbulkan. Oleh itu, kalaulah Anwar dikategorikan dalam golongan tersebut berikutan apa yang dilaluinya, kenapakah sampai sekarang beliau terus ditimpa pelbagai masalah. Berikutan situasi inilah, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd.Noor meminta Wan Azizah menilai sama ada Anwar adalah anugerah atau ujian kepadanya serta ahli PKR untuk memilih Allah atau pemimpin yang melampaui batas.

''Tun Dr.Mahathir Mohamad ambil masa sebelum bertegas pecat beliau (Anwar). Saya juga sudah beberapa lama, baru melepasi ujian Allah dan akhirnya saya bersyukur dapat memilih Allah berbanding bos sendiri,'' katanya.

Wan Azizah tidak perlu bermain dengan kata-kata, biarpun beliau mungkin membaca teks ucapan yang dibuat oleh orang lain. Sejarah politik dan segala tindakan Anwar tidak boleh dianggap satu anugerah kepada rakyat negara ini.

Sebaliknya kerana kerakusan politik suaminya, maka arena politik negara tidak pernah aman sejak tahun 1998. Anwar bertanggungjawab menghasut sebahagian penyokongnya melakukan demonstrasi ganas. Ia satu perbuatan yang cukup asing bagi rakyat negara ini. Apakah ini sikap pemimpin yang dikatakan 'anugerah Tuhan' tetapi enggan reda dengan ketentuan Ilahi terhadapnya?

Wan Azizah belajarlah untuk faham bahawa pemimpin 'anugerah Tuhan' adalah seseorang yang membawa rahmat kepada umat manusia, bukannya melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan mereka. Pemimpin 'anugerah Tuhan' tidak akan membuat fitnah atau memperdayakan orang dengan silat lidahnya, apatah lagi menjadi 'sesumpah' seperti mana dilakukan oleh suaminya itu bagi meraih kuasa politik.

Justeru, janganlah kerakusan berpolitik dan kegelojohan untuk berkuasa menyebabkan Wan Azizah cuba menerapkan pula ketaksuban kepada pengikutnya.

Belajarlah daripada apa yang berlaku kepada Al-Arqam. Pertubuhan itu hancur kerana mereka terlupa bahawa mereka mungkin hanya boleh memperdayakan manusia tetapi bukan Allah SWT. Sesungguhnya apabila tiba masanya, Dia pasti akan memunculkan kebenaran bagi melenyapkan kebatilan. Ketika itu, kita boleh menilai apakah Anwar benar-benar satu anugerah Tuhan atau dimakan sumpah!

MBE

Sikap penentu kejayaan MBE bumiputera

Oleh IZHAM YUSOFF
KERAJAAN telah melancarkan Model Baru Ekonomi (MBE) bagi membawa Malaysia ke landasan yang sesuai untuk melonjak ke taraf negara maju menjelang 2020. Seperti yang kita maklum, MBE dicipta berdasarkan sistem ekonomi yang mapan dan berterangkuman untuk mencipta pendapatan tinggi. Seperti mana dasar ekonomi yang lalu, MBE terus mengekalkan usaha kerajaan untuk menjana peningkatan tahap ekonomi negara.

Setelah meneliti pelan MBE, saya tertanya-tanya sama ada pelan yang sama perlu diwujudkan untuk merekayasa MBE Bumiputera. Sebenarnya saya kurang pasti apakah intipati model tersebut. Namun begitu dapat disimpulkan bahawa penglibatan bumiputera di dalam sektor ekonomi masih di tahap rendah jika dibandingkan dengan bangsa lain dalam berbagai aspek, sama ada pemilikan ekuiti, pemilikan hartanah mahupun tahap pendapatan.

Apakah nasib golongan bumiputera apabila MBE dilaksanakan? Mungkin Wawasan 2020 dapat dicapai tetapi golongan bumiputera terus menjadi seperti 'melukut di tepi gantang'? Ramai khuatir bahawa MBE yang berteraskan konsep samarata atau keterangkuman akan memberi kesan negatif kepada pembangunan ekonomi bumiputera.

Kalau ini berlaku, maka jurang perbezaan tahap ekonomi antara kaum akan menjadi lebih buruk berbanding sekarang. Kegelisahan ini berdasarkan tanggapan bahawa sekiranya golongan bumiputera selepas berdekad lamanya masih belum dapat menggenggam erat sebahagian besar kekayaan negara, maka adakah suasana ekonomi yang lebih terbuka dan liberal yang diwar-warkan oleh MBE akan merencatkan pembangunan ekonomi bumiputera?

Walaupun MBE bukan bersifat zero-sum game, tetapi pertumbuhan ekonomi bumiputera mungkin agak mendatar kalau dibandingkan dengan apa yang mungkin dicapai oleh golongan bukan bumiputera, sekiranya semua pihak tidak bekerjasama membentuk mekanisme yang tersusun dan kemas.

Saya terpanggil untuk menyatakan bahawa sekiranya kita mempunyai pelan untuk mendorong perubahan ekonomi negara, usaha yang sama perlu dibuat bagi merangka pelan pembangunan ekonomi bumiputera. Pelan itu dapat menyatakan dengan khusus keadaan dan cabaran ekonomi bumiputera sedia ada, dan hala tuju semoga selari dengan objektif MBE.

Bagaimanapun adalah tidak adil untuk melonggokkan tanggungjawab meningkatkan nasib golongan bumiputera semata-mata di pihak kerajaan. Golongan bumiputera itu sendiri perlu mahu membuat perubahan seperti mana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam surah ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:

'Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.'

Sekiranya MBE mensasarkan pendapatan tinggi untuk Malaysia, sudah tentu golongan bumiputera yang terdiri daripada 66 peratus rakyat negara ini perlu meningkatkan tahap pendapatan mereka. Walaupun DEB telah berjaya melahirkan jutawan dan hartawan bumiputera, namun kelompok itu amat kecil kalau dibandingkan dengan apa yang telah dicapai oleh bangsa Cina.

Persoalannya adalah bagaimana golongan bumiputera dapat meningkatkan tahap pendapatan mereka dalam tempoh 10 tahun akan datang. Adakah penjawat awam berani meninggalkan kerusi empuk di perkhidmatan awam untuk mencuba nasib menjadi petani moden? Adakah anak muda dari golongan bumiputera mahu mencuba nasib bekerja di sektor swasta ataupun berniaga daripada terus memohon jawatan kerajaan? Adakah syarikat yang telah saban tahun berada di dalam skim vendor Petronas terus membida projek petroleum di Malaysia sahaja atau telah bersedia mengembangkan sayap ke negara luar?

Sebenarnya tidak ada sebab mengapa golongan bumiputera tidak dapat meningkatkan tahap ekonomi mereka seperti mana rakan bukan bumiputera mereka. Perbezaannya adalah sikap dan tekad untuk berjaya. Bagi mereka yang malas untuk bersaing, dikatakan proses pemilihan tidak adil, pesaing guna kabel dan berbagai alasan. Begitu juga dengan kedudukan siswazah menganggur yang sehingga kini telah mencapai 15 peratus daripada jumlah penganggur.

Kemungkinan besar kelompok penganggur bertauliah ini masih menaruh harap untuk mendapat pekerjaan yang menepati cita rasa masing-masing. Mereka rela menjadi penganggur daripada mencuba nasib mencari rezeki halal sebagai petani moden, guru sambilan, dan juruwang di pasar mini. Ada kemungkinan mereka tidak pernah terfikir bahawa satu hari nanti setelah tamat pengajian, mereka perlu mencari rezeki sendiri.

Begitu banyak tugas yang boleh dilunaskan untuk memenuhi permintaan berbagai sektor seperti perladangan, kedai makanan, ternakan dan pembinaan. Sebaliknya tugasan yang kurang digemari rakyat Malaysia itu menjadi durian runtuh kepada kira-kira 2.5 juta rakyat asing dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

Itu adalah sikap di peringkat mencari kerja, selanjutnya apakah pula sikap mereka yang telah berjaya mendapat jawatan sama ada di sektor swasta mahupun awam. Ada yang terus mahu berkhidmat sehingga pencen dan tidak ambil kisah tentang peluang pekerjaan yang lebih baik sama ada di dalam persekitaran yang sama, apatah lagi di luar. Mereka sudah 'bersyukur' dengan apa yang telah mereka terima walaupun di lubuk hati mereka, tetap ada keinginan untuk berkereta baru atau berpindah ke rumah yang lebih selesa.

Sikap 'tidak apa' atau 'cukup makan' perlu dibanteras habis-habisan sekiranya golongan bumiputera mahu keluar dari kepompong kesederhanaan. Cara pemikiran yang lebih progresif perlu diterap agar lebih ramai mahu menyahut cabaran kerajaan untuk menambah baik tahap ekonomi keluarga mereka.

Bagaimanapun, adalah kurang tepat kalau dikatakan golongan bumiputera tidak berhasrat untuk mengecap pendapatan tinggi. Perbezaannya adalah corak pendapatan tinggi yang menjadi pilihan mereka acap kali kurang mapan. Sebagai contoh, terdapat beberapa konsep cepat kaya seperti skim Pak Man Telo dan skim MLM yang tidak beretika yang telah berjaya mengabui mata ramai rakyat Malaysia, ditunjangi usahawan bumiputera.

Sikap ingin kaya cepat amat menular di dalam psyche golongan bumiputera. Ramai yang selesa mendapat komisen daripada sesuatu projek daripada mengusahakannya sendiri. Perasaan tamak dicampur malas untuk mengekang mata, bersusah payah, bergolok bergadai akan membawa kehancuran ekonomi bumiputera.

Sekiranya sebarang projek dapat diusahakan sendiri, di samping mendapat pulangan yang lebih lumayan, maka pengusaha, keluarga dan pekerja dapat mengecapi pengalaman menjayakan projek tersebut. Pengalaman tidak dapat dinilai dengan wang ringgit dan sudah tentu ia dapat dijadikan modal pusingan untuk menjayakan projek yang seterusnya.

Justeru, perubahan sikap adalah perkara pokok bagi golongan bumiputera untuk turut menerima habuan dari kek ekonomi yang dijangka berkembang pada kadar enam peratus setahun dalam tempoh RMK-10. Usaha gigih Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merealisasikan MBE di bawah kelolaan Majlis Penasihat Ekonomi Negara melalui Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan RMK-10 meletakkan Malaysia di landasan yang kukuh untuk menjadi negara maju pada 2020. Semoga golongan bumiputera menyahut seruan kerajaan untuk menjadi pendokong dan tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Penulis ialah Pengarah Urusan Percetakan Nasional Malaysia Berhad

India

Siapa pemimpin kaum India?

Oleh Dr.Siva
PARTI MIC akan mempunyai presiden baru selepas Datuk Seri Samy Vellu mengumumkan persaraannya secara hakiki pada 6 Disember ini. Ia dilihat sebagai pemangkin ke arah kesinambungan perubahan dalam memperkukuhkan parti menerusi barisan kepimpinan baru.

Ia juga berlaku ketika senario politik masyarakat India masih bergelut untuk mencari nilai kepimpinan sebenar bagi masyarakatnya.

Hari ini kita dapat menyaksikan demonstrasi penyokong parti pembangkang terhadap pemimpin mereka. Demonstrasi diadakan untuk meminta pemimpin tertentu di dalam parti tersebut mengundur diri kerana didakwa gagal mempertahankan keyakinan dan kepercayaan mereka sejak tiga tahun lalu.

Ia berlaku pada bulan ini sekali gus melihat isu kuil Sri Srinivasa Perumal Devasthanam di Puchong, Selangor timbul sehingga menyebabkan seorang kakitangan kuil tersebut membakar diri. Pada November 2007, Hindraf mengadakan demonstrasi besar-besaran dan ia dilihat antara faktor utama yang menyumbang kepada pola pengundian masyarakat India sehingga memberi kemenangan besar kepada barisan pembangkang pada pilihan raya 2008.

Malahan sepanjang kempen pilihan raya tersebut, laungan Makkal Sakthi (Kuasa Rakyat) sentiasa kedengaran dalam ceramah parti pembangkang. Ekspektasi dan harapan menggunung tinggi komuniti ini adalah supaya hak dan kedudukan mereka diberi pengiktirafan yang sewajarnya oleh pemimpin parti pembangkang. Ia diharap akan membawa kesan besar ke atas kepimpinan masyarakat India dalam kerajaan pusat.

Beberapa nama baru muncul, selain pemimpin lama seperti Charles Anthony Santiago (DAP-Klang), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), John Fernandez (DAP-Seremban) dan Karpal Singh Ram Singh (DAP-Bukit Gelugor). Bagi MIC, parti tersebut tewas di enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selepas hampir 32 bulan, adakah gabungan pemimpin masyarakat India dengan parti pembangkang seramai 11 orang telah membawa perubahan atau marginalisasi berpanjangan akibat ketidakmampuan mereka? Adakah harapan yang diberikan ke atas pemimpin ini berjaya dipenuhi? Apakah MIC akan terus dipertanggungjawabkan ke atas ketidakupayaan pemimpin DAP dan PKR untuk memenuhi tuntutan yang dibuat oleh penyokong mereka atau marginalisasi yang dilihat dalam parti tersebut ke atas penyokong India turut direstui pemimpin mereka?

Di manakah hala tuju yang ditetapkan oleh barisan pemimpin ini yang mendapat mandat dari pertubuhan dan organisasi ketika berkempen? Adakah mereka ada suara dan penghormatan dalam parti sendiri atau akan terus menyatakan bahawa mereka adalah wakil masyarakat pelbagai etnik yang membawa perubahan, selain tidak dapat memenuhi keperluan masyarakat India.

Mereka berubah wajah menjadi pemimpin masyarakat India ketika berkempen dalam pilihan raya dengan provokasi dan emosi untuk meraih simpati undi? Ada pemimpin pembangkang mengakui kekalahan dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang kepada calon BN adalah kerana mereka tidak memenuhi tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat India sehingga dihukum dalam pilihan raya kecil tersebut.

Malahan beberapa kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang bahawa sokongan masyarakat India semakin terhakis hari ini.

Ramai anggota masyarakat kelas pekerja menyokong pembangkang pada tahun 2007-2008 dengan harapan kebajikan dan hak mereka akan terpelihara di bawah representasi politik dengan menjadi wadah perjuangan dominan sebagai pembangkang. Namun ternyata ia gagal kerana sukar mencari platform yang sewajarnya.

Ketika itu, isu perobohan kuil Kaliaman di Padang Jawa, Shah Alam mendapat perhatian meluas dalam kalangan pemimpin ini. Isu ini amat signifikan dalam konteks memahami permasalahan yang berterusan sejak tiga tahun lalu.

Ini kerana hari ini, ramai beranggapan sokongan mereka dikhianati oleh barisan pemimpin pembangkang yang hanya menyoal tentang hak komuniti tersebut ketika pilihan raya walhal tidak mampu melakukan sebarang perubahan walaupun memiliki kuasa di peringkat negeri.

Keputusan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung boleh menjadi penanda aras sejauhmanakah pemimpin-pemimpin ini mendapat tumpuan dan sokongan ataupun sekadar digunakan ketika pilihan raya semata-mata untuk menidakkan kemenangan parti lawan.

Dalam pemilihan jawatan tertinggi parti PKR misalnya, pemimpin seperti Sivarasa, Manikavasagam, Gopalakrishnan dan Dr. Xavier Jayakumar yang sering menjadi tumpuan media dalam beberapa isu tumbang kepada Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Fuziah Salleh dan Mansor Othman.

Walaupun 23 peratus daripada anggota parti adalah berlatar belakangkan etnik India, pemimpin ini sama ada ditolak oleh penyokong mereka sendiri kerana kurang yakin atau turut tidak diterima oleh anggota parti dari etnik lain.

Ini kerana komposisi keanggotaan parti sebanyak 400,000 merangkumi 50 peratus kaum Melayu, 12 peratus Cina dan 15 peratus dari Sabah dan Sarawak.

Dalam pemilihan DAP di peringkat negeri Perak pula, pemimpin gergasi DAP Perak, Kulasegaran tewas kepada gabungan bersaudara Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming. Ada yang melihat ia menjadi isu ras dan etnik kerana usaha dikatakan untuk mempertahankan kedudukan masyarakat Cina di bawah Ngeh-Nga. Malahan wujud sirkulasi mesej untuk meminta penyokong berkumpul dan melakukan protes ke atas kekalahan Kulasegaran.

Jika isu kepimpinan Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu sering menjadi bahan kempen, kini pembangkang tidak dapat lagi menjadikan beliau sebagai bahan cacian. Dengan perubahan kepimpinan baru di bawah Datuk G.Palanivel, MIC dapat kukuh semula jika isu ‘perpaduan dalam kalangan masyarakat India’ menjadi agenda beliau. Ini kerana dengan melihat apa yang berlaku dalam pemilihan parti PKR dan DAP, ia sewajarnya membuka ruang kepada beliau untuk menggembleng keseluruhan tenaga bagi meniup angin ‘penyatuan’.

Ini hanya dapat dilakukan jika beliau turut mengambil pendekatan lebih drastik untuk bersama pemimpin parti yang mesra BN (Sahabat BN) seperti IPF, MINDRAF, Makkal Sakti, dan MIUP serta keanggotaan terus BN sebagai suntikan dalam membina dan menerajui perubahan.

Perpecahan dalam kalangan komuniti populasi 1.8 juta ini agak membimbangkan kerana ia turut memberi kesan ke atas perpaduan dalam konteks masyarakat pelbagai etnik sebagaimana yang dilihat pada 2007-2008.

Walaupun berbeza pendirian politik dan berlainan matlamat perjuangan, Presiden MIC yang baru boleh merungkai titik persamaan parti-parti politik ini untuk mencari kelangsungan baru dalam konteks kepimpinan politik masyarakat India.

Malahan, beliau juga boleh mengajak pemimpin dari parti pembangkang agar turut serta jika bersedia mengenepikan kepentingan semangat kepartian sekali gus mengubah kedudukan masyarakat India yang turut mendapat perhatian kerajaan pusat menerusi penubuhan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India dengan diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malahan, populariti Najib wajar dijadikan alasan untuk memperbaiki struktur dan kedudukan masyarakat India.

Begitu juga dengan sokongan NGO yang kini sudah boleh turut menjadi Sahabat BN yang boleh diikat hubungan dengan parti lain di bawah BN dengan penstrukturan dan pendekatan yang akhirnya akan membolehkan masyarakat India menilai sumbangan dan perubahan yang dibawa berdasarkan kepercayaan ke atas kewibawaan kepimpinan baru yang masih belum diuji.

Profesor Madya

Dr. Sivamurugan Pandian

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

Buta Sejarah

PKR terdesak, buta sejarah

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

Pertikaian mengenai kedudukan dan keistimewaan orang Melayu tidak akan timbul jika kita menjadikan sejarah dan Perlembagaan sebagai rujukan. – Gambar hiasan

KETIKA kaum bukan Melayu dilihat semakin jelas memahami maksud ketuanan Melayu, orang Melayu sendiri pula mengambil sikap seperti buta sejarah dan enggan mengiktiraf kedudukan bangsa di tanah air sendiri. Kelantangan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Azmin Ali yang secara terbuka menolak konsep ketuanan Melayu seolah-olah menggambarkan pemimpin parti pembangkang itu terdesak untuk menarik kembali sokongan rakyat.

Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana PKR ketika ini berdepan dengan pelbagai konflik kepercayaan dan sokongan apabila ramai ahlinya termasuk pemimpin kanan bertindak keluar parti. Proses pemilihan parti yang baru sahaja berakhir pula semakin mendedahkan wajah sebenar PKR apabila ahli-ahlinya bercakaran sesama sendiri kerana tidak puas hati dengan amalan nepotisme dan kronisme. Dalam situasi seperti ini, PKR perlu mencari satu isu untuk menutup kelemahan parti itu dalam masyarakat.

Isu paling mudah sudah semestinya ketuanan Melayu kerana konsep ini lebih dikaitkan dengan perjuangan UMNO. Isu ini juga satu ketika dulu berjaya memberi kelebihan kepada pembangkang apabila ramai orang bukan Melayu berjaya ditakut-takutkan dengan tafsiran yang salah mengenainya. Dari kaca mata pembangkang, ketuanan Melayu cuba digambarkan sebagai satu bentuk hubungan ‘tuan dan hamba’ antara orang Melayu dan bukan Melayu.

Kerana itu, istilah ketuanan Melayu juga acap kali cuba disamakan dengan maksud Malay supremacy, Malay hegemony, slave and serf dan banyak lagi. Ini merupakan satu tafsiran yang jauh terpesong kerana pemahaman ketuanan Melayu adalah berasaskan kepada fakta sejarah, sosiobudaya dan pencorakan kuasa politik di rantau ini sejak ribuan tahun lalu. Konsep ini juga bukanlah satu bentuk ideologi atau pendekatan berasaskan perkauman kerana sehingga kini, tidak ada orang bukan Melayu yang disisihkan atau dianaktirikan oleh orang Melayu dalam apa jua bidang sekali pun.

Malah dalam beberapa aspek, kaum bukan Melayu menikmati kehidupan yang jauh lebih baik dan berjaya berbanding dengan orang Melayu sendiri. Justeru, di mana asas ketakutan terhadap konsep ketuanan Melayu dan apa pula bezanya konsep tersebut dengan ketuanan rakyat? Begitupun, adalah lebih tepat untuk memahami mengenai konsep ketuanan Melayu dari sudut pandang Perlembagaan Persekutuan yang telah memperincikannya dengan jelas.

Lihat sahaja apa yang disebut oleh Artikel 153 yang bukan sahaja mengisytiharkan ketuanan bangsa Melayu ke atas bumi Malaysia, malah turut memberi jaminan mengenai kedudukan itu. Antara lain Artikel 153 itu berbunyi: ‘‘Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga hak keistimewaan orang Melayu dan pribumi Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel itu memspesifikasikan bagaimana kerajaan pusat melindungi kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mewujudkan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam.

Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu - kepercayaan orang Melayu bahawa mereka adalah tuan Malaysia,”. Artikel 153 ini juga mengukuhkan beberapa aspek mengenai hak-hak dan status orang Melayu sebagai penduduk asal Malaysia yang mesti dilindungi. Ia termasuk jaminan kedudukan Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu serta agama Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi Malaysia.

Mengapa kedudukan orang Melayu disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan memerlukan kita untuk kembali menyelak sejarah penubuhan negara Malaysia. Ia sudah semestinya ada kaitan dengan sejarah awal kemasukan orang bukan Melayu ke Tanah Melayu sehinggalah kepada wujudnya konsep jus soli dan kontrak sosial dalam pemberian kewarganegaraan. Ia ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.

Dalam hal ini, jika orang bukan Melayu tidak lagi boleh menerima kontrak sosial dan jus soli, maka mereka perlu melihat kembali status kewarganegaraan mereka. Pernyataan ini mungkin berbunyi agak keras dan menyimpang dari usaha kerajaan menubuhkan negara bangsa menerusi Gagasan 1Malaysia. Namun jika konsep ketuanan Melayu terus dipersoalkan dan hak-hak keistimewaan orang Melayu terus dipertikaikan, maka fakta sejarah dan Perlembagaan sahaja yang tinggal sebagai tembok kelangsungan Melayu di bumi Malaysia ini.

Barangkali fakta inilah yang ditakuti oleh pihak tertentu yang seperti cacing kepanasan apabila kerajaan mewajibkan Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013. Kumpulan ini tidak mahu generasi baru terikat dengan pemahaman mengenai jus soli, kontrak sosial dan Perlembagaan yang pastinya merupakan intipati kepada subjek itu. Pemahaman yang jelas mengenainya terutama dalam kalangan pelajar-pelajar bukan Melayu akan menggagalkan usaha pihak tersebut dalam perjuangan kesamarataan dan ideologi Malaysia Malaysia yang diperjuangkan.

