TMJ: 'Kenapa hanya orang Melayu mahu jatuhkan Raja'
16 Jun 2012
Ketika menzahirkan pandangan itu menerusi mesej Twitter hari ini, baginda turut menyuarakan rasa bimbang terhadap nasib masyarakat Melayu sekiranya negara ini menjadi seperti Singapura.
“Saya rasa sedih dan kesal. Kenapa hanya orang Melayu sahaja yang cuba menjatuhkan Raja? Kenapa bangsa lain takda buang masa membuat benda bodoh dan lebih fokus terhadap untuk berjaya dalam hidup.
“Saya nak tengok apa akan jadi kepada Melayu kalau negara yang kita sayang ini jadi macam Singapura. Kalau dah susah, jangan sibuk nak mencari Raja,” tulis baginda lagi menerusi Twitter.
Baginda juga bertitah agar golongan berkenaan sedar dan menerima fakta selain belajar untuk menghargai apa yang dimiliki seterusnya bersyukur.
“Janganlah hidup dalam mimpi. Bangun dan hadapilah kenyataan. Belajar menghargai apa yang anda ada dan bersyukur. Sesungguhnya tidak ada penawar kepada kebodohan,” titah baginda.
Tunku Ismail melahirkan pandangan baginda ini di sebalik isu berkenaan kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkenaan dengan pembidaan plat nombor pendaftaran oleh Sultan Johor, masih hangat diperkatakan.
Awal minggu ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka terhadap Mohammad Nizar berhubung isu itu.
Sehubungan itu, baginda bertitah mengingatkan kepada wakil-wakil rakyat dan pemimpin masyarakat supaya menjaga adab dan tingkah laku serta berhati-hati apabila membuat sesuatu kenyataan bak kata pepatah ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’.
Semalam, Mohamad Nizar menghantar surat permohonan untuk menghadap Sultan Johor.
No comments:
Post a Comment