Saturday, November 5, 2011

bazar vs politik

Isu gerai kecil tidak wajar timbul



UNIT gerai di Bazaria Pantai di Lembah Pantai, Kuala Lumpur adalah mengikut ukuran standard dan mempunyai persekitaran yang lebih selesa buat peniaga dan pengunjung. - utusan/Wan Naqiuddin Wan Yaacob



KUALA LUMPUR 3 Nov. - Isu saiz gerai kecil di Bazaria Pantai tidak wajar ditimbulkan, sebaliknya semua pihak perlu melihat kewujudan bazar itu dari sudut positif terutama usaha membangunkan peniaga kecil Melayu.
Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Lembah Pantai, Fauzi Che Ahmad (gambar) berkata, tindakan sesetengah pihak mempersoalkan saiz gerai itu dianggap mempunyai motif tertentu.
Antara pihak yang mempersoalkan saiz gerai di bazaria itu ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Menurut Fauzi , golongan itu hanya mahu meraih populariti murahan sedangkan mereka tidak pernah bersama-sama membangunkan peniaga di kawasan itu.
"Isu mengenai saiz gerai tidak timbul kerana dengan saiz itu lebih banyak gerai dapat dibina dan dengan itu lebih ramai peniaga yang berpeluang berniaga dengan suasana lebih sempurna.
"Saya sendiri menerima banyak permintaan daripada peniaga luar untuk memperoleh gerai di situ, namun ia satu perkara yang mustahil kerana ia dikhaskan untuk proses pemindahan peniaga sekitar Pantai Dalam," katanya di sini baru-baru ini.
Fauzi menambah, projek Bazaria Pantai itu merupakan program tanggungjawab sosial CSR pihak swasta dan sejak projek itu mula dirancang, wakil rakyat tersebut tidak pernah terlibat.
Katanya, projek itu juga dipantau oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merupakan pihak berkuasa yang mempunyai ramai pegawai profesional, selain berpengalaman luas dalam soal tersebut.
"Saya harap pihak yang berkepentingan supaya mengambil berat tentang sesuatu projek sejak dari awal supaya tidak timbul pelbagai isu apabila projek sudah siap," katanya.


Peniaga akui bertuah dapat berniaga

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Para peniaga di Bazaria Pantai di sini mengaku bertuah kerana berpeluang menjalankan perniagaan di situ yang ternyata lebih selesa dan selamat.
Kata mereka, walaupun saiz gerai lebih kecil berbanding dahulu tetapi persekitaran perniagaan adalah lebih baik dan pelanggan nampak lebih suka datang ke situ.
Peniaga makanan, Nik Masni Ahmad berkata, gerai yang kecil bukan satu masalah besar kerana apa yang lebih penting ialah dia dapat peluang berniaga di situ.
"Saya harap peluang berniaga ini di tempat baru akan menjadikan perniagaan ini lebih maju," katanya.
Peniaga bakeri, Othman Kassim, 51, berkata, kawasan Bazaria Pantai sangat strategik dan terdapat pelbagai jenis perniagaan di situ.
"Tempat lama memang lebih luas tetapi ia berstatus 'setinggan'. Di sini kami dapat berniaga lebih tenang dan orang ramai juga lebih mudah untuk datang," katanya.
Katanya, orang ramai juga sukakan tempat itu kerana dengan pelbagai jenis perniagaan yang ada, mereka tidak perlu ke tempat lain.
Peniaga nasi campur, Kasim Saleh, 65, yang juga seorang pesara tentera berkata, dia amat bersyukur kerana berpeluang berniaga di kawasan yang lebih sempurna dengan landskap yang cantik.
Katanya, dengan kemudahan yang lengkap terutama tempat letak kereta, Bazaria Pantai ini menjadikan perniagaan peniaga lebih selesa dan pelanggan berpuas hati.
"Jika dulu, elektrik pun tiada, terpaksa 'tarik' sana sini, kini semua kemudahan itu telah disediakan. Tidak perlu fikir apa-apa, cuma berniaga sahaja," katanya.

No comments:

Post a Comment