Nik Aziz ke Parlimen, KJ ganti MB Kelantan?
Namun begitu secara kasarnya, kempen telah pun berlangsung. Di Selangor di mana saya tinggal, pihak pembangkang telah pun rancak berceramah. Jika pilihan raya berlangsung selepas raya ini, maka Ramadan akan digunakan sepenuhnya untuk bertazkirah, yang sudah tentunya akan condong kepada kempen pilihan raya.
Kita semua amat arif, itulah kelebihan yang ada kepada pembangkang khususnya Pas. Mereka akan menggunakan surau dan masjid secara maksimum. Itu pasallah di beberapa masjid di sekitar Selangor sekarang berlaku kecelaruan apabila AJK lama masjid ditukar kepada yang pro-Pas, sehinggakan ada antara kes calon-calon AJK yang di luar daripada kariah masjid itu sendiri pun telah dilantik.
Bagi saya itu bukan satu kesalahan, kerana Pas di Selangor mempunyai advantage. Sesiapa pun berkuasa, dialah yang akan mempunyai kelebihan.
Selain berceramah dan berkempen, masing-masing parti politik, baik kerajaan atau pembangkang juga sedang rancak untuk menyusun calon-calon yang akan menghadapi peperangan politik itu kelak.
Penyusunan dan perancangan calon ini amat penting sekali. Bagi BN, yang akan menjadi underdog kali ini, penentuan itu amat-amat krusial sekali. Silap orang, maka undi akan terjunam.
Maka itu, benar kata PM beliau akan memilih muka-muka baru yang boleh menang kali ini. Tepat sekali strategi PM itu, kerana itu jugalah yang dimahukan oleh pengundi. Pengundi kali ini mahu melihat calon-calon BN terdiri daripada muka-muka baru, yang segar dan berseri-seri. Ingat pada pilihan raya lalu, pihak pembangkang yang underdog pernah meletakkan muka-muka yang tidak pernah pun orang kenal, dan rata-rata mereka menang.
Yang lama dan yang sudah bertanding empat, lima penggal, berilah peluang kepada yang tidak pernah lagi mencuba. Kecualilah, jika yang empat, lima penggal itu benar-benar disayangi oleh para pengundi.
Kepada pembangkang kali ini mereka bukan underdog lagi. Mereka yakin akan menang. Lim Guan Eng nampak gayanya semakin bongkak mendabik dada akan menang lagi kali ini. Jika beliau menang lagi maka, lebih banyaklah “perubahan demi perubahan" yang akan dilakukan di Pulau Pinang itu. Mungkin lebih banyaklah yang akan melukut di tepi gantang.
Tapi bagi orang Melayu, tumpuan sudah tentulah kepada dua negeri di Utara dan Pantai Timur tanah air, iaitu Kedah dan Kelantan. Ini adalah kerana kedua-dua negeri itu mengandungi majoriti kaum itu.
Kedah bagi saya, BN boleh ambil balik. Tapi ada tapinya. Ia banyak bergantung kepada siapa calon-calonnya. jangan rebut-merebut dan gaduh-gaduh. Formula seperti di atas amat-amat diperlukan untuk menang. Potensi memang ada.
Jika Kedah kalah kali ini, maka negeri itu akan menjadi satu lagi Kelantan yang akan dipasak oleh Pas selama-lamanya.
Tapi saya lebih berminat kali ini untuk mengulas mengenai kedudukan Kelantan. Nik Aziz Nik Mat yang pernah mencabar Dr. Mahathir Mohamad supaya berundur kerana dikatakan sudah tua dan nyanyuk, kini telah memerintah negeri itu selama 22 tahun.
Dia pernah mencabar Dr. Mahathir supaya meletak jawatan bagi membolehkan dia juga akan letak jawatan. Tapi sebagai orang politik yang totok, Nik Aziz tidak pernah mengotakan janjinya.
Difahamkan kali ini, buat ke sekelian kalinya, Nik Aziz bercita-cita mahu bertanding lagi. Walaupun asyik masuk-keluar hospital, dia masih mahu bertanding lagi. Tapi kali ini, mungkin lain macam sedikit.
Saya diberitahu oleh orang-orang dalaman Pas, Nik Aziz kali ini mahu bertanding di Parlimen pula.
Dia mahu merasai bagaimana berada dalam Dewan Rakyat. Dia mahu melepaskan jawatan sebagai MB Kelantan, setelah dikatakan terpaksa mengakui gagal membangunkan negeri itu sebagaimana yang dikehendaki.
