Tuesday, June 19, 2012

tidak setuju

ARKIB : 18/06/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 3
Dia tak setuju dia punya fasal - Nik Abdul Aziz

KOTA BHARU 17 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju dengan peringatan beberapa ulama terkenal apabila mempertahankan kenyataan beliau supaya ahli Pas yang terlibat secara langsung sebagai jentera parti dalam pilihan raya umum, menangguhkan ibadah haji.

Ini kerana menurut Nik Abdul Aziz, Rasulullah sendiri pernah menangguhkan ibadah haji selama empat tahun apabila hanya menunaikan ibadah tersebut pada tahun kesepuluh hijrah, sedangkan ayat mewajibkan ibadah haji diturunkan pada tahun keenam hijrah.

"Ya saya mempertahankan, dia tak setuju dia punya fasal, tapi kita ada hujah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan 20 Tahun Ar-Rahn di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas peringatan beberapa ulama pada Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Kuala Lumpur semalam yang menyatakan umat Islam wajib menunaikan ibadah haji tanpa perlu menangguhkannya semata-mata untuk menyertai pilihan raya.

Malah, Ahli Akademik dari Arab Sausi, Ahmad Hamad al-Jilani menyifatkan mana-mana pihak yang menggunakan hukum pelaksanaan hudud sebagai modal politik untuk menang dalam pilihan raya hanya mencari keredaan pengundi bukannya keredaan Allah.

Nik Abdul Aziz sebelum ini bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tun Man Tun Ibrahim supaya ahli Pas yang terlibat secara langsung sebagai jentera parti dalam pilihan raya umum, menangguhkan ibadah haji dan disokong oleh Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Menteri Besar itu berharap, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak diadakan menjelang musim haji ini kerana ia bukan hanya menyusahkan ahli-ahli Pas tetapi juga ahli-ahli UMNO.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz berkata, Pas akan tetap berkempen bahawa pengundi yang mengundi parti Pas itu pada pilihan raya akan memperoleh pahala.

"Ya, orang undi Islam boleh pahala, kalau tak undi Islam ini nak boleh pahala apa? Mana nak (dapat) pahala undi kebangsaan, pahala mari daripada Allah, Allah tidak anjur kebangsaan, Allah anjur Islam, saya ulang sekali lagi orang undi Islam dapat pahala," katanya.

Ditanya kemungkinan berlaku kekeliruan dalam kalangan umat Islam berhubung kenyataannya itu, Nik Abdul Aziz sebaliknya berkata:

"Kekeliruan tak boleh tinggal, zaman Nabi pun keliru, Nabi Muhammad turun dari langit, Israk Mikraj, banyak orang murtad, tu zaman Nabi wajah Nabi orang perhati (lihat), ucapan Nabi orang dengar, tapi murtad juga. Itu zaman Nabi, zaman saya pelik apa kalau orang Melayu tolak Islam."

Mengenai kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa Pas membuat keputusan tanpa pertimbangan teliti dan terlalu emosional apabila kembali membenarkan semula qariah menyertai tilawah al-Quran, Nik Abdul Aziz menegaskan, setiap manusia ada emosi dan ia sepatutnya digunakan untuk Islam, bukan bangsa Melayu atau kebangsaan.

"Mana boleh buang emosi, emosi pemberian daripada Allah dipergunakan untuk kebaikan di dunia akhirat," katanya.

No comments:

Post a Comment