Wednesday, October 5, 2011

bi lagi

Perkasa silibus Bahasa Inggeris

ESA ADAM
Bandar Sunway, Selangor

Saya ingin merujuk kepada kenyataan Setiausaha Kehormat Parent Action Group for Education (PAGE), Tunku Muniwarah Putra (dalam sebuah akhbar berbahasa Inggris pada 3hb Oktober 2011) yang bersungguh-sungguh mahukan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Ienggeris (PPSMI) dikembalikan semula di sekolah-sekolah.

Kenyataan beliau bahawa sekolah Cina sekarang menjadi pilihan ramai juga tidak betul kerana beliau hanya mengambil kira pandangan masyarakat Cina sahaja walhal ada beratus ribu murid di sekolah kebangsaan. Saya juga difahamkan yang SJKC juga menolak PPSMI. Adakah masyarakat Cina akan meninggalkan SJKC jika PPSMI diperkenalkan semula? Saya percaya ini tidak akan berlaku.

PAGE harus sedar ada dua isu besar di sini. Pertama, bagaimana murid boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik? Kedua, bagaimana murid boleh menguasai pelajaran Matematik dan Sains?

Masalah besar bagi murid dalam PPSMI ialah memahami bahasa Inggeris dan Matematik dalam satu masa. Jika murid tidak faham apa yang ditutur oleh guru, bagaimana mereka hendak faham pelajaran yang diajar. Begitu juga dalam mata pelajaran Sains.

Kanak-kanak ini bukan dilahirkan dalam keluarga 'orang putih' di mana di rumah mereka bercakap Inggeris. Jadi guru-guru terpaksa menggunakan bahasa rojak dalam kelas yang memburukkan lagi keadaan.

Dalam kita mengejar isu pertama iaitu kemahiran berbahasa Inggeris, berlaku kemerosotan mata pelajaran Matematik dan Sains, walhal kita semua tahu kedua-dua subjek tersebut penting pada masa akan datang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpendapatan tinggi. Kerja-kerja yang berpendapatan tinggi pada masa akan datang bukan lagi seperti peguam, ahli sejarah atau diplomat tetapi kerja-kerja yang berasaskan sains dan teknologi.

Semua akur yang kemahiran berbahasa Inggris ada kelebihannya tetapi kemahiran dalam Matematik dan Sains juga penting untuk masa depan negara.

Negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Perancis, Jerman, Sweden, Finland dan Itali maju ke hadapan dalam sains dan teknologi walhal bahasa Inggeris bukan bahasa percakapan mereka seharian.

Pembekal-pembekal mesin memproses bagi kilang-kilang datang dari negara yang saya sebutkan tadi, bukan dari Amerika Syarikat atau United Kingdom atau India atau Filipina yang fasih berbahasa Inggris.

Jadi cakap-cakap yang Malaysia akan ketinggalan jika tidak fasih berbahasa Inggeris adalah cakap mereka yang punya agenda tersirat.

Anak-anak yang masih dalam peringkat muda di sekolah rendah perlu diperkuatkan asas dalam Matematik dan Sains kerana pelajaran tersebut akan menjadi lebih susah apabila mereka ke sekolah menengah. Jadi biarlah mereka ini belajar dalam bahasa ibunda mereka. Kita tidak mahu murid-murid ini hilang minat belajar kedua-dua mata pelajaran tersebut.

PPSMI bukanlah jawapan untuk mendidik murid-murid menguasai bahasa Inggeris. Apa yang Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) harus buat ialah memperkasakan lagi silibus bahasa Inggeris tersebut. Aktiviti di luar kelas yang bersifat interaktif harus dilakukan dalam bahasa Inggeris. Sebahagian daripada Ko-Kurikulum yang sesuai juga boleh dibuat dalam bahasa Inggeris

PAGE sepatutnya membuat cadangan yang lebih konkrit bagaimana untuk memperbaiki pengajaran bahasa Inggeris didalam dan luar kelas kepada KPM. Ini lebih bermakna daripada terus menerus mendesak KPM mengembalikan PPSMI dan ingin membawa isu ini pula kepada UNESCO.

Biarlah KPM memikirkan formula bagaimana pelajaran bahasa Inggeris ini dapat dipertingkatkan di sekolah-sekolah.

No comments:

Post a Comment