Friday, June 29, 2012

amil sapu duit zakat

Seleweng duit zakat: Lucut tauliah 39 amil
NURUL HUDA HUSAIN
28 Jun 2012

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melucutkan serta-merta pelantikan 39 amil pada tahun lalu setelah didapati terlibat menyeleweng wang kutipan zakat.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Mazlan Hashim berkata, tindakan tegas itu diambil berikutan amil yang terlibat gagal menyerahkan wang kutipan yang diperoleh mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Kita kesal dengan tindakan mereka ini (amil menyeleweng) kerana mereka sepatutnya menjalankan tugas dengan amanah dan jujur selaku orang yang diberi kepercayaan.

“Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya dan tindakan tegas dengan menarik balik serta-merta tauliah pelantikan jawatan itu adalah sebagai pengajaran kepada mereka, kerana ia satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mempunyai bukti kukuh dan menjalankan siasatan menyeluruh sebelum tindakan diambil ke atas amil yang terlibat itu, dan ia merupakan kesalahan yang cukup besar, apatah lagi mereka menjadi orang kepercayaan masyarakat.

“Kita telah bagi mereka (amil yang didapati menyeleweng) tempoh tertentu untuk menyelesaikan masalah berkenaan, tetapi mereka gagal menyerahkan wang hasil kutipan, sedangkan resit pembayaran telah dikeluarkan.

“Justeru, kita berharap tindakan tegas ini menjadi pengajaran berguna kepada amil seluruh negeri yang dilantik secara rasmi untuk sentiasa bersikap jujur dan bertanggungjawab,” katanya.

Mazlan berkata, pada tahun ini juga Maidam menghentikan seketika pengambilan amil baru di seluruh negeri dan permohonan baru akan dibuka dalam tempoh yang akan ditetapkan nanti. Terengganu memiliki lebih 700 amil, di mana surat pelantikan tauliah disampaikan sendiri Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

No comments:

Post a Comment