YBK dapat hak tanah, tindakan Selangor tak sah
2 Oktober 2012
Rayuan yang dibuat YBK diterima Hakim Mahkamah Tinggi, Hadhariah Said Ismail selepas meneliti hujahan bertulis dan mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua peguam YBK dan Kerajaan Negeri di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pagi tadi.
Pada satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat YBK di Kelana Jaya, Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, pihaknya bersyukur kerana keputusan itu membuktikan bahawa YBK berada dipihak yang benar.
“Peristiwa ini sebenarnya memberikan tamparan hebat kerana YBK yang tidak memiliki apa-apa harta dan di atas tanah seluas 650 hektar, 87.2 hektar darinya telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan untuk dibina Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan bila pembinaan ini terlaksana, YBK sudah tentu dapat membayar cukai tertunggak dan termasuk bayaran konsultan yang telah berusaha selama 14 tahun bagi mengusahakan pembangunan atas tanah ini,” katanya.
Menurutnya, tanggapan yang mengatakan bahawa YBK tidak membayar premium tanah adalah tidak benar kerana tanah itu bergeran dan yang tertunggak adalah sebahagian daripada cukai tanah.
“Sepatutnya Kerajaan Negeri bantu yayasan menyelesaikan cukai ini dengan memberi kelulusan pembinaan UiTM tetapi perkara itu tidak berlaku menyebabkan kami membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut sama ada UiTM akan dibangunkan di atas tanah tersebut, Zainal berkata, perkara itu hanya akan menjadi kenyataan jika Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Selangor.
“Kita akan buat kertas cadangan baru untuk rancangan pembangunan di atas tanah ini dan saya yakin transformasi YBK yang disempurnakan perasmiannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ini boleh berlaku jika BN kembali menerajui negeri ini,” katanya.
Sebahagian daripada 331.2 hektar baki tanah milik yayasan itu kini di kaveat oleh Kerajaan Negeri menyebabkan YBK tidak boleh melakukan apa-apa pembangunan di atasnya.
Kerajaan Negeri mengambil keputusan merampas 318.8 hektar tanah milik YBK Selangor di Serendah pada 2010 meskipun tunggakan cukai RM5.7 juta semuanya telah dilunaskan yayasan itu dengan bantuan Yayasan Melaka.
Bagaimanapun, Kerajaan Negeri enggan menerima bayaran tunggakan berkenaan dan memulangkan wang itu semula kepada Yayasan Melaka.
No comments:
Post a Comment