Thursday, November 10, 2011

kakitangan awam kena buang?

KAKITANGAN AWAM TERLALU RAMAI?

AKHBAR Nanyang Siang Pau terbitan 8 November 2011 menyiarkan artikel mengenai hasrat DAP untuk mengurangkan jumlah penjawat awam sekiranya pihak pembangkang dipilih mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Artikel yang ditulis wartawan akhbar itu, Koh Kok Wei bertajuk ‘Kakitangan Awam Ramai Atau Tidak?’ disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuanlun, halaman A14.

Isu bilangan kakitangan awam di negara kita sama ada perlu dikurangkan ataupun ditambah memang mencetuskan kontroversi yang tersendiri.

Bilangan penduduk negara ini sekarang ialah seramai 26 juta orang dengan jumlah kakitangan awam sebanyak 1.3 juta orang.

Ini bermakna nisbahnya, seorang kakitangan awam bagi setiap 20 penduduk. Memang benar angka itu agak tinggi dan ini belum dicampur pertambahan kakitangan awam baru setiap tahun.

Apabila berlaku kenaikan gaji dan pemberian bonus kepada mereka, kos amat tinggi perlu ditanggung oleh kerajaan. Itu yang menyebabkan orang ramai merasa marah dan menuduh pihak kerajaan membela terlalu ramai kakitangan awam.

Adakah benar bilangan kakitangan awam negara kita sudah terlalu ramai? Ramai orang yang membandingkan penduduk Taiwan sebanyak 23 juta orang dengan kakitangan awam mereka yang hanya 70,000 orang sahaja.

Sebenarnya apa yang dimaksudkan kakitangan awam di Taiwan tidak termasuk anggota tentera, petugas awam, polis, guru-guru dan pelatih tentera.

Di negara kita, bilangan guru sahaja sudah menjangkau 400,000 orang, ditambah pula dengan polis seramai 100,000 orang dan tentera 100,000. Bilangan itu adalah separuh daripada jumlah keseluruhan kakitangan awam.

Dikatakan apabila pihak pembangkang membentuk kerajaan, mereka akan kurangkan bilangan kakitangan awam negara ini. Mereka mahu kurangkan antara 20 hingga 30 peratus. Adakah ini bermakna pengurangan itu akan melibatkan anggota tentera, polis dan guru?

Untuk pengetahuan semua, apa yang dimaksudkan gelombang besar pasukan kakitangan awam ini, bukan sahaja termasuk kakitangan Kerajaan Pusat, malah ia juga meliputi kakitangan awam yang berada di peringkat kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun, kita akui memang kakitangan awam kita ramai dan ia menjadi organisasi yang menggelembung besar. Salah satu faktor ini berlaku kerana pertindihan jawatan dan fungsi antara kakitangan awam Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan PBT.

Apa yang dikemukakan pihak pembangkang bagi mengurangkan ‘bala tentera’ kakitangan awam itu, memang dialu-alukan oleh rakyat biasa yang tidak tahu apa-apa.

Sebaliknya bagi kakitangan awam itu sendiri, mereka tentu merasa kurang senang. Sebab itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan mudah membidas kembali pihak pembangkang.

Beliau berkata, jika mereka mahu kurangkan kakitangan awam selepas memerintah Kerajaan Pusat nanti, kenapa tidak kurangkan kakitangan awam di negeri-negeri yang mereka perintah sekarang ini terlebih dahulu.

Sebenarnya, menambah dan mengurangkan kakitangan awam tidak sepatutnya dijadikan bahan politik antara parti pembangkang dan parti pemerintah.

Daripada asyik bermain dengan angka, tumpuan utama yang sepatutnya diberi perhatian serius dengan segera adalah menyelesaikan pertindihan struktur serta fungsi kakitangan awam.

ANWAR JUMPA NGO CINA

AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 5 November 2011 menyiarkan laporan khas mengenai pertemuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina yang telah berlangsung pada Selasa (8 November) lalu.

Laporan khas yang ditulis Er Pik Yeh bertajuk Suasana PRU Semakin Menebal disiarkan dalam ruangan Pelbagai Berita Dalam Negeri, halaman 24.

Bahang PRU Ke-13 sudah semakin hampir. Sehubungan itu, parti pembangkang dan pemerintah sedang bersaing untuk mengeratkan hubungan dengan NGO Cina dan meraih sokongan kaum itu.

Contohnya, Ketua Pembangkang yang juga Penasihat PKR telah menjemput 50 NGO Cina dan badan agama untuk menghadiri perjumpaan dengan beliau.

Ini supaya masyarakat Cina lebih memahami perjuangan PKR dan pendirian beliau terhadap isu-isu hangat yang telah tercetus termasuk berkaitan keagamaan dan undang-undang Islam.

Selain Anwar; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden parti itu, Azmin Ali dan ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kaum Cina daripada PKR akan turut menghadiri pertemuan itu. Ini adalah pertemuan kali pertama Anwar dengan NGO Cina sejak menjadi Ketua Pembangkang.

Menurut Ahli Jawatankuasa Politik PKR yang juga bekas Timbalan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew, tujuan perjumpaan itu adalah supaya masyarakat Cina lebih faham tentang dasar perjuangan PKR.

Antaranya mengenai hakikat PKR bukan parti Melayu dan ia mempunyai pandangan tersendiri berkaitan pelbagai isu negara termasuk berhubung pelaksanaan undang-undang Islam.

Beliau berkata, pada masa ini ramai orang tersalah anggap bahawa PKR adalah sebuah parti Melayu. Sebenarnya ia adalah sebuah parti untuk semua kaum dan ini terbukti apabila satu pertiga ahli Parlimen dan ADUN PKR adalah kaum Cina.

‘‘Pertemuan ini adalah rentetan daripada kunjungan Anwar ke Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Britian baru-baru ini untuk memahami cara negara-negara terbabit berpolitik dan mentadbir negara.

‘‘Anwar berharap melalui perjumpaan ini, NGO Cina akan dapat memahami pandangan beliau, contohnya hala tuju PKR pada masa akan datang dan perkembangan ekonomi negara. Beliau juga bersikap terbuka untuk membincangkan isu keagamaan supaya rakyat dapat hidup bersama dengan tenang dan aman,’’ katanya.

Yee Kew berkata, Anwar akan mengemukakan pandangan PKR bahawa yang menjadi teras Perlembagaan adalah undang-undang biasa dan bukannya undang-undang Islam.

Sebab itu, hukum hudud tidak akan dilaksanakan. Jaminan itu akan dapat menghilangkan kerisauan masyarakat Cina berhubung cadangan pelaksanaan undang-undang Islam terbabit.

‘‘Kami berharap setiap pertubuhan menghantar tiga wakil. Golongan muda seperti daripada kalangan pertubuhan Kristian digalakkan menghantar empat atau lima orang wakil. PKR sendiri akan menghantar lebih 30 wakil. Jemputan keseluruhan adalah seramai 150 orang,’’ kata Yee Kew.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Persekutuan Pertubuhan-Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Yew Sin berkata, pihaknya akan menghantar beberapa pimpinan atasan untuk menghadiri perjumpaan itu.

Beliau berkata, Hua Zong akan mengemukakan beberapa soalan terutama sekali tentang kepentingan masyarakat Cina serta isu keagamaan seperti pelaksanaan hukum hudud.

‘‘Kami mahu tahu daripada mulut Anwar sendiri mengenai pendirian beliau terhadap pelaksanaan hukum hudud dan hasrat Pas untuk mewujudkan negara Islam.

‘‘Isu lain membabitkan pengharaman penjualan arak di Selangor dan larangan pembukaan kelab-kelab hiburan di Kedah sepanjang Ramadan,’’ kata Yew Sin.

Apabila ditanya adakah Presiden Hua Zong, Tan Sri Pheng Yin Huah diundang sama dalam perjumpaan itu, Yew Sin berkata, setakat ini beliau masih belum mendapat sebarang maklumat.

Bagaimanapun, katanya, pada waktu itu mungkin Yin Huah sedang menjalankan tugas di luar negara.

No comments:

Post a Comment