Sunday, June 10, 2012

bandar jengka akan beralih arah

60 ahli GUMBJ berdemonstrasi

LEBIH 60 ahli Gabungan Usahawan Melayu Bandar Jengka mengadakan demonstasi secara aman membantah pemaju yang membuka pintu kepada bukan Melayu membeli premis perniagaan di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Kuala Krau, kelmarin. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
KUALA KRAU 9 Jun - Lebih 60 ahli Gabungan Usahawan Melayu Bandar Jengka (GUMBJ) mengadakan demonstrasi aman hari ini di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, dekat sini bagi membantah keras cadangan pemaju perumahan untuk menjual premis komersial kepada bukan bumiputera di bandar yang dikuasai peniaga Melayu ini.
Mereka yang ditemui Mingguan Malaysia terkejut kerana projek rumah kedai di tapak Tiga Segi Emas ini bukan satu kebanggaan tetap sebaliknya 'membakar' segala harapan dan gagasan menjadikan Bandar Tun Abdul Razak Jengka sebagai 'bandar Melayu' atau Malay Town tunggal di negara ini.
Pengerusi GUMBJ, Ahmad Sabrey Idris, 56, berkata, pihak GUMBJ yang terdiri daripada lebih 100 ahli terdorong menyuarakan bantahan berikutan pihak pemaju dilaporkan telah menawarkan beberapa lot perniagaan kepada bukan bumiputera.
Tegasnya, langkah pemaju itu telah mengguris perasaan orang Melayu yang sejak dahulu lagi menyokong aspirasi pemimpin UMNO untuk menjadikan Bandar Tun Abdul Razak Jengka sebagai Bandar Melayu pertama di negara ini.
"GUMBJ sebelum ini telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Julai 2011 yang mencadangkan kerajaan mewartakan bandar ini sebagai Bandar Felda atau Bandar Melayu.
"Perdana Menteri telah memberi respons positif dengan meminta Kerajaan Pahang melakukan sesuatu yang dapat meletakkan Bandar Tun Abdul Razak Jengka kekal diwarisi peniaga bumiputera," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Setiausaha GUMBJ, Mohd. Hisham Mohd. Isa, 36, pula mendesak pihak kerajaan mengambil daya usaha untuk menggagalkan usaha pemaju menjual lot rumah kedai kepada bukan bumiputera di bandar kesayangan orang Melayu ini.
Katanya, pemaju telah menaikkan harga rumah kedai dari RM350,000 seunit kepada RM700,000 seunit bagi tujuan menghalang peniaga bumiputera membelinya kerana harga tersebut sangat mahal bagi peniaga Melayu.
Penduduk asal Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Kamaruddin Bik, 75, berkata, beliau berasa tercabar apabila pemaju menolak permohonan usahawan Melayu membeli bangunan kedai tetapi sebaliknya diserahkan kepada bukan Melayu.
"Nampaknya aspirasi dan semangat perjuangan pemimpin UMNO tulen untuk mendaulatkan usahawan bumiputera hanya berada di tapak kaki apabila wang dan ketamakan beraja di hati," katanya.
Seorang bekas Pegawai Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ), Hishamuddin Abdul Rahman, 54, berkata, desakan untuk mempertahankan status Bandar Jengka bukan perkauman tetapi satu hak yang perlu dipertahankan oleh orang Melayu.
Tegasnya, inilah satu-satunya Bandar Melayu yang ada di negara ini yang patut diberi keistimewaan tersendiri supaya usahawan dan peniaga Melayu berniaga secara kondusif dengan bersaing sesama sendiri.
Seorang usahawan, Nasaruddin Abdullah, 49, menyifatkan kemasukan peniaga bukan Melayu di bandar ini sebagai satu pengkhianatan terhadap usaha murni untuk mewujudkan sebuah bandar khas untuk orang Melayu.
"Fenomena itu sangat menyedihkan kerana susah payah pemimpin UMNO terdahulu itu bagaikan sebuah carikan kertas usang tidak berguna lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment