Thursday, October 4, 2012

peniaga melayu lurus tewas

ARKIB : 03/10/2012

Peniaga 'lurus' sering tewas

DILAPORKAN RM6 bilion wang mengalir ke luar negara akibat pengiagaan kecil-kecilan warga asing. Apakah baru kita sedar akan pengaliran keluar wang tersebut?
Sebenarnya semua orang tahu akan kuasa kecil-kecilan warga asing ini. Pergilah ke setiap ceruk di merata bandar di negara ini. Kita akan dapati bilangan warga asing yang berniaga di pasar basah, di pasar malam, di pasar borong, malah sebut saja tempatnya, warga asing tetap ada. Jumlahnya pula mengatasi warga tempatan. Semua orang nampak kecuali pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sama ada pihak PBT ini bersubahat sengaja buat tidak kisah, ia sesuatu yang perlu dibongkar. Pihak PBT ini hanya akan bertindak (separuh jalan) jika isu tersebut dikeluar dan dibincang di dada-dada akhbar.
Selain pihak PBT, yang memainkan peranan besar adalah peniaga tempatan itu sendiri. Mereka ini akan memohon untuk mendapatkan tapak perniagaan (kalau tak dapat mereka akan menuduh pihak berkuasa memilih kroni mereka sahaja).
Tetapi apabila mereka berjaya mendapat tapak tersebut, mereka pula yang menjual tapat-tapak ini kepada warga asing yang sanggup membayar dengan harga berlipat kali ganda. Mereka bukan mengAliBabakan perniagaan mereka, tetapi mereka terus menjual tapak tersebut untuk mendapat untung atas angin.
Masalahnya pihak PBT dan pihak berkuasa yang berkenaan tidak pernah mahu memulakan inisiatif untuk memintas dan menghalang perkara ini daripada terjadi. Sebut saja lokasi perniagaan yang akan dibuka, pasti warga asing akan memonopoli lokasi tersebut. Lihat saja di pasar-pasar Ramadan setiap tahun. Warga asing pasti memiliki tapak-tapak perniagaan ini.
Akan datang ialah tapak perniagaan di PWTC apabila berlangsungnya perhimpunan agung UMNO nanti. Pemohon tapak adalah warga tempatan. Tetapi tapak-tapak yang telah diperolehi ada yang dijual dengan harga RM5,000 kepada warga asing (terutama warga Indonesia) untuk mendapat keuntungan sebanyak RM2,000 (harga tapak asal adalah RM3,000). Menjelang hari perhimpunan nanti, harga ini akan melonjak sehingga mencecah RM10,000.
Inilah yang berlaku setiap hari sepanjang tahun. Peniaga-peniaga kecil yang ikhlas selalunya sentiasa gagal untuk mendapatkan tapak perniagaan kerana mereka melalui proses permohonan secara lurus. Mereka tidak agresif dan sentiasa mengharapkan sesuatu itu dilakukan secara telus dan betul. Namun mereka tewas kepada peniaga yang lebih aggresif dan sanggup 'membayar lebih' kepada yang mengurus tapak-tapak perniagaan ini.
Peniaga-peniaga kecil warga Melayu tempatan bukan sahaja bersaing dengan warga asing di lokasi-lokasi besar di bandar-bandar. Bagi yang berniaga secara promosi di kilang-kilang, pejabat-pejabat dan sebagainya juga bersaing dengan warga asing. Sewa tapak berukuran 6 x 6 kaki antara RM30 hingga RM80 sehari. Warga asing dan peniaga bukan Melayu akan sentiasa berjaya memperolehi tapak-tapak perniagaan ini kerana mereka memberi 'habuan atau hadiah' kepada kerani yang dipertanggungjawabkan menjaga tapak tersebut.
Walaupun sering dibongkar dan didedahkan, apa yang berlaku akan terus berlaku. Nasib peniaga kecil tempatan (Melayu khususnya) akan sentiasa tertindas tanpa pembelaan. Ibarat anjing menyalak bukit, inilah hakikat kerugian negara yang perlu kita hadapi.
Selagi tiada siapa yang berani bertindak, selagi masih ada warga tempatan yang tamak haloba dan mementingkan diri sendiri, selagi itulah negara akan menanggung kerugian.
PENIAGA KECIL MELAYU
Sungai Buloh, Selangor.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20121003/fo_01/Peniaga-lurus-sering-tewas#ixzz28HIVaK3h
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment