Tuesday, November 15, 2011

buang penjawat awam

KR1M: Publisiti murahan DAP

SURAT ini merujuk kepada laporan tuan, CUEPACS pertahan penjawat awam, (Mingguan Malaysia 13 November 2011 halaman 8). Selain terkilan dengan kenyataan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua, saya berpendapat, orang Melayu terutamanya penjawat awam tidak perlu gusar dan cepat melatah dengan isu-isu yang ditimbulkan oleh pemimpin pembangkang seperti Tony Pua, Mat Sabu, Manoharan dan lain-lain.
Ini kerana pembangkang akan sentiasa membangkang apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan. Tetapi mereka tidak pula pandai berbuat apa-apa untuk kebaikan rakyat.
Setakat ini pembangkang belum lagi membuat sebarang kenyataan rasmi, terhadap kenyataan tersebut dan Tony Pua sekali lagi membuat kenyataan bahawa barang-barang yang dijual di Kedai Rakyat (KR1M) lebih mahal daripada pasar raya lain.
Adakah kenyataan ini benar? Mengikut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), rakyat dapat berjimat sehingga 30 dan 50 peratus jika berbelanja di KR1M (Utusan Malaysia 14 November 2011). Ramai yang bersetuju dengan kenyataan itu termasuk saya sendiri yang turut membeli barangan keperluan dapur dan mendapati ia memang menjimatkan. Kualiti barang juga setanding dengan pasar raya lain.
Saya percaya bahawa Tony Pua, sebagai Ketua Publisiti DAP cuma mahu mendapat publisiti murah daripada semua media dan orang ramai termasuk penjawat awam.
Dia berjaya mengutarakan ideanya sehingga menimbulkan kemarahan banyak pihak terutamanya penjawat awam.
Selain mendapat publisiti, dia juga mendapat sorakan daripada penyokongnya yang sudah tentu menaikkan imejnya sebagai wakil rakyat yang dapat menjamin masa depannya.
Saya percaya kita semua telah terjebak ke dalam perangkap politik mereka, maka saya tidak hairanlah jika pihak pembangkang membuat satu lagi kenyataan yang akan menyebabkan para pesara melatah apabila mencadangkan mengurangkan pencen dan bonus pesara.
Ingat dan berhati-hatilah bahawa kuasa mutlak adalah di tangan setiap pengundi iaitu pihak yang berkuasa meletakkan sesiapa sahaja yang mereka suka di Putrajaya.
Saya yakin rakyat kini semakin mengenal yang mana intan dan yang mana kaca.

No comments:

Post a Comment