Tindak tanduk kumpulan yang terus mempersoalkan apa yang terkandung di dalam Perlembagaan itu juga mengingatkan kita kepada usaha mewujudkan perlembagaan baru. Perkara ini pernah didedahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Menurut beliau, perlembagaan baru itu bakal menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang. Seperti yang diingatkan banyak pihak, usaha merangka perlembagaan baru itu adalah satu niat jahat yang boleh meruntuhkan negara.

Ini kerana ia bakal menafikan ketuanan Melayu dan hak-hak keistimewaan orang Melayu termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu yang merupakan ketua negara. Orang Melayu yang bersekongkol dengan usaha-usaha sebegini sebenarnya telah memperlihatkan kepada masyarakat bahawa mereka sanggup menggadai maruah bangsa sendiri semata-mata mahu mendapatkan kekuasaan dan sokongan. Mereka juga sanggup mengikut telunjuk bangsa lain yang mahu keistimewaan orang Melayu dihapuskan dan digantikan dengan kesamarataan antara kaum yang pada akhirnya hanya merugikan bangsa mereka sendiri.

Monday, November 29, 2010

Pas

Pas keliru dan makin lesu

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
''Kita tidak perlu apologetik untuk terus bercakap mengenai dasar dan prinsip perjuangan Islam yang kita dokong seperti pelaksanaan syariah dan seumpamanya.

''Saya tidak bersetuju membawa Pas baru dengan menenggelamkan atau menyembunyikan hasrat atau cita-cita untuk mendaulatkan Islam walaupun ia dilakukan atas nama strategi.''

Demikian dua ungkapan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan dalam blognya pada minggu lalu.

Di atas kertas ia sememangnya indah, menarik dan penuh penegasan tetapi apa yang menjadi persoalan mampukah kepimpinan Pas termasuk Nasrudin merealisasikannya dalam bentuk realiti.

Ia kerana semua orang tahu, Pas kini bukanlah sebuah parti yang bebas, tidak lagi berdiri atas kaki sendiri bagi mencari kuasa politik atau mempunyai pendirian yang teguh terhadap perjuangan Islamnya.

Pas sudah dilihat sebagai sebuah parti yang semakin jauh ketinggalan dari segi pengaruh, apatah lagi mahu menjadi parti alternatif kepada UMNO dalam membela nasib Melayu dan umat Islam.

Perjuangan Islam yang sebelum ini begitu diuar-uarkan sejak penubuhan parti itu pada 1951, kini boleh dianggap hanyalah retorik.

Segalanya kerana kegelojohan dan keghairahan Pas untuk menjalin kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, dua parti yang cukup alergi dalam menyentuh soal Melayu dan perjuangan Islam.

Tetapi Pas tetap mahu bertahan di dalam apa yang mereka panggil 'Pakatan Rakyat'. Akibat dipengaruhi dengan permainan lidah politik PKR dan DAP, kepimpinan Pas seolah-olah sanggup mengorbankan prinsip perjuangan demi meraih kuasa.

Atas sebab itulah, ketika diminta mengulas perkara ini, seorang penganalisis politik terkenal dari utara tanah air menggariskan tujuh 'harga' yang perlu dibayar oleh Pas apabila bersama DAP dan PKR.

Tujuh perkara itu ialah leburnya agenda negara Islam, agenda hudud dan kanun jenayah syariah berkecai, perjuangan mendaulatkan Islam dan saki baki agenda Melayu (kalau masih ada) hancur berkecai, tergadainya maruah Pas sebagai parti pembela Islam dan terpaksa menerima pemimpin Islam liberal sebagai ketua yang lebih tinggi daripada Mursyidul Am dan Presiden Pas sendiri.

Selain itu, Pas terpaksa akur dengan pemimpin DAP yang tidak pernah bersimpati, malah menolak agenda perjuangan Islam Pas dan terpaksa menipu penyokong setia Pas kononnya agenda Islam masih wujud dalam pakatan pembangkang.

Sememangnya hujah ahli akademik ini perlu diakui oleh Pas yang selama ini sudah dilihat mengorbankan agenda, falsafah dan prinsip perjuangan apabila bersedia bekerjasama dengan PKR dan DAP.

''Sedangkan DAP dan PKR mengaut semaksimum keuntungan dan faedah daripada kepandiran pemimpin-pemimpin muda dalam Pas yang salah memberikan nasihat kepada ulama parti itu,'' kata penganalisis berkenaan.

Lanjutan itu, Pas dilihat terlalu lemah termasuklah untuk menegur segala kepincangan yang dilakukan oleh PKR dan DAP yang memiliki kuasa memerintah di Selangor dan Pulau Pinang.

Walaupun Pas dikatakan mempunyai saham cukup besar bagi memastikan panji-panji pakatan pembangkang tegak di negeri itu tetapi apabila kemenangan sudah ada di tangan, segala jasa Pas dipinggirkan.

Pas kini ibarat melukut di tepi gantang, menadah memohon bantuan PKR dan DAP demi meraih undi serta menghulurkan tangan meminta dipimpin oleh kedua-dua parti berkenaan bagi mendapat kuasa.

Persoalannya, wajarkah pemimpin-pemimpin Pas membiarkan parti itu terus diperkotak-katikkan yang akhirnya akan menyebabkan mereka dilihat tidak mempunyai pendirian yang tegas dalam memperjuangkan apa yang mereka perkatakan?

Sememangnya Pas 'terlalu baik' seolah-olah bersedia mengangguk sahaja terhadap apa juga tindakan dan arahan PKR dan DAP. Martabat Pas sebagai sebuah parti Islam semakin tidak dipedulikan.

Tetapi apakah Pas insaf dan adakah penegasan Nasrudin itu akan diterima dengan terbuka oleh pemimpin-pemimpin utama Pas? Adalah sesuatu yang malang kerana dalam kalangan mereka sendiri tidak mahu campur tangan dalam kemelut PKR yang didakwa berlaku kegiatan bertentangan dengan prinsip demokrasi dan Islam yang diperjuangkan oleh Pas.

Apakah kerana PKR adalah kawan sekutu maka segala kemungkaran tidak harus ditegur kerana bimbang akan menjejaskan kesepakatan bersama bagi meraih kuasa dan mencapai cita-cita ke Putrajaya?

Penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, Pas mengambil pendirian untuk berdiam diri terhadap kemelut yang melanda PKR atas alasan cukup skeptikal yakni tidak mahu mencampuri urusan dalaman PKR.

''Ia betul jika Pas dan PKR tidak berada di bawah satu payung, tetapi soalnya mereka telah membuat deklarasi bahawa mereka berada di bawah satu payung iaitu Pakatan Rakyat.

''Justeru, sememangnya Pas harus memainkan peranan aktif untuk menyedarkan pimpinan PKR bahawa kemelut yang dihadapi mereka sebenarnya turut sama memalitkan keyakinan rakyat terhadap pakatan pembangkang,'' katanya.

Beliau berpendapat, golongan pengundi atas pagar pasti akan berfikir panjang selepas ini keupayaan pakatan pembangkang memimpin negara jika diberi peluang.

Soalnya, beranikah Pas menegur PKR? Di Selangor pun, walaupun Pas berada di dalam kerajaan negeri tetapi parti itu tidak boleh berbuat apa-apa.

Malah ada kalangan pemimpin-pemimpin Pas sendiri yang begitu taksub dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

''Kepimpinan PKR tidak menganggap aura pimpinan Pas adalah setanding untuk diminta bantuan menyelesaikan konflik. Semua pihak tahu perkara tersebut kerana sudah banyak kali pimpinan PKR sendiri memperlekehkan pimpinan Pas. Jadi dalam hal ini, ada betulnya juga Pas hanya menjadi pemerhati yang setia,'' katanya.

Berdasarkan hujah itu, jelaslah untuk melihat Pas menegur PKR atau DAP ia sesuatu yang mustahil dan tidak mungkin berlaku.

Namun begitu, kepimpinan Pas perlu sedar gejolak di peringkat akar umbi, bukan semua ahli parti merestui apa yang mereka lakukan dalam hubungan dengan PKR dan DAP.

Sudah ada tafsiran bahawa dalam usaha mengejar kuasa politik bersama kedua-dua parti berkenaan, Pas dilihat semakin keliru dalam menyatakan pendirian, celaru mencari hala tuju dan lesu untuk bertindak.

Akhirnya yang untung ialah PKR dan DAP kerana berjaya memperdayakan Pas untuk masuk ke dalam putaran politik mereka bagi membolehkan mereka meraih banyak kerusi, sedangkan Pas akan terus menjadi 'pak turut' sahaja.

Sunday, November 28, 2010

PKR

Ohhh Azizah...

SETELAH agak lama menyepi diri terutama ketika PKR dilanda kekalutan, akhirnya Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersuara.

Itu pun agaknya kerana beliau terpaksa berucap merasmikan Kongres PKR semalam. Jika tidak, Wan Azizah akan berusaha mengelak daripada menangani secara terbuka permasalahan serius yang melanda parti itu. Makin ramai pemimpin PKR dan berduyun-duyun ahli bertindak keluar parti kerana sudah hilang kepercayaan.

Sayang sekali, ucapan beliau semalam tidak memberi impak kepada perwakilan. Wan Azizah gagal mengupas kemelut dalam parti itu dan tidak mengambil kesempatan untuk menyuntik keyakinan baru kepada para perwakilan.

Ini mungkin disebabkan beliau kurang berpengalaman dalam menangani krisis. Lagipun orang yang paling berkuasa dalam PKR bukan beliau tetapi suaminya, Anwar Ibrahim. Awang percaya tangan dan minda Wan Azizah cukup terikat kerana terpaksa mengikut rentak Anwar dan Azmin Ali. Inilah yang akhirnya menjadikan beliau, presiden parti yang paling lemah.

Rasanya tiada parti politik di dunia, yang presidennya menjadi pak turut semata-mata.

Realitinya, ahli-ahli hanya melihat Wan Azizah dengan imej seorang isteri dan bukan sebagai pemimpin. Persoalannya di mana prinsip beliau, jika tidak pun sebagai pemimpin, setidak-tidaknya sebagai seorang insan yang mempunyai amanah?

Dalam ucapannya, beliau antara lain menyebut tentang perlunya bangsa Melayu dan umat Islam tidak diperdayakan menerusi konsep tertentu. Apabila bercakap tentang diperdaya, sedarkah Wan Azizah, ramai ahli PKR merasakan mereka menjadi mangsa muslihat Anwar demi kepentingan peribadi. Isu moral Anwar, dalam diam makin terbongkar satu demi satu.

Tindakannya yang dilihat menggadai kepentingan bangsa selain ghairah mendapatkan campur tangan asing untuk menyelamatkan diri, membuatkan lebih ramai meluat. Begitu juga dengan strateginya menangguh-nangguhkan kes liwat di mahkamah, menampakkan beliau terdesak.

Siapa yang sebenarnya memperdaya siapa? Malah sudah menjadi bahan perbualan hangat bahawa Wan Azizah dikatakan turut sama bersubahat. Menurut mereka, Wan Azizah tahu apa yang berlaku dan apa sebenarnya masalah Anwar. Ramai ahli dalam PKR sedih kerana beliau tidak berani mendokong kebenaran hanya kerana mahu mempertahankan suami, yang berdepan dengan isu moral, integriti dan hipokrasi.

Antara lain dalam ucapannya, Wan Azizah berkata, dalam tradisi bangsa, Melayu amat menyedari kepentingan menjaga maruah diri supaya dipandang tinggi oleh orang lain.

Lalu Awang, merenung sejenak sambil bertanya, kepada siapakah sepatutnya ingatan itu ditujukan. Kuman di seberang laut nampak tetapi gajah di depan buat-buat tidak nampak.

Sebaliknya, lebih mengejutkan Wan Azizah menyatakan Anwar adalah pilihan tuhan untuk memimpin Malaysia dan tiada siapa boleh saingi kehebatannya. Awang geleng kepala. Jika itu yang Wan Azizah percaya atau mungkin terpaksa tuturkan atas arahan sesiapa jua, bersedialah untuk menerima hakikat. Biar sehebat manapun percaturan, Anwar juga boleh jatuh kerana ketentuan Allah. Apabila tiba saat itu nanti, janganlah pula menyalahkan pihak lain atau menuduh adanya konspirasi. Puncanya adalah nafsu termasuk untuk berkuasa atas apa cara sekalipun. Nafsu yang gagal diurus akhirnya makan tuan.

Saturday, November 27, 2010

Ustaz

KESAL ‘USTAZ’ PAS

ORANG Melayu Pas dan PKR asyik kena tipu tak habis-habis. Sejak selepas pilihan raya ke-12 yang lepas, macam-macam tipu muslihat yang ditaburkan kepada orang Melayu.

Yang jadi tukang jaja ialah orang kuat Pas dan orang Melayu dalam PKR. Selepas pilihan raya, orang Pas tolong jaja cerita mengenai kepimpinan Lim Guan Eng ala Khulafah Al Rashidin. Penceramah-penceramah Pas tolong kempen termasuk sewaktu kuliah Maghrib di masjid-masjid mengenai idola Guan Eng iaitu Khalifah Umar Abd. Aziz.

Malah ada ustaz-ustaz Pas mengumumkan Guan Eng akan peluk Islam, tetapi terpaksa menunggu sehingga bapanya Lim Kit Siang mati. Selepas Kit Siang mati, barulah Guan Eng akan peluk Islam dan melaksanakan undang-undang Islam sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya kelak.

Apa punya teruk ustaz-ustaz Pas ini. Sudahlah Pas gagal melaksanakan sebarang undang-undang Islam setelah 20 tahun memerintah Kelantan, mereka meletakkan pula tanggungjawab nak laksanakan undang-undang Islam ke atas bahu Guan Eng. Sedangkan Karpal Singh menyuruh langkah mayatnya dahulu sekiranya nak melaksanakan perundangan Islam, inikan pula Guan Eng.

Amat malang, terlalu ramai pengikut Pas yang mempercayai momokan ustaz-ustaz Pas ini. Ustaz-ustaz Pas ini telah berjaya mewujudkan segolongan pengikut mereka yang terlalu taksub dan mempercayai apa sahaja diucapkan oleh ustaz-ustaz mereka. Malahan mereka dengan bangga mencanang di kedai-kedai kopi tentang perkara-perkara yang tidak boleh diterima akal.

Saya berpendapat sesuatu perlu dilakukan oleh pihak kerajaan melalui JAKIM, IKIM, Majlis Agama Islam negeri-negeri dalam perkara ini. Usaha pemulihan dan pemikiran logik bersandarkan hukum-hukum Islam perlulah digerakkan supaya pemikiran orang-orang Melayu yang telah dihitamkan oleh unsur-unsur politik sempit Pas dan PKR dapat dirawat.

Kalaulah dibiarkan perkara-perkara ini berterusan tanpa pengawasan dan pemulihan, satu hari nanti Melayu Islam hanya akan tinggal nama.

ANAK SELUANG

Kulim

Friday, November 26, 2010

Politik

Nik Aziz tidak prihatin pergeseran sesama Melayu

MURSYIDUL Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meluahkan rasa dukacitanya dengan keadaan masyarakat di negara ini yang masih bersikap curiga-mencurigai di antara kaum walaupun sudah 53 tahun merdeka.

Menurutnya, pendekatan yang dibuat Kerajaan Pusat terbukti gagal merapatkan jurang antara kaum di negara ini, walaupun banyak menghabiskan masa dan wang mengadakan pelbagai program.

Saya setuju dengan pendapat beliau, malah saya juga merasa sedih dengan pergeseran antara kaum yang kian menjadi-jadi. Tetapi mengapa Nik Aziz hanya sedih dengan sikap curiga antara kaum sahaja?

Bagaimana pula dengan sikap yang lebih membimbangkan kita iaitu curiga dan perbalahan antara sesama Melayu? Apakah toleransi atau perpaduan sesama Melayu itu tidak penting daripada kaca mata beliau?

Jika dilihat pada hari ini, orang Melayu kelihatan berpecah-belah. Malah caci maki, umpat keji dan fitnah memfitnah amat hebat berlaku di kalangan sesama Melayu dan Islam.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa Nik Azizlah antara punca perpecahan antara Melayu di negara ini. Buktinya pelbagai 'fatwa' yang tidak selari dengan Islam telah beliau lontarkan sehingga mewujudkan perpecahan yang amat ketara antara penyokong Pas dan UMNO. Apatah lagi perpaduan yang ingin dimeterai oleh UMNO telah ditolak mentah-mentah.

Mengapa perkara sebegini tidak beliau bimbangkan? Sikap beliau ini bolehlah disamakan seperti seorang bapa yang tersenyum apabila melihat anak-anaknya bertelagah sehingga terputus persaudaraan. Tetapi pada masa yang sama bapa tersebut bimbangkan jirannya yang tidak bertegur sapa. Ternyata kebimbangan beliau tidak bertempat.

MOHD ZAIRUDDIN

Bandar Baru Bangi

Pembangkang

Gerai Melayu diroboh

KERAJAAN DAP Pulau Pinang sejak mula dipilih telah merobohkan kebanyakan gerai Melayu di persekitaran Batu Ferringhi. Orang Melayu tidak lagi boleh berniaga di kawasan tersebut tetapi peniaga kaum Cina terus bebas berniaga di tempat sama.

Terkini pengusaha sukan air dan pantai seperti jet ski, payung terjun air dan motosikal pantai daripada orang Melayu dan kaum India pula menerima nasib sama.

Di sebelah Sekolah Cina Weng Khai, Batu Maung, ADUN PKR, Malek Kasim dengan bangganya menggantikan hampir 30 gerai lama milik kaum Cina dengan bangunan baru sedang dalam pembinaan. Mengapakah Kerajaan DAP/PKR/PAS sangat pilih kaum? Sepatutnya semua rakyat tidak kira kaum perlu dijaga. Inilah ciri-ciri pecah dan perintah.

HJ.RAHMAN

Teluk Kumbar, P. Pinang

Thursday, November 25, 2010

Pendatang Buli Orang Tempatan

Pendatang perlekeh penduduk setempat


PUCHONG: Bukan hanya bersikap besar kepala, tetapi kumpulan pendatang asing yang dipercayai menetap di rumah kongsi dan rumah terbengkalai di La Cottage dan Nusa Putra, dekat Taman Putra Perdana, juga berani memperlekehkan penduduk setempat yang menegur tindakan kurang ajar mereka.

Lebih menimbulkan perasaan tidak selesa di kalangan penduduk apabila golongan itu menjadikan kawasan rumah kongsi dalam kawasan semak itu sebagai tempat berjudi terutama pada malam minggu apabila kawasan rumah kongsi dikunjungi orang luar seolah-olah satu temasya.


Tinjauan Harian Metro mendapati terdapat beberapa penempatan rumah kongsi di kawasan perumahan itu. Malah, kedudukan taman perumahan yang agak terpencil turut menjadi antara punca golongan terbabit berani melakukan kegiatan tidak berfaedah dan berkelakuan tidak senonoh.

Malah, penduduk setempat mendakwa golongan itu tanpa segan silu mengakui mereka dilindungi pihak tertentu menyebabkan mereka berani bermaharajalela.


Dianggarkan, terdapat hampir 60 pendatang asing di rumah kongsi sekitar La Cottage dan 30 orang lagi di Nusa Putra.


Peniaga yang dikenali sebagai Amin, 30, mendakwa kehadiran golongan itu di kawasan berkenaan menimbulkan perasaan takut di kalangan penduduk setempat, apatah lagi rumah mereka itu agak terpencil.


Menurutnya, sebelum ini sebahagian daripada pendatang asing itu bekerja di tapak pembinaan rumah berhampiran. Bagaimanapun, projek berkenaan dihentikan pada 2005 sebelum kerja pembinaan dimulakan beberapa bulan lalu.


“Ada antara pendatang asing wanita hanya berkemban ketika mandi di lombong berhampiran menyebabkan kami malu apabila melihat gelagat itu, selain mengancam keselamatan berikutan pernah berlaku beberapa kes pecah rumah termasuk pernah mengacukan parang ke arah seorang kanak-kanak dalam satu kes tahun lalu,” katanya yang menetap hampir tujuh tahun di kawasan berkenaan.

SMT

Perlukah tutup sekolah teknik?

BARU-BARU ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan satu perubahan besar terhadap dasar pelajaran teknik dan vokasional yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bertujuan memperkasakan lagi pendidikan teknik dan vokasional.

Pengeluaran pelajar yang mempunyai kemahiran dalam bidang vokasional akan ditingkatkan lagi daripada 10 peratus kepada 20 peratus pada masa akan datang. Ini merupakan satu perkembangan yang baik, dan saya selaku rakyat Malaysia menyokong penuh dasar ini, terutamanya dalam usaha negara kita mencapai Wawasan 2020.

Selaku bekas seorang penuntut Sekolah Menengah Teknik (SMT), apa yang menjadi kemusykilan saya ialah cara dasar ini dilaksanakan. Ia kelihatan begitu tergesa-gesa tanpa membuat kajian yang lebih mendalam, tanpa mendapat pandangan pelbagai pihak yang lebih arif dalam bidang ini.

Kita telah mempunyai pengalaman dalam dasar Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Kerugian yang besar telah dialami oleh rakyat di atas perlaksanaan satu dasar yang tergesa-gesa tanpa kajian yang menyeluruh dan mengambil kira pendapat pelbagai pihak.

Mengikut perancangan yang akan dilaksanakan, semua sekolah vokasional akan dinaik taraf, manakala semua sekolah teknik, termasuk sembilan buah sekolah teknik yang asal, akan ditukar menjadi kolej teknikal. Pelajar akan diambil daripada lepasan tingkatan tiga dan mengikuti pengajian selama tiga tahun dalam sesuatu bidang kemahiran. Pelajar yang dipilih pula terdiri daripada mereka yang tidak berkemampuan dalam bidang akademik, jadi mereka lebih banyak didedahkan dalam bidang kemahiran tertentu.

Saya merasa amat terkilan sekiranya perancangan ini menjadi satu kenyataan. Penutupan SMT yang telah begitu banyak melahirkan jurutera, arkitek, akauntan, doktor sejak tahun 70-an hingga sekarang adalah sesuatu yang merugikan negara.

Kalau dahulu ibu bapa amat berbangga sekiranya anak mereka terpilih untuk memasuki SMT kerana prestasinya yang amat baik selepas sekolah berasrama penuh, kini tidak lagi. Sumbangan yang begitu besar diberikan oleh SMT kepada kemajuan negara telah dilupakan, malah penutupannya merupakan sesuatu yang begitu tragis kepada kami.

Mengapa pihak Kementerian Pelajaran perlu menutup sekolah teknik? Sepatutnya ia perlu dinaik taraf dan ditambah. Apakah pihak kementerian tidak melihat sumbangan yang telah diberikannya kepada kemajuan negara?

SMT telah berjaya melahirkan begitu ramai profesional, terutamanya jurutera, kerana sistem pelajaran yang disediakan di sana adalah amat sesuai untuk mendedahkan pelajar dalam bidang kejuruteraan berbanding sekolah menengah biasa dan sekolah vokasional.

Di SMT, pelajar diajar tentang asas kejuruteraan di mana sukatannya hampir sama dengan apa yang bakal dipelajari pada peringkat universiti. Ini secara tidak langsung menyediakan minda mereka dan memupuk minat mereka dengan lebih mendalam dalam sesuatu bidang kejuruteraan, pertanian dan perdagangan.

Apa yang mendukacitakan, sejak kebelakangan ini status dan sumbangan SMT telah mula dilupakan bukan sahaja oleh masyarakat malahan pihak Kementerian Pelajaran sendiri. Ini mungkin disebabkan perubahan sistem pelajaran kita di mana selepas pelajar tamat pengajian di peringkat matrikulasi, mereka telah ditawarkan bidang pengajian yang jauh menyimpang daripada apa yang dipelajari semasa di SMT.

Contohnya, pada peringkat sekolah teknik, mereka mengambil jurusan mekanikal, tetapi selepas tamat matrikulasi dan melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mereka ditawarkan bidang perniagaan pula. Bukankah ini merupakan pembaziran yang amat besar dan merugikan pelajar kita? Potensi dan bakat mereka seolah-olah tidak diambil kira oleh pihak IPTA. Apa gunanya mereka membuang masa mempelajari bidang kejuruteraan di peringkat sekolah, sedangkan hak mereka dinafikan selepas memasuki IPTA?

Faktor inilah yang membuatkan ibu bapa semakin kurang berminat memasukkan anak mereka ke SMT kerana untuk menjadi jurutera, pelajar sekolah biasa pun boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan. Tiada apa-apa keistimewaan bagi mereka yang memasuki SMT.

Harapan kami sebagai alumni SMT, Kementerian Pelajaran mengkaji semula kesan perubahan yang akan dilaksanakan. Perkasakanlah semua SMT, jadikanlah ia sebagai sebuah sekolah elit seperti sekolah berasrama penuh supaya kita dapat melatih bakal tenaga kerja profesional pada peringkat sekolah lagi.

Janganlah kita hanya mengejar untuk melahirkan pekerja berkemahiran semata-mata dengan memfokuskan sekolah vokasional, tetapi menutup sekolah teknik. Buatlah kerjasama dengan IPTA di mana pelajar cemerlang dapat meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan tertentu tanpa perlu memasuki kolej matrikulasi seperti yang dilakukan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada suatu masa dulu.

Ini kerana lepasan SMT sememangnya telah didedahkan dengan ilmu kejuruteraan. Mengapa mereka perlu membuang masa untuk ke kolej matrikulasi. Dengan cara ini saya percaya imej SMT akan dapat dikembalikan dan minat ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah ini akan bertambah.

Saya berharap Kementerian Pelajaran mengambil perhatian serius mengenai perkara ini supaya negara kita tidak hanya mempunyai bilangan pekerja mahir yang tinggi, tetapi juga jurutera yang mencukupi menjelang 2020.

ROMLI ABU SEMAN

Alor Setar, Kedah.

Sunday, November 21, 2010

An


Anwar bukan Aung San Suu Kyi


TULISAN Motte mengenai Anwar yang dimuatkan dalam blog The New Ledger. Gambar kecil Suu Kyi.

LAGAK pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti akan menarik perhatian setiap kali beliau membuat lawatan ke luar negara.

Baru-baru ini beliau membuat kunjungan ke Australia dan sekali lagi Anwar menunjukkan beliau semakin terdesak untuk mencari sokongan dari negara luar.

Menurut sebuah rencana yang ditulis oleh Rachel Motte dalam sebuah blog yang dikenali sebagai The New Ledger, Anwar berada di Australia minggu ini dan berucap mengenai keadilan sosial, demokrasi dan masalah perundangan yang dihadapinya.

Menurut Motte, Anwar turut menyatakan pandangan tentang pembebasan pemimpin pembangkang di Myanmar Aung San Suu Kyi, dimana pembebasan itu tidak memberi apa-apa makna sehinggalah Suu Kyi dibenarkan kembali memimpin negara itu.

"Anwar nampaknya telah menggunakan isu pembebasan Suu Kyi untuk mengaitkan dengan masalah politiknya dengan mendakwa Asutralia sepatutnya lebih lantang bersuara dalam kekejaman yang berlaku di Myanmar dan Malaysia," tulis Motte.

"Menurut beliau dalam satu kenyataan Anwar telah menyatakan, "Saya merasakan kerajaan Australia telah mendapat pandangan yang silap jika terus bersikap seperti ini... Saya tidak mencadang anda (kerajaan Australia) perlu campur tangan, tapi anda perlu melahirkan pandangan, anda perlu mempromosikan masyarakat sivil, sebagai asas demokrasi yang penting, anda mempunyai tugas yang perlu dilakukan...

"Saya berpandangan isu seperti demokrasi, hak asasi manusia, pelaksanaan undang-undang, ia bukanlah perkara yang anda boleh ketepikan, kata Anwar.

Ujar Anwar lagi, "Saya pasti sangat berterima kasih kepada Menteri Luar Kevin Rudd, yang sudi meluangkan masa dan kami telah berbincang tentang perkara bermanfaat dalam isu berkait dengan kedua-dua negara dan sudah tentu termasuk kesusahan dan masalah yang berlaku kepada saya.

Perhatian

"Saya akan terus memberi keutamaan bahawa anda perlu terus memberi perhatian tentang isu seperti kebebasan dan hak asasi manusia. Ia adalah menjangkaui kes peribadi Anwar," katanya.

Berdasarkan penilaian Motte, masalahnya di sini adalah ia merupakan kes peribadi Anwar dan adalah sangat berbeza apa yang berlaku terhadap Suu Ky,i malah lanskap politik Malaysia dan Myanmar tidak langsung mempunyai persamaan.

Ujar Motte, Suu Kyi pernah dinobatkan dengan Anugerah Nobel pada 1991 atas usaha perjuangan tanpa keganasan untuk demokrasi dan hak asasi manusia di Myanmar. Ayah beliau, Aung San yang terlibat dalam proses perundingan kemerdekaan Burma dari jajahan British pada 1947, telah dibunuh oleh musuh politiknya ketika Suu Kyi berumur dua tahun.

"Apabila ibunya yang berkhidmat sebagai duta meninggal dunia pada 1989, Suu Kyi telah menghambakan diri dalam memperjuangkan demokrasi seperti mana keluarganya. Beliau aktif dalam pergerakan pro-demokrasi di Myanmar yang kemudian mengakibatkan Suu Kyi dikenakan tahanan rumah pada 1989 tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan dilakukan.

"Bagaimanapun di sebalik kesukaran yang dihadapi, partinya telah memperoleh majoriti yang besar dalam pilihan raya 1990 malah berpeluang menjadi Perdana Menteri jika pihak tentera tidak campur tangan,: kata Motte.

Katanya lagi, Suu Kyi yang dibebaskan dari tahanan rumah pada 13 November lepas telah menderita akibat dikenakan tahanan rumah dalam tempoh 15 tahun dari 21 tahun lepas selain terpaksa berpisah dari keluarga. Beliau hanya berpeluang menemui suaminya Michael Aris sebanyak lima kali dalam 10 tahun terakhir sebelum kematiannya.

"Walaupun terdapat campur tangan dari tokoh seperti bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan dan Pope John Paul II, ia tidak mampu mengubah pendirian pihak junta supaya Aris diketemukan dengan Suu Kyi.

"Beliau juga telah terpisah sejak sekian lama dari dua orang anaknya selain terpaksa hidup dalam keadaan kesempitan dan kesusahan dan adakalanya tanpa bekalan elektrik," tulis Motte..

Menggadai

Menurut Motte yang juga seorang blogger dan pernah menulis di CNN.com, Suu Kyi tetap memilih untuk hidup dalam keadaan sukar daripada menggadaikan usaha memimpin demokrasi di Mynmar malah pernah ditawarkan pembebasan sebagai pertukaran beliau ke luar negara. Namun semua usaha kotor ini ditolak.

"Jika ada sesiapa yang tersiksa dalam usaha menegakkan demokrasi, orang itu adalah Suu Kyi tetapi bukan Anwar. Beliau telah menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan untuknya seperti faedah perbicaraan, sepasukan peguam, kemudahan kepada perhubungan media sama ada tempatan dan luar negara, memiliki parti politiknya sendiri malah berpeluang mengembara ke seluruh dunia tetapi tiba-tiba memberitahu rakyat Australia minggu ini bahawa peranannya perlu menjadi lebih jelas dalam memperjuangkan demokrasi..

"Jika tidak anda mempunyai kedudukan yang kukuh di Myanmar tetapi tidak dalam hal kekejaman di Malaysia," katanya yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR)..

Ujar Motte lagi, Anwar tidak sama dengan Suu Kyi. Malah tindakan nya sebagai antara pengasas sebuah pertubuhan Global Muslim Brotherhood menunjukkan beliau sebenarnya menolak idea mengenai demokrasi tidak seperti Suu Kyi yang telah banyak berkorban untuk demokrasi.

Tulisnya, pada tahun 70-an dan 80-an ketika Suu Kyi sibuk dengan kerja-kerja yang mengakibatkan beliau dihumban ke penjara, Anwar pula berkhidmat pemegang amanah World Assembly of Asian Youth. The Pew Forum pula menggambarkan perhimpunan tersebut sebagai mempunyai hubungan dengan Muslim Brotherhood.

"Pada 2002, Suu Kyi telah mengambil peluang dari pembebasan sementara untuk menyambung kerja-kerja berkaitan pembebasan Myanmar.

"Manakala Anwar pula melalui International Institute of Islamic Thought (IIIT) telah dikenakan saman bagi pihak mangsa dan keluarga yang terkorban dalam peristiwa 9 September 2001, yang dilancar terhadap pertubuhan yang didakwa membantu dana kumpulan radikal Islam," tulis Motte yang juga graduan dari Biola University dan Torrey Honors Institute dalam pengajian Sejarah.

Menurut Motte, pada 2007, apabila Suu Kyi membuat kenyataan nasional media, yang pertama dalam tempoh empat tahun dari tahanan rumah, Muslim Brotherhood pula menamakan IIIT yang dikaitkan dengan Anwar dalam senarai ke 29, "pertubuhan kami dan pertubuhan untuk rakan kami" (our organizations and the organizations of our friends).

" Walaupun secara terang-terangan Anwar cuba menyamakan masalah politik dan perundangan yang dihadapinya di Malaysia dengan penyalahgunaan hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh Suu Kyi di Myanmar, namun tiada siapa pun boleh menyamakan mereka.

"Anwar dan Suu Kyi mungkin menjadi pemimpin pembangkang di negara masing-masing tetapi persamaan antara mereka hanya setakat itu saja," akhiri Motte.

- Susunan oleh Hafizahril Hamid.

Berkorban

Berkorbanlah untuk bersatu

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
AJAKAN Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO agar Pas menyertai Barisan Nasional ditolak mentah-mentah oleh Idris Ahmad, Ketua Penerangan Pas.

Menurut Idris, Pas tidak memerlukan UMNO, kerana Pas akan berusaha untuk memikat ahli-ahli UMNO khususnya dan orang Melayu Islam untuk menyertai parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu. Setiausaha Agung PKR menyifatkan ajakan UMNO itu sebagai hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Sebelum ini pun Presiden Pas pernah mengeluarkan kenyataan meminta UMNO supaya berundur secara terhormat jika kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Pada hemat saya, ini bukan soal hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong atau tidak. Ini berkaitan dengan masa depan umat Islam. Pas dan PKR janganlah terlalu yakin untuk mengambil Putrajaya. Jika ditakdir mereka berjaya, saya tidak fikir mereka mampu mendapat majoriti dua pertiga. Apatah lagi untuk menegakkan negara Islam. Paling hebatnya mereka hanya akan mendapat kelebihan beberapa kerusi. Senarionya mungkin lebih kurang sahaja seperti apa yang berlaku hari ini. Jika UMNO kalah sekalipun, tidaklah sampai kehilangan semua kerusi. Apa pun, kita tunggu dan lihat kekuatan masing-masing nanti.

Cuma, janganlah terlalu sombong dalam menilai kekuatan parti. Setiap parti ada kelebihan dan pengaruh masing-masing. Secara peribadi, saya mengenali kesemua tokoh ini tersebut. Kita bukan bercakap soal siapa menang atau siapa akan kalah dalam pilihan raya. Pilihan raya hanya alat untuk mendapatkan kuasa dan menjadi parti yang memerintah kerajaan. Siapa yang dipilih oleh rakyat, kita perlu menghormati keputusan tersebut. Apa yang lebih penting adalah masa depan agama, bangsa dan negara yang akan diwarisi oleh anak cucu cicit kita. Ke syurgakah mereka atau ke neraka ketika di bawah pemerintahan kita, itu yang lebih penting?

