Projek Penapis Air 1Malaysia resahkan pembangkang
LANGKAH kerajaan Pusat membantu menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Kelantan melalui projek Penapis Air 1Malaysia, ternyata meresahkan banyak pihak, termasuk pemimpin pembangkang.Bantuan yang diyakini memberi manfaat kepada rakyat itu, menyebabkan pihak berkenaan tidak senang duduk dan tidak tidur lena sehingga di ulit mimpi buruk. Kebimbangan ini dilihat dengan timbulnya pelbagai cemuhan dan tohmahan terutama dalam blog dan portal ke atas projek itu, antaranya tuduhan projek penapis air tersebut sengaja dipasang berhampiran rumah pemimpin UMNO untuk kepentingan politik parti berkenaan.
Tidak cukup dengan dakwaan tersebut, timbul pula dakwaan lebih serius, kononnya air yang disalurkan melalui projek tersebut tidak selamat digunakan kerana didakwa mengandungi bahan tercemar seperti E-Coli.
Tuduhan demi tuduhan yang dibuat jelas menunjukkan betapa bimbang dan resahnya pihak berkenaan terhadap usaha murni kerajaan Pusat itu yang hasilnya telah mula dinikmati oleh penduduk di beberapa daerah terlibat.
Masalah bekalan air bersih di Kelantan bukan perkara baru dan ia masih gagal ditangani oleh kerajaan Pas meskipun telah 22 tahun menerajui pentadbiran negeri dan ratusan juta peruntukan disalurkan oleh Kerajaan Pusat.
Kelemahan itu diakui sendiri oleh seorang exco Pas Kelantan sebelum ini apabila menyatakan bekalan air bersih ke seluruh negeri hanya dapat diselesaikan menjelang tahun 2027.
Kenyataan tersebut menggambarkan betapa masalah bekalan air bersih tidak menjadi keutamaan kepada kerajaan Pas Kelantan. Ia dibuktikan dengan keputusan kerajaan Pas membina lebuh raya berharga kira-kira RM1.8 bilion yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, berbanding menyelesaikan isu air, nadi kepada kehidupan rakyat.
Sikap lepas tangan kerajaan Pas negeri itu memaksa rakyat terutama di kawasan luar bandar membina sendiri telaga, perigi dan pelbagai kaedah lain untuk mendapatkan bekalan air bersih. Bagi yang bernasib baik, dapatlah mereka menikmati bekalan air bersih, sementara yang tidak berkemampuan, terutama mereka yang tinggal di kawasan ceruk kampung, terpaksa meneguk air keruh dan berbau bagi kegunaan seharian.
Maka tidak hairanlah apabila ada laporan penduduk yang mendakwa, baju putih sekolah anak mereka bertukar warna apabila menggunakan sumber air dari telaga yang digunakan.
Mereka tidak ada pilihan kerana kerajaan Pas Kelantan melalui syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) gagal menyalurkan bekalan air bersih dan terawat bagi keperluan seharian mereka.
Mengambil kira penderitaan rakyat Kelantan itulah, maka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menerima permohonan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), bersetuju menyalurkan peruntukan RM2 juta bagi menyediakan penapis air untuk membolehkan orang ramai terutama di kawasan bermasalah, mendapat bekalan air lebih bersih.
Antara kawasan terlibat adalah di Tumpat dan Pasir Mas yang dilaporkan telah memperoleh bantuan tersebut secara berperingkat-peringkat.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meluluskan peruntukan RM2.5 juta bagi membekalkan penapis air kepada kira-kira 500 buah sekolah di Kelantan yang dikatakan turut berdepan masalah air kotor, bagi memastikan kesihatan pelajar di sekolah terbabit tidak terjejas.
Maka itu, tidak sukar untuk membaca motif atau niat di sebalik cemuhan yang dilemparkan ke atas projek berkenaan. Ia tidak lebih daripada bermotifkan politik supaya gelombang sokongan rakyat Kelantan yang kini dilihat semakin bersama Barisan Nasional dan UMNO tidak berterusan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Golongan berkenaan tentunya mahu rakyat Kelantan kekal bersama Pas yang telah diberi mandat 22 tahun, namun masih terkial-kial untuk membawa perubahan hatta memacu pertumbuhan ekonomi negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Masalah bekalan air di Kelantan bukan setakat soal kualiti, tetapi juga tekanan rendah sehingga merimaskan kebanyakan penduduk, terutama suri rumah yang kerap terjejas rutin harian mereka. Ini belum diambil kira gangguan bekalan air yang kebelakangan ini kerap dilaporkan berlaku di banyak daerah di seluruh negeri.
Mungkin ramai tidak tahu atau lupa laporan sebuah portal mengenai nasib yang menimpa jenazah seorang warga emas di Kampung Bendang Pak Yong Tas Kok,Tumpat apabila lewat dikebumikan kira-kira empat jam berikutan krisis bekalan air.
Penegasan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir bahawa air yang disalurkan melalui Projek Penapis Air 1Malaysia adalah bersih dan selamat digunakan, menepis segala tuduhan buruk yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab terhadap projek tersebut.
Menurut Dr. Ahmad Razin, berdasarkan ujian klinikal yang dilakukan oleh pihaknya di semua penapis air itu baru-baru ini mendapati, air yang dibekalkan dengan penapis air berkenaan bersih serta tidak dicemari wabak penyakit Escherichia Coli atau E-Coli.
Malah kata beliau, berdasarkan ujian tersebut mendapati, air terbabit lebih bersih daripada air perigi dan parit yang digunakan oleh penduduk di kawasan terbabit sebelum projek tersebut dilaksanakan.
Sampel yang diambil melibatkan sampel air mentah (air telaga) dan sampel air selepas proses penapisan, hasil analisis yang dijalankan mengesahkan tiada E.Coli dikesan di dalam sampel air selepas proses penapisan.
Kalau ada orang hendak kritik air yang ditapis ini, dia boleh lihat air yang ditapis dan sebelum ditapis, malah sebelum ada sistem penapisan orang kampung terpaksa minum keruh kerana liputan air dari syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) amat rendah, ada ketikanya tidak ada langsung.
Jadi bila air tidak ada langsung orang kampung terpaksa guna air telaga, tali air yang keruh dan kotor. Jadi bila ditapis ia jauh lebih bersih," kata Dr. Ahmad Razin kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sehubungan itu, orang ramai tidak perlu bimbang pelbagai tuduhan mengenai projek Penapis Air 1Malaysia oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana ia dilakukan semata-mata untuk kepentingan politik.
Sebaliknya, sebagaimana dijelaskan oleh Dr. Ahmad Razin, orang ramai termasuk pihak terbabit, sepatutnya bersyukur dan berterima kasih atas inisiatif yang diambil oleh kerajaan itu.
Sewajarnya juga kita menghayati firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat."
No comments:
Post a Comment