Tuesday, October 11, 2011

memurtadkan orang melayu

Waspada, wujud usaha memurtadkan umat Islam di Selangor

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

ADA mesej penting daripada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap pihak Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos 2011 lalu.

Menurut baginda, tindakan JAIS adalah benar dan mengikut bidang kuasa dan lunas perundangan yang diperuntukan.

Titah baginda lagi, merujuk kepada siasatan JAIS, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam tetapi bukti yang diperoleh tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.

Namun baginda melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor.

Justeru, baginda menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS agar memantau rapi serta mengambil tindakan sewajarnya tanpa teragak-agak terhadap usaha itu.

Kenyataan titah ini secara tidak langsung mengesahkan bahawa ada usaha memurtadkan orang Islam ke dalam agama Kristian sedang berlaku di Selangor.

Pada majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti, ia dihadiri kira-kira 100 orang termasuk 12 orang Islam.

"Setelah meneliti dengan mendalam laporan JAIS dan setelah mendapat nasihat daripada pakar-pakar agama dan undang-undang, beta bersetuju tiada pendakwaan akan dibuat terhadap mana-mana pihak," titah Sultan Selangor.

Sungguhpun, tiada cukup bukti yang boleh membawa kepada pendakwaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor, tidak bermakna ia tidak berlaku.

Seluruh umat Islam wajib bersatu mempertahankan akidah Islam daripada diganggu gugat oleh musuh agama, sekalipun terpaksa menghadapi apa sahaja rintangan.

Adalah menjadi kewajipan ke atas setiap orang Islam untuk mempertahankan akidah kerana maqasid syariah itu tidak boleh dijual beli dengan apa sekalipun, hatta kepentingan politik.

Kita amat sedih dengan tindakan Menteri Besar Selangor yang bersifat apologetic apabila ditekan oleh sekutunya dalam pakatan pembangkang ketika siasatan JAIS masih berjalan pada Ogos lalu.

Begitu juga kenyataan yang dilemparkan oleh beberapa pemimpin politik bukan Islam daripada pakatan pembangkang yang tidak menghormati kedudukan hal ehwal agama Islam dan JAIS yang terletak di bawah bidang kuasa Sultan Selangor.

Sejak sebelum merdeka lagi, urusan berkaitan agama Islam tidak pernah berada di luar bidang kuasa sultan atau diambil alih pemimpin politik, apatah lagi pemimpin bukan Islam.

Kenapa pemimpin berkenaan mahu buat 'bising' jika mereka ada sesuatu yang tidak mahu ia terbongkar.

Sebab itu kita boleh lihat perangai sesetengah ahli politik yang telah masuk campur dalam urusan hal ehwal Islam melebihi bidang kuasa mereka.

Lihat bagaimana pemimpin DAP beria-ia mahu campur tangan dan memberi 'perlindungan politik', termasuk sokongan moral dalam isu tindakan JAIS menyiasat Gereja Methodist Damansara Utama baru-baru ini.

Sudahlah Menteri Besar dari PKR mudah hilang punca apabila ditekan oleh konco-konconya dari DAP, pemimpin pusat Pas yang beragama Islam itu sendiri pun takut-takut dan teragak-agak untuk menyokong tindakan JAIS. Sebaliknya Datuk Dr. Hassan Ali, Pemuda Pas berpendirian tegas menentang arus dan menyokong tindakan JAIS.

Nampak sangat pemimpin besar dalam Pas bimbang akan kehilangan sokongan DAP dan PKR.

Jangan kita lupa bahawa JAIS menemui bukti berbentuk '12 soalan kuiz' mengenai agama Islam pada majlis 'berbuka puasa' yang dianjurkan gereja tersebut. Jelas, tindakan JAIS tepat.

Hakikatnya, tindakan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya itu berlandaskan kepada prinsip dan tanggungjawab agensi penguatkuasaan itu untuk mempertahankan akidah umat Islam serta kesucian agama ini.

Akidah bukan bahan dagangan politik, ia tidak boleh dijual beli.

JAIS tidak bertindak secara semberono jika tiada maklumat lengkap mengenai aktiviti penyebaran agama Kristian kepada orang Islam. Bagaimanapun, ada segelintir pemimpin Islam sendiri mempertikaikan tindakan JAIS itu.

Kita percaya usaha-usaha untuk melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam baik di Selangor atau di negeri-negeri lain akan terus digerakkan.

Oleh itu, umat Islam perlu peka terhadap gerakan secara halus untuk memesongkan akidah umat Islam di negara ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment