Isu Scorpene Jadi Perangkap Makan Tuan, Pembangkang Malu Sendiri
KUALA LUMPUR, 9 Okt. – Keghairahan pakatan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan yang menjadi tunjang Malaysia hari ini iaitu Barisan Nasional (BN) dan kepimpinannya telah memakan diri apabila terserlah apa yang diperkatakan membuka pekung sendiri.Penganalisis politik tempatan, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek melihat pakatan pembangkang yang diketuai oleh Anwar Ibrahim sanggup menjaja integriti kepimpinan BN yang diterajui oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sehinggakan kononnya berlaku penyelewengan dan rasuah dalam pembelian dua kapal selam Scorpene buatan Perancis.
“Pakatan pembangkang semakin terdesak dalam usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan iaitu melemparkan pelbagai fitnah dengan mengheret kerajaan Perancis sedangkan hari ini secara jelas terbukti apabila ia dinafikan,” katanya kepada UMNO-Online.
Dilaporkan, seorang pendakwa kerajaan Perancis yang terkenal, Yves Charpenel menafikan laporan-laporan media yang tersebar di kalangan beberapa portal berita online Malaysia berhubung perbicaraan yang sedang berlangsung di Perancis, mengenai dakwaan rasuah oleh sebuah syarikat Perancis berhubung pembelian kapal selam buatan negara terbabit oleh Malaysia pada tahun 2002.
“Pakatan pembangkang cuba membawa kuasa luar dalam arena politik tempatan dengan melibatkan mereka dalam fitnah yang berlarutan sedangkan politik dalaman ini tidak boleh dikaitkan dengan negara luar.
“Ini bukanlah kali pertama bagi pakatan pembangkang melibatkan kuasa asing dengan memburuk-burukkan Malaysia dan memperkatakan sesuatu yang negatif kerana pemimpin mereka sebagaimana Anwar dan anaknya Nurul Izzah malah Guan Eng sendiri pernah memberi label yang tidak baik kepada negara ini,” katanya.
Jelasnya, tindakan sedemikian adalah sesuatu yang tidak bermaruah kerana secara jelas dan terang memberikan persepsi buruk berkaitan kepimpinan dan negaranya sendiri walhal ia tidak benar.
“Rakyat negara ini membawa nama Malaysia apabila berada dipersada antarabangsa dan apabila mereka membuat tuduhan dan fitnah kepada para pemimpin dan negara ini bermakna mereka bukan saja mengaibkan diri mereka sendiri tetapi menconteng arang pada setiap wajah rakyat Malaysia,” tegasnya.
Ujarnya yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), fitnah yang dibuat berkaitan pembelian kapal selam buatan Perancis ini telah menggambarkan kononnya pemimpin negara ini tidak berintegriti, mengamalkan rasuah dan melakukan penyelewengan bukan saja kepada rakyat tetapi kepada negara amnya.
“Dakwaan sedemikian memberi kesan yang besar bukan saja kepada imej negara tetapi kepada corak dan pentadbiran keseluruhan malah turut memperlihatkan ciri-ciri pengkhianat negara yang wujud dalam kepimpinan pakatan pembangkang.
“Bayangkanlah, jika hari ini individu sedemikian memburukkan nama negaranya maka bagaimana mungkin dia akan dapat menjadi pemimpin dalam negara yang dia sendiri telah anggap negatif. Percaturan politik pakatan pembangkang amat bahaya.”
Jelasnya lagi, sewajarnya pemimpin pakatan pembangkang berasa malu dengan sikap mereka sendiri dan belajar dari kepimpinan negara lain kerana mana-mana individu asing waima pembangkang sendiri tidak akan sanggup memburukkan nama negaranya malah mereka akan menunjukkan sikap patriotisme dan nasionalisme yang tinggi.
“Ini berbeza dengan anggota pembangkang di negara ini yang gemar memburukkan Malaysia tetapi dalam masa yang sama berangan-angan mahu menjadi pemimpin dalam negara yang mereka anggap negatif, bukankah ini memalukan dan ibarat menjilat ludah sendiri.”
Pada 2008, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencanangkan ke seluruh pelusuk dunia bahawa beliau akan membentuk kerajaan pada 16 September tahun tersebut ekoran dikatakan akan ada segerombolan Ahli Parlimen khususnya dari Sabah yang akan melompat parti untuk menyertai Anwar.
“Secara tidak langsung ia ibarat menunjukkan akhlak dan pendirian Ahli Parlimen tempatan yang amat rendah sedangkan sikap hipokrit pemimpin pembangkang ini jelas menunjukkan kredibilitinya bukan saja kepada rakyat tempatan tetapi nilai dirinya sendiri di persada antarabangsa.”
Dalam waktu yang lain, dilaporkan Anwar juga pernah ke Turki dan menafikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi dan tidak ada satu pun media yang ada di negara ini bebas untuk beroperasi selain mendakwa bahawa dia dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dulu adalah kerana mengkritik kepimpinan Perdana Menteri ketika itu.
Selain itu, Anwar juga pernah mengatakan sebarang bentuk peraturan yang menyekat kebebasan adalah undang-undang lapuk sebagaimana yang dilaporkan dalam wawancara dengan BBC News yang merujuk kepada perundangan di Malaysia.
Sebelumnya, ketua pembangkang ini pernah mempropagandakan Malaysia sebagai sebuah negara yang negatif dan tidak selamat selain mengeji pakaian batik Malaysia sedangkan ia adalah produk tempatan yang tidak sewajarnya dipolitikkan.
Dalam masa yang sama, anaknya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai pernah mengeluarkan kenyataan palsu mengenai aset pertahanan Malaysia di luar negara membabitkan temubualnya bersama akhbar Kompas di Indonesia dengan dakwaan kapal selam negara, KD Tunku Abdul Rahman, masih tidak boleh menyelam selain menyatakan aset canggih Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu sebagai usang dan terpakai.
Setiausaha Agung DAP, Guan Eng juga dalam satu temuramah oleh salah sebuah media asing telah menyatakan bahawa Johor bukanlah negeri yang selamat kerana penuh dengan jenayah dan peluang untuk diculik sangat mudah berbanding dengan Pulau Pinang yang secara tidak langsung memberi gambaran negatif tentang Malaysia. - MediaUMNO
No comments:
Post a Comment