PRU-13 perlu disegerakan
SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan Seremban
TERKEJUT dan terkedu mereka yang selama ini suka sangat mengkritik apa juga kebaikan yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat selama ini ekoran pembentangan Belanjawan 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, petang Jumaat lalu.
Kecoh satu Malaysia diawal pagi Sabtu keesokan harinya, boleh dikatakan semua akhbar perdana dan lain-lain akhbar tempatan habis dijual.
Di sini bermakna semua peringkat rakyat begitu prihatin untuk mengetahui lebih terperinci tentang isi kandungan 'lubuk emas' yang sedang menanti untuk dikecapi bersama. Di sana-sini kedengaran puji-pujian dan kata-kata yang memberangsangkan akan kebaikan kerajaan dan juga Perdana Menteri.
Bukan sahaja pelajar dapat menikmati pendidikan percuma tetapi diberikan lagi wang saku RM100 ringgit setiap pelajar dari tahun satu hingga tingkatan lima mulai sesi persekolahan tahun hadapan dimana kebajikan seperti ini kita merasakan memang bertuah menjadi warga negara Malaysia.
Rakyat kini bukan sahaja boleh tidur lena tetapi boleh pula impikan yang terbaik untuk mereka dan keluarga mereka.
Begitu juga kebajikan yang lain sebelum ini tidak terlintas oleh pemikiran kita bahawa pelbagai inisiatif dan kemudahan serta imbuhan dapat dirasakan oleh semua kaum dan peringkat rakyat Malaysia dan kini rakyat mula 'membuka mata' dan sedar bahawa selama ini mereka telah dibuai dengan tohmahan yang tidak berasas serta dikelirukan dengan berbagai rekaan cerita bertujuan untuk menjatuhkan bukan sahaja air muka pemimpin tetapi juga kerajaan yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat.
Wajar sekali dan inilah masa yang paling sesuai untuk disegerakan bagi mengadakan pilihan raya umum ke-13, sementara rakyat tengah berada dalam 'mood' gembira dan ceria sebelum mereka ini dicemari lagi sekali dengan pemikiran jumud dan mungkin berubah apabila 'tukang-tukang karut' mencanangkan lagi irama dendangan lagu sumbang mereka.
Jika PRU-13 disegerakan peluang untuk mengembalikan balik 2/3 majoriti adalah cerah bagaikan sinaran matahari dan menawan balik negeri-negeri yang kalah dahulu tidak lagi mustahil.
Walau apa pun semuanya adalah kebijaksanaan Perdana Menteri untuk mengubah segalanya.
No comments:
Post a Comment