Wednesday, November 2, 2011

susahnya melayu mahu berniaga

‘Saya sudah lali disaman’
Oleh Hanum Rajak
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Saya sudah mohon banyak kali, namun masih gagal mendapatkan lesen perniagaan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” kata warga emas, Raszalan Kasim, 56, yang berniaga di tepi jalan sejak empat tahun lalu.

Menurut Raszalan, dia mencuba untuk mendapatkan lesen melalui DBKL beberapa kali sejak empat tahun lalu, namun gagal dengan alasan kawasan itu bukan kawasan perniagaan.


Sepanjang tempoh itu juga, Raszalan mengakui puluhan kali disaman, malah pernah barang perniagaannya disita DBKL.

“Bukan saya tidak mahu mendapatkan lesen. Saya mahu berniaga secara sah demi sesuap nasi, namun puas saya memohon untuk mendapatkan lesen sejak empat tahun lalu sampai saya sudah letih bahkan sudah lali disaman,” katanya.


Setiap kali disaman, Raszalan terpaksa membayar demi perniagaannya yang menjual keledek goreng dan kuih-muih untuk menampung kehidupannya yang sebatang kara.


“Untung ada anak angkat saya yang membantu kerana saya tidak mampu untuk menguruskan perniagaan ini sendiri,” katanya ketika ditemui di Jalan Ampang, baru-baru ini.

Perniagaan kecil Raszalan beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga jam 6 petang yang mengharapkan pelanggan dalam kalangan pekerja dan orang ramai yang lalu-lalang di kawasan itu.


Raszalan berharap ada penyelesaian untuk masalahnya itu memandangkan tiada cara lain lagi untuknya mendapatkan rezeki halal berikutan usianya yang semakin meningkat.

Jurucakap DBKL ketika dihubungi berkata, kawasan sekitar Jalan Ampang itu hanya sesuai untuk perniagaan bergerak.


Katanya, kuota bagi lesen bergerak juga sudah mencukupi setakat ini dan DBKL tidak melihat sebarang keperluan untuk menambah kuota yang diperuntukkan.


“Perniagaan yang memiliki lesen bergerak hanya mempunyai waktu tertentu untuk menjalankan perniagaan seperti waktu makan tengah hari antara jam 12 tengah hari hingga 2 petang,” katanya.


Menurutnya, peniaga seperti Raszalan yang tidak mendapatkan lesen untuk perniagaan bergerak boleh memohon untuk perniagaan statik di tempat lain bukan di kawasan sedia ada memandangkan kawasan itu tidak sesuai untuk perniagaan statik.


Tinjauan Metroplus di sekitar Jalan Ampang mendapati banyak perniagaan dijalankan secara bergerak iaitu menggunakan lori atau van namun ada juga perniagaan statik dijalankan di situ dan kebanyakan pelanggan di situ adalah pekerja dari beberapa pejabat besar di kawasan Jalan Ampang.


Beberapa pelanggan mengakui kehadiran gerai kecil di bawah pejabat itu sangat memudahkan selain memberi ruang kepada mereka untuk bertukar selera dengan lebih kerap memandangkan hanya kedai mamak yang berdekatan dengan pejabat mereka.

No comments:

Post a Comment