Friday, June 29, 2012

saham

Antara saham FGV dan 'saham' Anwar
Oleh Lukaman Ismail
lukman@utusan.com.my

SEMALAM saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) pertama kali diapungkan di Bursa Malaysia dengan tawaran RM4.55 sesaham.

Tawaran Awam Permulaan (IPO) itu ternyata mendapat sambutan hebat apabila ia melonjak kepada RM5.39 sen pada awal dagangan dan ditutup pada nilai RM5.30.

Ia membawa petanda positif kepada para pelabur dalam FGV selepas menyaksikan prestasi yang begitu baik pada hari pertama ia didagangkan, sekali gus membawa keuntungan berganda kepada pemilik saham berkenaan, termasuk para peneroka.

Malahan ia juga berjaya menutup mulut para pembangkang yang sebelum ini tidak henti-henti memburuk-burukkan usaha kerajaan dan Felda untuk mengapungkan FVG dengan pelbagai dakyah dan fitnah.

Tidak hairanlah Datuk A. Kadir Jasin dalam blognya (kadirjasin.blogspot.com) mengangkat ibu jari dengan memberi pengiktirafan dan pujian terhadap pengasas IPO FGV hasil pencapaian permulaan perniagaan saham syarikat tersebut.

Beliau membuat congakan, jika pelabur yang mempunyai satu lot atau 1,000 unit saham FGV, sudah pasti mereka akan memperoleh keuntungan modal RM880, jika mereka menjual pegangan mereka semalam.

"Pelabur yang arif mengenai pelaburan saham, tentu tahu yang keuntungan RM880 itu adalah jauh lebih baik daripada menunggu dividen setahun atau enam bulan dari sekarang," katanya.

Itu baru sehari didagangkan, bayangkan berapa nilai saham FGV pada hari-hari berikutnya. Jika nilainya terus meningkat bermakna keuntungan pemilik saham juga akan melonjak.

Blok Gelombang Rakyat (gelombang-rakyat.blogspot.com) tidak hanya melihat dari nilai wang ringgit yang bakal diperoleh oleh pelabur tetapi penyenaraian FGV juga sebagai mercu tanda penting bagi negara, khususnya para peneroka Felda.

"Kejayaan kemunculan sulung itu melegakan ramai pelabur mengenai keuntungan bersih lebih rendah FGV sebanyak RM192.17 juta dalam suku pertamanya berakhir 31 Mac 2012, berbanding RM359.05 juta setahun lalu.

"IPO-nya menarik 58,526 permohonan awam bagi mendapatkan 565.40 juta saham, iaitu terlebih langganan 6.75 kali. Ia menawarkan 72.96 juta saham bagi langganan awam," katanya.

Berbeza dengan "saham" Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika ini dianggap jatuh merudum selepas beberapa pendedahan yang dibuat oleh bekas rakan-rakan karib beliau berhubung isu pembelian kapal selam Scorpene dan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohammad Hashim berhubung kedua-dua isu tersebut menyebabkan pembangkang terpaksa mencari isu lain untuk dijadikan senjata bagi menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN).

Taiping Mali (taipingmali.blogspot.com) menganggap, pendedahan kedua-dua bekas rakan karib beliau dalam PKR itu telah meranapkan strategi Anwar untuk memburuk-buruk Perdana Menteri melalui Suaram.

"Pembangkang pula sudah tidak ada modal politik lagi yang hendak dicanai kecuali meroyan siang dan malam seperti orang hilang akal," katanya.

Benar kata blog Sejarah Melayu (sejarahmelayu.blogspot.com). Isu rasuah Scorpene tidak timbul langsung memandangkan penjelasan terperinci dan berfakta telah pun dibuat berkali-kali di Parlimen.

Malahan Datuk Seri Najib Razak juga sudah beberapa kali bersumpah tidak mengenali Altantuya serta alibinya dan Datin Seri Rosmah Mansor amat kukuh.

"Namun, Suaram tetap tegar untuk memainkan isu yang tidak wujud ini seolah-olah begitu terdesak sekali untuk memburukkan kerajaan," kata blog tersebut.

Tindakan pembangkang yang tidak putus-putus memburuk-burukkan kerajaan dan Perdana Menteri dengan isu Scorpene dan Altantunya baik menerusi blog-blog mereka, media-media alternatif yang dikuasai serta ceramah-ceramah di seluruh pelosok negara kini telah menjadi bumerang kepada mereka.

Senjata ampuh yang digunakan itu sudah makan tuan dan "saham" Anwar serta pembangkang semakin merosot di mata rakyat.

No comments:

Post a Comment