Saturday, November 26, 2011

danau kota akan pindah

Bazar Danau Kota bakal dipindah
Bazar Danau Kota bakal dipindah

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mencari lokasi baru yang lebih sesuai bagi menempatkan semula peniaga-peniaga bazar larut malam Uptown Danau Kota, Setapak.

Pemindahan tersebut kelak dilihat sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu yang timbul akibat aktiviti perniagaan di pinggir kota itu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, beliau telah menyarankan kepada DBKL agar mencari lokasi lain yang sesuai dan diterima oleh masyarakat sekitar agar peniaga boleh berniaga dalam tempoh yang lebih panjang.

Katanya, pemindahan peniaga berkenaan terpaksa dilakukan setelah pihaknya menimbangkan rayuan penduduk dan mendapat pandangan DBKL, Polis Diraja Malaysia selain permintaan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan juga UMNO.

"Kita harus memberi keadilan kepada penduduk sekitar yang sudah lama memendam rasa sejak kewujudan bazar tersebut.

"Penduduk sudah lama merungut dengan kewujudan bazar itu kerana mereka menerima pelbagai kesan seperti kesesakan lalu lintas, bising, kebersihan dan juga masalah letak kereta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci kepada penjaja di Pusat Penjaja Sementara Blok F, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz dan Pengarah Suez Domain Sdn. Bhd., Yaran Hussain.

Sebanyak 25 penjaja menerima kunci kedai di situ dan mereka terdiri daripada penjaja-penjaja di sekitar rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinci yang terlibat dengan pembangunan semula kawasan tersebut.

Pembinaan pusat penjaja bernilai RM320,000 itu dibiayai sepenuhnya oleh Suez Domain sebagai salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai isu bazar larut malam di Danau Kota, Nong Chik berkata, buat masa ini DBKL telah mengehadkan operasi perniagaan di situ sebagai penyelesaian jangka pendek dan dilihat adil kepada penduduk sekitar dan peniaga.

Menerusi langkah itu, hari berniaga dikurangkan kepada empat hari seminggu berbanding enam hari sebelumnya dan tidak dibenarkan memainkan muzik.

Selain itu, DBKL dan PDRM juga telah mengadakan kawalan di tapak perniagaan tersebut sejak minggu lalu bagi memastikan tiada aktiviti perniagaan yang berlaku pada hari yang diarah cuti.

"Dalam pada itu, 30 peniaga yang didapati menentang langkah DBKL itu telah diberi notis amaran," kata Nong Chik.

No comments:

Post a Comment