Apa guna menang pilihan raya jika maruah agama dan kampung tergadai. Pilihan raya bukanlah segala-galanya dalam kehidupan umat Islam. Di negara-negara maju, jatuh bangun sesebuah parti dalam pilihan raya adalah perkara biasa. Bezanya kita dengan mereka, kalah atau menang dalam pilihan raya, kedudukan agama dan bangsa mereka tidak terjejas, malah terus gagah dan bermaruah. Tetapi tidak kita pada hari ini, seolah-olah menang mahu jadi arang, kalah jadi abu.

Belum pun apa-apa kita sudah dapat rasakan bagaimana agama dan bangsa kita dipijak-pijak. Apakah ini yang kita mahu? UMNO hanya mempelawa, kalau tidak setuju tidak mengapa. Tolaklah dengan cara baik. Tetapi jangan menyakitkan hati orang dengan kenyataan-kenyataan seperti kapal karamlah, hidung tak mancunglah dan sebagainya. Hebat sangatkah kita?

Secara peribadi saya amat kecewa dengan umat Islam hari ini. Tidakkah kita ini semuanya bersaudara tanpa mengira bangsa dan ideologi politik? Tidakkah kapal yang bocor dan hendak karam itu perlu diselamatkan demi survival umat Islam secara keseluruhan. Apakah kita tidak belajar daripada kejatuhan empayar-empayar Islam sebelum ini? Akibat dendam kesumat dan perbuatan menyakitkan hati sesama sendiri, kita terus berpecah tiada kesudahan, sehingga ke tahap sanggup menikam sesama sendiri.

Selaku Cina Muslim yang tidak ada apa-apa kepentingan dalam soal bangsa Melayu, melainkan agama Islam, berbincanglah dahulu pelawaan Ahmad Maslan itu. Tidakkah Islam menganjurkan kita bermesyuarah. Sesuatu kejayaan bermula dengan langkah pertama. Mungkin selepas ini pertemuan boleh diaturkan dengan Perdana Menteri. Apakah formula dan konsep yang boleh dipersetujui bersama demi masa depan umat Islam? Apakah jawatan yang mungkin boleh ditawarkan kepada Pas. Jika tidakpun jawatan Perdana Menteri, mungkin jawatan Timbalan Perdana Menteri. Apakah Pas terlalu yakin bahawa mereka akan diberikan jawatan penting apabila Pakatan Rakyat ditakdirkan memerintah nanti?

Jika itulah jawapannya, sudah tentu Pas akan diberikan jawatan penting di bawah kerajaan Pulau Pinang. Tetapi adakah ia berlaku? Di manakah kedudukan Pas setelah PR memerintah Pulau Pinang? Begitu juga kedudukan Pas, apabila PKR memerintah Selangor. Apakah mungkin akan diberikan jawatan menteri besar Selangor selepas PRU 13? Jauh panggang dari api. Dalam PKR hari ini pun masih berantakan untuk merebut jawatan parti. Tujuannya tidak lain, bila menang jawatan dalam parti, peluang untuk memegang jawatan tertinggi peringkat negeri dan negara adalah lebih besar. Sebab itu macam-macam perkara berlaku dalam parti pemilihan parti yang tidak perlu disebut lagi.

Alahai PKR


Siapa yang benar, Anwar atau mereka?



Adakalanya gambar sudah boleh menceritakan segala-galanya. Begitu juga dengan PKR, parti politik yang diasaskan oleh Anwar Ibrahim. Lihatlah wajah-wajah ini. Suatu ketika mereka adalah pemimpin PKR dan sebahagiannya adalah sahabat Anwar tetapi kini tidak lagi. Mereka dan ramai lagi pemimpin peringkat pertengahan dan cabang bertindak keluar kerana sebab yang sama - hilang kepercayaan terhadap ketua pembangkang itu.

Terbaru, tindakan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Zaid Ibrahim meninggalkan PKR kelmarin, mencetuskan tanda tanya besar tentang nasib parti itu. Siapa lagi yang akan keluar dan sampai bila PKR mampu bertahan?

Seperti biasa, Anwar dan orang kepercayaannya, Azmin Ali atau ada yang merujuk mereka sebagai rakan kongsi, sudah punya jawapan. Kedua-duanya akan mencari salah semua mereka yang meninggalkan parti. Malah ada yang dihina dan difitnah. Tetapi siapakah yang benar, sama ada Anwar bersama Azmin atau puluhan pemimpin serta ribuan lagi ahli PKR meliputi semua kaum yang bertindak keluar?

Tidak perlu Awang ulas panjang untuk mencari jawapan. Renungkanlah di mana salahnya. Parti yang masih baru sudah ditinggalkan sebegitu ramai pengikut. Sebenarnya terlalu banyak isu melingkari PKR daripada integriti dan moral Anwar, dasar yang bercelaru sehinggalah kepada kelemahan pengurusan parti sebagaimana kegawatan pemilihan parti itu sekarang. Tetapi yang lebih menarik untuk dikaji mengapa semakin kuat dorongan untuk keluar PKR. Seorang bekas pemimpin PKR memberitahu Awang, Anwar seorang yang hipokrit dan melakukan perkara yang tidak boleh diterima dek akal dan kewarasan. ``Sesiapa sahaja yang mengetahui siapa sebenarnya beliau, pasti terdorong kuat untuk membetulkan keadaan. Ini juga jihad,’’ katanya.

Awang menung panjang apatah lagi mendapat tahu satu demi satu kisah sisi gelapnya yang luar biasa. Keghairahan beliau mendapatkan campur tangan asing bagi menyelamatkan dirinya daripada kes liwat, amat memalukan. Rasanya, Anwar adalah ketua pembangkang di seantero dunia yang paling bermasalah dan mempunyai isu moral yang serius. Awang bersyukur kebenaran makin terserlah. Tahniah kepada semua yang berani menegakkan kebenaran dan meninggalkan Anwar. Semoga Allah menyelamatkan Malaysia. Benar, ini juga jihad kita.

Saturday, November 20, 2010

Bila DAP Berkuasa

UTAMAKAN BAHASA MELAYU

ISU penggunaan bahasa di Malaysia masih lagi diperdebatkan. Terbaru, kerajaan DAP Pulau Pinang diminta mempertimbangkan cadangan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua Pulau Pinang. Isu ini diutarakan oleh Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Saya juga akui bahasa Inggeris itu sangat penting di era hari ini. Persoalannya, kenapa hanya bahasa Inggeris? Sudah fasih benarkah beliau dengan bahasa Melayu yang sering menjadi isu hangat sebelum ini?

Kerajaan Pusat pula dilihat amat lantang mencanangkan kepada rakyat agar menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan harian, tetapi amat lemah untuk melaksanakannya dalam polisi kerajaan sendiri. Buktinya, lihat sahaja bahasa rojak dalam drama atau filem Melayu; penggunaan istilah dalam agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan contohnya FAMA, MAS, KLIA, LCCT, KLCC dan pelbagai lagi; jenama kereta keluaran negara baik Perodua atau Proton antaranya Myvi dan Savvy.

Malah, laman-laman web agensi kerajaan juga terlalu ghairah dengan penggunaan bahasa Inggeris.

Jika kerajaan benar-benar mahu memperkasakan bahasa Melayu, mengapa tidak digunakan segala kuasa yang ada untuk melaksanakannya?

MOHD. ZAIRUDDIN

Bandar Baru Bangi

Friday, November 19, 2010

Tak Tahu

Anwar selamatkan 'tengkuk'

M. HANAFIAH A. SAMAD
Parit Yusof, Muar, Johor
TIADA siapa yang merasa terhina dengan pengiktirafan Australia bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam moden seperti yang disuarakan oleh Perdana Menterinya, Julia Gillard.

Hanya Anwar dan kawan-kawannya dalam pakatan pembangkang saja yang menganggap pengiktirafan itu sebagai satu penghinaan. Tetapi bagi mereka yang cintakan negara pasti berbangga dengan pengiktirafan itu.

Malah banyak lagi negara yang memuji Malaysia sebagai negara Islam yang moden, progresif dan sederhana. Kalau hendak menunggu Pas menubuh negara Islam tak tahu bila kerana terpaksa menunggu sampai Pas 'langkah mayat' Karpal Singh dulu.

Aneh sekali, ketika rakyat negara ini merayakan Aidiladha, Anwar terpaksa berlari ke sana ke mari hendak berjumpa Ahli Parlimen Australia pula bagi mendapatkan simpati untuk kepentingan peribadi terutama dalam menghadapi kes liwatnya.

Kalau beliau percaya pada kebenaran beliau tak perlu melakukan seperti itu. Tuhan lebih berkuasa. Mintalah pertolongan daripada ulama Pas untuk bermunajat kepada Tuhan agar kes liwatnya digugurkan.

Yang hairannya, semasa menjaja mengenai kezaliman kerajaan Malaysia, beliau hanya merujuk kepada kes Teoh Beng Hock, mengapa tidak merujuk kepada kesnya sahaja.

Kenapa mesti meminta negara luar melakukan tekanan ke atas Malaysia? Tekanan untuk apa? Sedangkan yang tertekan dan terdesak adalah Anwar.

Sebenarnya yang beliau bising di dunia ialah untuk menyelamatkan 'tengkuknya' bukan orang lain, hatta negara ini sendiri.

Benarkah Indonesia menjadi rakan sekutu yang menyokong gerakan reformasi menentang kerajaan Malaysia seperti yang didakwa oleh Anwar? Kita harap kerajaan Indonesia patut menjelaskannya.

Kita tidak mahu Anwar menjaja ke seluruh dunia dengan berkata beliau mendapat sokongan Indonesia. Pembohongan seperti itu sangat mengelirukan dan boleh menjejaskan imej Indonesia.

Setahu kita hanya mereka yang memijak dan membakar bendera Malaysia di Indonesia saja menjadi sekutu Anwar. Itu pun hanya beberapa kerat saja dan sengaja digembar-gemburkan oleh media seolah-olah Indonesia memusuhi Malaysia.

Tindak-tanduk Anwar memburukkan negara tidak patut dibiarkan kerana ini satu perbuatan yang keji, hina lagi menjijikkan. Apakah orang seperti ini layak untuk memimpin negara? Rakyat Malaysia patut membuka mata dan bangkit menentangnya.

Wednesday, November 17, 2010

Bila Memerintah

Kontroversi Yayasan Selangor, PKNS

SETIAP hari ada sahaja kejutan yang berlaku mengenai pentadbiran kerajaan Selangor mengenai dua agensinya iaitu Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Sebagai rakyat negeri Selangor, saya hanya mampu mengelengkan kepala dan sedih di atas apa yang berlaku kepada dua agensi yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri. Dalam hati saya berkata, sudah tidak adakah orang yang jujur dan amanah di dunia ini?

Cuba kita lihat perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kedua-dua agensi tersebut.

Pertama, Yayasan Selangor - RM170,000 untuk majlis berbuka puasa; RM320,000 untuk majlis rumah terbuka hari raya; RM340,000 untuk majlis pecah tanah bangunan baru di Petaling Jaya; RM285,000 untuk majlis makan tengah hari menyambut hari ulang tahun Yayasan Selangor yang ke-40 dan RM200,000 untuk pembelian pakaian tradisional yang tidak diberitahu untuk tujuan apa.

Jadi memang patutlah Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah murka dan membatalkan kehadiran tuanku ke majlis tersebut kerana baginda menyifatkan perbelanjaan tersebut sebagai membazir dan melampau.

Dari sumber berita Bernama, Menteri Besar Selangor mengatakan yang Yayasan Selangor telah membayar deposit sebanyak 90 peratus kepada pengurus acara walaupun majlis belum diadakan lagi. Peraturan manakah yang diguna pakai oleh pengurus-pengurus yayasan. Penganjur tidak menanggung apa-apa risiko perniagaan kerana modalnya ditanggung oleh yayasan. Oleh kerana pembatalan majlis dilakukan pada saat-saat akhir, sudah tentu banyak benda telah pun dibelanjakan. Ini semua tentunya ditanggung oleh yayasan.

Kedua, PKNS - RM400,000 untuk membeli dua buah kenderaan bagi kegunaan seorang pegawai atasannya dan RM520,000 bagi menaja majlis makan malam perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.

