Tidak mahu peneroka senang
Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) ke Bursa Malaysia pada bulan ini sangat dinantikan oleh masyarakat peneroka Felda dan juga rakyat Malaysia.
Kenyataan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang menyatakan majoriti 112,635 peneroka menerima tawaran saham itu sebanyak 800 unit sesuatu yang sangat positif.
Hanya segelintir sahaja menolak pemberian tersebut atas pelbagai alasan politik dan mendakwa ada unsur bertentangan dengan syariat Islam.
Namun demikian, niat baik kerajaan mengangkat martabat warga Felda dimanipulasi dan dipolitikkan oleh parti pembangkang yang mengamalkan dasar pecah dan perintah.
Pembangkang mengeksploitasikan nilai saham sebanyak 800 unit yang didakwa terlalu kecil berbanding selera besar mereka untuk mendapat jumlah lebih daripada itu.
Kebanyakan warga Felda lupa bahawa nilai saham adalah pemberian kerajaan kepada mereka secara percuma dan boleh menjual semula saham itu jika perlu untuk mendapat keuntungan 'atas angin'.
Memang kerja pembangkang yang tidak senang dengan kejayaan Felda dan menghasut peneroka dengan tujuan mengagalkan usaha penyenaraian itu.
Langkah tersebut bertujuan mengangkat status ekonomi dan sosial masyarakat Felda secara holistik dan tidak ada sebab masyarakat peneroka tidak menyokong usaha baik itu.
Oleh itu, Pegawai Felda perlu membuat penerangan ke 11 wilayah bagi menerangkan faedah yang bakal diperoleh peneroka dan waris mereka pada masa akan datang.
Jangan biarkan Pengerusi Felda itu melakukan kerja sendirian bagi menerangkan kebaikan FGVHB kerana seolah-olah ada pegawai Felda sendiri bertindak 'menikam dari belakang' atas usaha tersebut.
ANAK PENEROKA CELIK
Felda Kasturi Jengka, Kuala Krau
No comments:
Post a Comment