Dia tahu kelemahannya. Dia tahu, mungkin, jika dia masih berada di situ rakyat Kelantan akan membuat perubahan. Maka, dia dikatakan akan bertanding di Parlimen P20 Pengkalan Chepa.
Jika benar, maka siapa yang akan menggantikannya? Apakah anak emasnya, Husam Musa? Tapi Husam kini dikatakan terlalu banyak bebanan? Husam memanglah bercita-cita mahu menjadi MB, menggantikan Nik Aziz, tapi adakah beliau akan dipilih?
Saya diberitahu, bukan Husam. Tapi nama yang disebut itu ialah KJ. Bukan KJ Pemuda UMNO, tapi Ahli Parlimen P19 Tumpat iaitu Kamaruddin Jaafar.
KJ ini disebut-sebut akan menggantikan Nik Aziz sebagai MB Kelantan selepas PRU-13 kelak. Difahamkan, jika benarlah, KJ ini yang menjadi AP Tumpat sejak 1999 akan bertanding di DUN N3 Pasir Pekan (di kampung halamannya) dalam kawasan parlimennya sekarang.
Ahli DUN N3 Pasir Pekan yang kini dipegang oleh Datuk Ahmad Yaakob (kini Timbalan MB Kelantan) akan bertanding di kerusi Parlimen Tumpat.
Tapi siapa Kamaruddin ini? Yang kita tahu dia ini adalah orang kuat dan orang kanan Anwar Ibrahim. Juga disebut-sebut, KJ ini pun dikatakan memasuki ke dalam Pas atas perintah Anwar yang mahu beliau menyusup masuk ke dalam parti itu.
Apakah Anwar, akhirnya mahu menguasai Kelantan pula secara tidak langsung? Jika tidak benar pun andaian ini, mengapa tiba-tiba angin bertiup. Ia kini menjadi buah mulut orang-orang Pas di Kelantan.
Anwar ini memang licik orangnya. Itu pun semua orang tahu. Jika benarlah maka Anwar memang bijak. Adakah jika KJ menjadi MB Kelantan kelak, maka akan mudah PKR dapat bertapak di bumi Kelantan selepas ada tanda-tanda jelas akan kehancuran pertahanan PKR di bumi Selangor dan Pulau Pinang.
Semua orang tahu markas Anwar di Permatang Pauh kini telah goyah. Jika ini benar-benar terjadi, maka adalah tidak mustahil MB KJ akan membuka peluang kepada seorang ahli DUN daripada PKR menjadi Timbalan MB Kelantan?
Faktanya, KJ ini merupakan strategis Anwar di dalam think-tanknya, Institut Kajian Dasar (IKD). Semasa KJ menerajui IKD dia dikatakan banyak mengeluarkan buku mengenai fahaman yang cuba dibawa oleh Anwar mengenai masyarakat madani. Kebanyakan buku-buku itu dikatakan ditaja oleh sebuah yayasan dikenali sebagai Kondrad Adeneur, sebuah pertubuhan milik Parti Kristian Demokrat di Jerman.
Datuk KJ bukan calang-calang orang. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Ghafar Baba. Semasa itu, Anwar ialah Menteri Kewangan. Tapi semasa KJ bersama Ghafar, Anwar juga sudah bercita-cita mahu menjadi TPM, menggantikan Ghafar.
KJ dan Anwar pernah aktif dalam ABIM dan merupakan sahabat baik. Akhirnya pada 1993, Anwar melawan Ghafar dan oleh kerana permainan politik wang yang terlalu hebat, Anwar menang dalam permilihan UMNO.
Beliau kemudian dilantik menjadi TPM. KJ pula secara rasmi berada bersama Anwar di dalam lingkungan TPM Anwar. KJ diberi peranan oleh Anwar untuk menjalankan perniagaan.
Nik Aziz yang selama ini amat mengkagumi Anwar, kini melihat KJ mempunyai potensi.
Kamaruddin dikatakan boleh melonjakkan ekonomi Kelantan. Nik Aziz yang selama 22 tahun hanya mampu membaca doa tazkirah sahaja mengakui gagal melakukan transformasi ekonomi negeri itu.
Nik Aziz amat mempercayai keupayaan Kamaruddin yang dikatakan mempunyai rangkaian hubungan dengan pihak antarabangsa termasuk dari Jerman, Amerika Syarikat dan negara-negara lain.
Jika perkembangan ini benar berlaku, maka ia akan menjadi satu lagi dimensi baru bagi sains politik di negara ini.
Persoalannya adakah Pas akan berdiam diri? Kita tunggu dan lihat.
No comments:
Post a Comment