Saya tidak akan mempersoalkan jika sebuah stesen televisyen menaja RM1 juta atau RM5 juta untuk majlis perkahwinan Angkasawan Negara kerana stesen televisyen akan dapat keuntungan menjual slot iklan dan mengejar rating. Tapi apa alasannya PKNS menaja majlis perkahwinan? Di manakah business sense pengurus-pengurus dan pengarah-pengarah PKNS. Adakah dengan menonton majlis perkahwinan di televisyen akan membuatkan seorang itu teruja membeli rumah PKNS.

Sepatutnya PKNS harus memberi fokus bagaimana dapat menjual rumah kepada rakyat dengan harga yang berpatutan dan berkualiti. Apa yang saya tahu satu masa dahulu rumah-rumah PKNS menghadapi persepsi kualiti yang buruk. Adakah ini sudah diatasi?

Jadi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim harus bertanggungjawab di atas apa yang berlaku kepada kedua-dua agensi yang dipengerusikannya itu. Beliau tidak boleh mengambil sikap 'saya tidak tahu' atau 'saya tidak diberitahu'.

ESA ADAM Bandar Sunway, Selangor

Tuesday, November 16, 2010

Patriotik

Lihat dalam konteks positif kenyataan Zahid Hamidi

MUNGKIN apa yang dikatakan baru-baru ini di Parlimen oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tentang bangsa bukan Melayu yang kurang patriotik kerana tidak ramai menyertai tentera telah menimbulkan kontroversi, sehinggakan ramai yang mempertikaikan kenyataan itu. Kontroversi itu juga menyebabkan Kabinet mendesak Zahid menjelaskan isu ini.

Kalau nak berbahas tentang isu ini, sampai bila pun tidak akan habis. Apa kata kita ambil hikmah daripada kenyataan Zahid ini.

Sama ada apa yang dikatakan oleh Zahid ini sesuatu yang betul ataupun tidak, kita lihat pada fakta di bawah ini.

Fakta: 90 peratus daripada rekrut tentera untuk tahun 2009 ialah bangsa Melayu, manakala 1.1 peratus terdiri daripada kaum Cina dan kaum India. Dan yang selebihnya (lebih kurang 8.8%) terdiri daripada beberapa kaum di Sabah dan Sarawak.

Persepsi: Daripada kenyataan di atas, ternyata persepsi umum ialah kaum lain di Malaysia selain daripada kaum Melayu tidak banyak yang menganggotai tentera.

Sememangnya semangat patriotisme tidak boleh diukur daripada berapa ramai yang menjadi tentera. Penulis pun tidak pernah memohon untuk menjadi tentera, tetapi tidak bermakna penulis seorang yang tidak patriotik.

Sungguhpun begitu, kita masih tidak boleh menyangkal persepsi umum yang kaum lain mungkin 'kurang patriotik' berdasarkan bilangan yang masuk tentera. Saya jelaskan sekali lagi, bahawa ini hanyalah persepsi umum dan bukannya sesuatu yang dipastikan.

Itu sebabnya kenyataan Zahid Hamidi perlu dilihat dalam konteks yang positif yang mana kita semua boleh mengambil iktibar daripadanya. Mungkin kenyataan Zahid telah membuka mata dan minda kita semua yang isu ini perlu dibuat kajian yang terperinci.

Jadi dalam hal ini, saya cadangkan ditubuhkan satu badan neutral yang membuat kajian "Sejauh manakah semangat patriotisme di kalangan remaja Malaysia hari ini?

Kajian yang menyeluruh ini mungkin diterajui oleh sebuah badan khas yang bebas daripada sebarang pengaruh. Badan tersebut perlu diberi tanggungjawab dan telus dalam kajian mereka. Ini disebabkan kajian yang dilakukan mungkin boleh dianggap sebagai sesuatu yang sensitif.

Badan ini mesti bertanyakan kepada golongan remaja hari ini, tidak kira kaum, "mengapa anda ingin masuk tentera?". Adakah kerana tidak ada pilihan lain atau sememangnya anda seorang yang patriotik?

Dan kepada yang tidak ingin masuk tentera pula, adakah disebabkan 'tidak ada daya penarik yang menyebabkan anda ingin masuk tentera", atau mungkin anda boleh memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dalam pekerjaan lain. Ataupun mungkin anda memang tidak mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

Badan ini juga perlu menjelaskan keputusan dan hasil kajian secara terperinci tanpa disekat. Bayangkanlah jika kajian mendapati yang sememangnya generasi kita kurang semangat patriotik? Tidakkah itu amat menyedihkan.

SHAHBUDIN HAJI EMBUN

Kuala Lumpur

13 Mei

13 Mei Hari Muafakat

KEPADA masyarakat Malaysia yang lahir sebelum tahun 60-an, peristiwa berdarah di tanah air pada tarikh 13 Mei 1969 barangkali amat menggerunkan mereka.

Tetapi kepada generasi yang lahir selepas tarikh tersebut, mereka tidak sepatutnya dihukum secara sinis oleh politikus yang ketandusan idea dengan menjadikan tarikh tersebut sebagai tarikh malang.

Bagi generasi yang tidak melalui peristiwa itu, tarikh tersebut barangkali adalah tarikh kesyukuran bagi meraikan hari kelahiran, pertunangan, perkahwinan, graduasi dan peristiwa yang manis untuk dibuat kenangan semasa hayat mereka. Di mana tarikh tersebut akan dilalui dengan cara hormat dan ceria sepanjang hayat.

Oleh itu, tokoh-tokoh politik yang ketandusan modal perlulah berlaku adil kerana sudah tentu ada di antara mereka mempunyai anak, cucu atau saudara mara yang meraikan tarikh keramat itu sepanjang tahun.

Sebagai generasi yang sudah matang, angkatlah martabat tarikh tersebut sebagai tarikh bermulanya semangat permuafakatan.

Saya cadangkan tarikh 13 Mei dinamakan Hari Permuafakatan atau Hari Muafakat untuk seluruh rakyat Malaysia.

TENGKU MAN

Pandan Indah

Kroni Juga

Alahai Yayasan Selangor

TERTARIK membaca ruangan Forum di Utusan Malaysia keluaran 12 November 2010 tentang kurang cerdiknya MB Selangor mempertahankan pelantikan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Haji Ilham Marzuki dan timbalannya, Mohd. Saifulruddin Sulaiman Daud.

MB menyatakan pelantikan Ilham dibuat atas pengalaman dalam selok-belok perniagaan. Cuba semak dan beritahu kami, perniagaan mana yang berjaya dibawa oleh Ilham dan timbalannya itu?

Saya ingin bertanyakan MB Selangor, dia faham ke tidak tujuan penubuhan Yayasan Selangor? Apa misi dan visi Yayasan Selangor? Kalau mahu cari untung semata-mata dan diabaikan amanah sebenar ia ditubuhkan, tutup sahaja Yayasan Selangor. Nampak sungguh kedangkalan MB Selangor ini.

Kita memang hendak Yayasan Selangor melahirkan ramai pelajar cemerlang. Itulah perniagaan pokok Yayasan Selangor!

MB tahu atau tidak bahawa 70 peratus aktiviti Yayasan Selangor adalah pendidikan dan hanya 30 peratus sahaja adalah pembangunan. MB tahu atau tidak dengan tempoh hanya lapan bulan Ilham dan Saifulruddin menerajui Yayasan Selangor, berapa perbelanjaan yang telah mereka buat?

Belanja jamuan berbuka puasa dengan mengalu-alukan kedatangan 1,500 orang saja adalah RM167,400 (termasuk bayaran tambahan untuk bekalan makanan yang tidak cukup). Ini patut SPRM siasat.

Belanja jamuan rumah terbuka Yayasan Selangor RM281,000. Cuba nyatakan berapa kos kerja-kerja menaik taraf Kem Bina Semangat Ampang Pecah yang kononnya mencecah jutaan ringgit!

Belanja sambutan 40 tahun Yayasan Selangor bukan RM300,000 tetapi lebih, benarkah?

Benarkah kerja-kerja tender yang dinaikkan anggarannya berkali-kali ganda?

MB pula percaya bulat-bulat kepada laporan yang dihantar kepadanya. Cuba semak dan minta mereka keluarkan laporan untung-rugi. Belanja keluar berjuta-juta tapi wang masuk berapa banyak? Inikah yang dikatakan berpengalaman dalam perniagaan?

MB cubalah hantar pengintip dan tengok kakitangan Yayasan Selangor buat kerja macam mana?

Atas kemurkaan DYMM Sultan Selangor, saya amat setuju, mereka ingat Yayasan Selangor adalah Yayasan Ilham dan Saifulruddin. Mana ada pelantikan jawatan kanan baik dari peringkat kerani, eksekutif dan pengurus dibuat dengan cara tunjuk dan undi?

Tapi inilah yang berlaku bawah rejim baru itu. Tidak perlu ada penilaian prestasi, ujian bertulis dan juga temu duga.

Tolonglah jaga baik-baik amanah Yayasan Selangor ini. Kita tidak mahu ada orang yang datang itu hanya bertugas untuk dua tahun ini sahaja kerana menjangka pakatan pembangkang akan kalah dalam PRU-13 akan datang.

Janganlah punahkan amanah yang sudah terbina itu. Dulu perkara-perkara sebegini tidak pernah berlaku.

BUJANG SENANG

Petaling Jaya

Cara PAS

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

ALANGKAH baiknya jika kerajaan negeri Kedah menyerahkan kepada masyarakat membuat hukuman terhadap organisasi media, jika mempercayai sesuatu media berlaku tidak adil dalam membuat laporan melibatkannya.

Langkah melarang akhbar dan stesen televisyen tertentu membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri sebenarnya hanya mendedahkan betapa kerajaan negeri pimpinan Pas tidak yakin pada dasar keterbukaan dan kebebasan bersuara.

Mereka perlulah menelan kritikan oleh media. Laporan atau liputan media tidak semestinya memihak atau selari dengan pendirian mana-mana pihak. Dalam isu ini kerajaan negeri Kedah.

Namun, ia tidak pula bererti media terbabit tidak bebas. Kebebasan media, jika difahami betul-betul, ialah ia bebas menyokong, mengkritik atau menyatakan pendapat yang bertentangan dengan sesuatu idea atau tindakan.

Janganlah kita cuba menyatakan laporan atau liputan sesuatu media itu cukup adil hanya semata-mata kerana kandungannya sealiran atau tidak menyanggahi kita.

Apabila berlaku larangan ke atas media massa tertentu daripada memasuki Wisma Darul Aman, Awang teringat bagaimana pakatan pembangkang mencanang kebebasan bersuara menjelang pilihan raya umum 2008. Kebebasan bersuara apa?

Awang – Sudah lali.

ETP

Perbanyakkan maklumat ETP supaya tidak diputarbelitkan

SEKARANG ada pihak tertentu berusaha mencari apa sahaja jalan untuk memburuk-burukkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan ETP - peranannya yang mirip dengan fungsi Unit Prestasi Pengurusan dan Penyampaian (PEMANDU) bertujuan menyediakan satu jentera penyampaian lebih berkesan antara pihak awam dan swasta dengan rakyat.

Najib sebelum ini dilaporkan berkata, ia juga merupakan komitmen kerajaan untuk merealisasikan program transformasi iaitu sebahagian daripada elemen penting Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Bagi DAP, ETP ini penuh dengan retorik.

Ada pihak pula melihat, usaha menambahkan lagi pusat-pusat hiburan dalam projek ETP tidak dilihat selari dengan amalan dan nilai budaya negara ini.

Maka ada yang berkempen bahawa ETP ini tidak akan mendapat sambutan rakyat. Lebih-lebih lagi apabila Malaysiakini memetik undian mengenai perkara ini dari laman web Utusan Online.

Bagi saya, inilah budaya orang Malaysia apabila menerima sesuatu perkara yang baru. Ada sahaja yang tak kena pada mata dan fikiran mereka.

Susah sangatkah orang Malaysia hendak menerima sesuatu yang baharu? Dahulu semasa Tun Dr. Mahthir Mohamad merancang pembinaan Lebuh Raya Utara Selatan, DAP yang paling lantang menuduh itu projek membazir. Begitu juga dengan Projek Jambatan Pulau Pinang, tetapi sekarang kenapa tidak kata projek itu membazir.

Malah sekarang mereka turut berebut-rebut memasang impian untuk menawan Putrajaya. Kita jangan lupa, orang yang tidak suka rakyat maju dan menyokong kerajaan sahaja yang paling lantang mencipta tohmahan dan fitnah tentang transformasi kerajaan sekarang.

Kita tunggulah apabila ETP telah mula mendapat kesan positif dan menunjukkan pulangan hasil, maka pada masa itu mereka lupa dan membisu seribu kata terhadap tuduhan sebelum ini.

Untuk itu saya menyarankan kerajaan memperluaskan kefahaman mengenai ETP ini kepada rakyat hingga ke peringkat akar umbi.

Apa yang sedang berlaku sekarang adalah berpunca daripada masalah ada individu tidak cukup maklumat dan kurang memahaminya. Mereka inilah akan tertanya-tanya apakah signifikannya ETP.

Percayalah, jangan kita terperanjat apabila masih ramai rakyat yang belum memahami sepenuhnya program transformasi berkenaan. Apatah lagi ia adalah inisiatif yang baru diperkenalkan.

Apa yang saya faham setakat ini ialah ETP akan merungkai perubahan dalam negara yang perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran global untuk bersaing dengan China, India dan terkini Vietnam.

ETP adalah pengwujudan satu paradigma baru dalam bentuk konsep 1Malaysia, yang bertujuan membawa semua rakyat Malaysia bersama tanpa mengira latar belakang etnik dan agama, agar mereka boleh bergerak seiring.

Kerajaan telah melancarkan Model Baru Ekonomi untuk meningkatkan per kapita rakyat Malaysia daripada kini AS$7,000 kepada AS$15,000, dengan mewujudkan kira-kira 3.3 juta pekerjaan, dan mengenal pasti 135 projek utama di negara ini.

Ada baiknya pemikiran lama orang Malaysia diubah, jika kita mahu menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Para pakar dari luar negara menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai Wawasan 2020 sekiranya ETP dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

AMIRUL SYAFIQ

Sungai Buloh, Selangor

Kisah

Keahlian terus Barisan Nasional

BARISAN Nasional (BN) dijangka mengadakan konvensyennya pada 28 November 2010. Antara penjenamaan yang dijangka mewarnai konvensyen ini adalah usaha melobi keahlian terus secara individu untuk menjadi ahli BN tanpa perlu menjadi ahli parti komponennya.

Selepas keputusan pilihan raya tahun 2008, ramai berpandangan BN perlu menukar wajah sebagaimana yang dilakukan pada tahun 1973 ketika ia berubah daripada Parti Perikatan kepada Barisan Nasional. Persekitaran politik semasa menunjukkan bahawa BN perlu memenuhi ekspektasi umum dan pada waktu yang sama mengharungi cabaran politik landskap arus perdana.

Krisis keyakinan dan kepercayaan ketara ketika itu sehingga kehilangan sokongan dua pertiga di Parlimen dan kuasa pentadbiran di beberapa negeri turut jatuh ke tangan pembangkang. Ini termasuk Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan majoritinya di bawah pemimpin pakatan pembangkang.

Keahlian terus BN boleh menjadi salah satu faktor yang mempunyai kecenderungan untuk memulihkan sokongan ke atas parti BN. Pada tahun 1960-an, Alliance Direct Membership Organization (ADMO) ditubuhkan yang terhenti fungsinya apabila Perikatan berubah menjadi BN.

Lambang dacing menggantikan lambang kapal layar parti Perikatan. Manifesto juga berubah dengan penambahan bilangan ahli yang turut melibatkan kesemua parti politik kecuali DAP.

Jika keahlian terus dilancar semula, ia boleh memberi impak besar ke atas struktur parti BN. Secara langsung ia akan melahirkan parti pelbagai etnik di samping parti komponen yang masih berasaskan kepada kumpulan etnik yang berbeza. Kepelbagaian tersebut membolehkan keanggotaan BN membesar tanpa mengganggu struktur asal yang terus membolehkan parti komponen kekal.

BN hari ini merangkumi dari Semenanjung iaitu UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. PBS, LDP, PBRS dan PKMO pula mewakili BN Sabah dan PBB, SUPP, dan PRS menjadi wakil BN Sarawak.

D isamping parti-parti Semenanjung, Sabah dan Sarawak ini, terdapat beberapa parti dan badan bukan kerajaan (NGO) yang melabel diri mereka sebagai mesra-BN atau 'proksi BN'. Ini termasuklah Indian Progressive Party (IPF), Malaysian Makkal Sakthi Party (MMSP), Pertubuhan Masyarakat India-Muslim (KIMMA), Malaysian Indian United Party (MIUP) dan beberapa pertubuhan lain.

Perdana Menteri selaku Pengerusi BN berhadapan dengan dilema yang dihadapi oleh bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak selepas Perikatan mengalami kemerosotan sokongan dalam pilihan raya 1969. Situasinya berbeza dan masa tidak bersama Najib.

Walaupun Perdana Menteri memperkenalkan gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (PTK), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Model Baru Ekonomi (NEM), Rancangan Malaysia Ke-10 dan Belanjawan 2011 untuk mengukuhkan kedudukan Kerajaan Pusat; segalanya tidak akan bermakna melainkan beliau mempunyai tulang belakang parti yang ampuh untuk mengembangkan aspirasi ini. Barulah keyakinan dan kepercayaan dapat dibina semula.

Hakikatnya, populariti Najib berada pada tahap yang amat baik tetapi itu tidak bermakna pengundi akan mengundi BN semata-mata kerana setuju dengan pendekatan Najib. Ini kerana parti komponen masih belum menjadikan agenda Najib sebagai agenda mereka.

Dalam kedudukan ini, populariti Najib meningkat kerana komunikasi beliau secara langsung dengan pelbagai masyarakat termasuk dengan kaedah walkabout yang menarik ramai. Tetapi bolehkah ini diterjemah dalam bentuk sokongan ke atas mana-mana calon yang bertanding dalam pilihan raya terutama pilihan raya kecil?

Keahlian terus barang kali boleh meningkatkan penerimaan ke atas kepimpinan dan parti. Kaedah ini juga boleh menarik penyokong yang sukakan BN; pengundi atas pagar serta yang mesra kepada pendekatan BN. Ini sama sekali tidak akan menjejas sokongan yang diterima oleh parti komponen berdasarkan kepada ahli yang mahu mengikat diri mereka dengan ideologi parti komponen yang secara tidak langsung turut akan menjadi ahli BN.

Sudah pasti, apabila keahlian terus menjadi agenda utama konvensyen ini, ia akan membabitkan beberapa pindaan termasuk ke atas status keahlian dan persetujuan parti komponen terutama yang bersama sejak sejarah ia bermula. Apakah dalam kedudukan kini, parti komponen bersedia berkorban sekali lagi selepas pemimpin terawal dalam tahun 1950-an menunjukkan nilai pengorbanan dan kompromi yang cukup tinggi seolah-olah memahami dan mengiktiraf kedudukan geografi dan populasi negara ini.

Dalam memenuhi ekspektasi umum, adakah parti komponen terutamanya bersedia untuk berkompromi kuasa veto yang dinikmati selama ini? Ia merupakan cabaran hebat kerana membabitkan soal pencalonan, agihan bilangan kerusi dan pengambilan masuk parti-parti lain yang berstatus 'mesra-BN'.

Dengan keahlian langsung, maka ahli-ahli ini juga mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk dipilih sebagai calon bersama dengan calon di bawah banner parti komponen kerana masing-masing akan menggunakan simbol yang sama.

Jawatankuasa pemilihan calon akan meneliti senarai nama calon dengan sebaik mungkin dalam menghalusi keupayaan menang kerana suasana pilihan raya yang ke-13 turut bergantung kepada kualiti calon dan zaman ungkapan bahawa meletakkan 'sepatu sekalipun pada lambang dacing akan menang' sudah berakhir.

Jika calon bebas boleh menang dalam pilihan raya lalu, ia boleh berlaku lagi. Pengundi tidak akan mengundi berdasarkan kepada faktor kecewa dan marah dan pakatan pembangkang juga tidak boleh mengharapkan tsunami akan berlaku lagi. Pengundi akan mengundi dengan rasional dan praktikal.

Banyak faktor akan diambil kira berbanding dengan kedudukan Mac 2008 termasuk soal perubahan sejak 2008 dan penilaian ke atas kedua-duanya akan dibuat baik BN mahupun PR.

Yang penting, sejauh manakah kesemua parti komponen komited ke atas perubahan? Adakah keahlian terus ini hanya melibatkan individu ataupun organisasi, pertubuhan dan kelab boleh diterima begitu sahaja?

Bagaimana pula reaksi parti komponen yang ada, adakah masing-masing bersedia untuk menghapuskan amalan konsensus yang memberi kelebihan kepada UMNO, MCA dan MIC kepada keputusan majoriti? Jika sebelum ini MIC boleh menolak kemasukan IPF misalnya, kini dengan lobi oleh parti komponen yang lain, IPF mempunyai kecenderungan untuk menjadi ahli dengan mudah.

Tetapi, apakah kesannya ke atas perhubungan sesama parti komponen jika ia melahirkan kekecewaan ke atas sesuatu parti komponen? Adakah kematangan berpolitik akan terserlah jika bersedia berkorban untuk kepentingan masa depan BN?

Sudah pasti sebarang keputusan yang dibuat tidak boleh mengganggu hubungan yang terjalin selama ini seolah-olah seperti peribahasa 'menarik rambut dari tepung, pastikan rambut tidak putus, tepung tidak berselerak'.

Sudah pasti akan timbul soal kesaksamaan, keadilan dan bagaimanakah agihan tanggungjawab dan kedudukan dalam parti jika ia dilaksanakan. Adakah pengerusi BN akan menjadi pengarah keahlian terus, siapakah akan menjadi timbalan dan sebagainya. Begitu juga dalam memastikan perjalanan parti berjalan lancar, perlu memastikan program yang tidak bertindih untuk mengelakkan sabotaj sesama mereka dan fungsi Kelab Penyokong BN?

Dalam parti yang sama sekalipun ada program yang bertindih dari puak-puak yang berbeza pemimpin dan penyokongnya semata-mata untuk mencuri tumpuan dan sokongan; bagaimana masalah ini boleh diatasi nanti?

Pada waktu yang sama, program pelbagai kumpulan sasar terutama belia perlu diperhebatkan walaupun zaman teknologi seolah-olah menjadi penghalang kepada interaksi bersemuka.

Program yang membolehkan sesiapa sahaja terlibat tanpa mengira agama, etnik, keturunan, gender dan ideologi politik akan menunjukkan perubahan. Ia boleh bermula di kampung, daerah, dan negeri dengan menggembleng keseluruhan pusat perkhidmatan parti.

Kembali semula kepada semangat tradisi yang berkonsepkan 'gotong royong' dan program setempat. Ia boleh mencerna kedayaupayaan untuk mengukuhkan kedudukan di kawasan yang menang dan mencari ruang untuk membolosi kawasan yang kalah.

Yang menentukan jatuh-bangun parti adalah pengikutnya kerana matlamat parti mungkin dirasakan terbaik tetapi maklum balas daripada pelbagai kumpulan boleh dijadikan sebagai konsultansi agar yang dirancang untuk membawa kebangkitan baru berjaya sepenuhnya. Ia boleh bermula dengan mengenal pasti punca ditolak dalam pilihan raya lalu.

Usaha BN perlu untuk mengukuhkan kerusi yang ada supaya tidak hilang dan merampas kerusi yang tewas. Sifat inklusif seperti keahlian terus boleh meningkatkan motivasi penyokong dan ahli. Yang penting, BN perlu mengkaji mengapakah pengundi perlu memilih mereka; apakah keunikan yang jelas ketara berbeza dari parti lawan dan apakah kekuatan yang boleh menjadi aset dalam mengakui ada kelemahan. Adakah semangat kebangkitan zaman Tun Razak jawapannya dan siapakah yang boleh melakukannya?

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia